Sesiapa yang sukakan alam, seronok nak menikmati suasana hutan paya bakau, saya cadangkan kalian bolehlah ke Pulau Kukup di Pontian, Johor.
Ia adalah hutan paya bakau terbesar di dunia yang tidak dihuni oleh manusia. Lebih menarik lagi, ia telah diiktiraf sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau tapak Ramsar oleh Biro Persidangan Geneva pada 31 Januari 2003, dan terus menjadikan Taman Negara Johor Pulau Kukup ini antara destinasi pelancongan menarik di Pontian.
Perjalanan ke sini tidaklah jauh. Ambil masa dalam 30km daripada Bandar Pontian. Di sini kalian semua boleh
- Merasai pengalaman naik bot tambang
Untuk menaiki bot, anda hanya perlu ke laluan kanan Terminal Feri Kukup. Akan ada pembawa bot sedia menanti kedatangan anda semua.
Perkhidmatan bot dengan bayaran RM5 untuk pergi dan balik disediakan. Dalam masa 5 minit sahaja, anda sudah boleh sampai di sana. Tak terasa pun menaiki bot, tapi pengalaman itu yang lebih menarik untuk dinikmati bersama keluarga.
- Melihat flora dan fauna yang wujud
Dengan keluasan lebih kurang 647 hektar dan diliputi oleh hutan paya bakau dengan dan 800 hektar kawasan dataran lumpurnya, Pulau Kukup menjanjikan pembelajaran menarik mengenai spesis flora dan fauna yang wujud di sini.
Ada signboard bagi setiap spesis kayu bakau di sini.
Bagi menambahkan lagi pembelajaran dan kajian, terdapat tapak semaian yang dipanggil Arboretum disediakan untuk semaian pelbagai tumbuhan.
Tiket masuk :
Malaysia
Pelajar RM3
Dewasa RM5
Warga Emas RM3
Kanak – kanak Percuma
Bukan Warganegara
Pelajar RM10
Dewasa RM20
Warga Emas RM10
Kanak – kanak Percuma
- Ambil foto menarik dengan alam
Ada binaan yang agak menarik yang dinamakan sebagai Covered Broadwalk (Time Tunnel) dan Interactive Mudplay yang boleh anda ambil gambar. Buat kaki IG, inilah peluang terbaik untuk mengayakan pelbagai posing cun melecun di sini.
- Melawat kelong ikan
Selepas puas berjalan dan melihat flora dan fauna, ketika perjalanan pulang kembali, bot akan singgah sebentar di kelong ikan. Di sini anda akan dapat melihat ikan dikelong sambil membeli sedikit cenderamata jika mahu. Nak tengok ikan terbang pun boleh di sini. Siap sedia dengan video.
Menarik kan? Bagaimana hendak ke sana?
Dari bandar Pontian, kalian boleh menghala ke Jalan Kukup. Jalan terus hingga ke Pekan Kukup. Terdapat deretan kedai makan dan kedai runcit disepanjang jalan di pekan tersebut. Di penghujung jalan, terdapat bangunan besar yang dikenali sebagai Terminal Feri Antarabangsa Kukup. Kalian hanya perlu ke bahagian kanan terminal untuk menaiki bot ke Pulau Kukup.
Ada perkara penting yang perlu diambil kira ketika berkunjung ke Pulau Kukup.
- Bawa air minuman secukupnya untuk keperluan sendiri ketika dahaga.
- Jika hendak membawa makanan, pastikan ianya disimpan dalam beg. Cukuplah sekadar membawa makanan yang dapat mengalas perut.
- Pakailah kasut dan seluar demi keselesaan perjalanan sepanjang berjalan di sekitar Pulau Kukup.
- Pulau Kukup dibuka daripada jam 9 pagi hingga 5 petang. Waktu terakhir masuk adalah jam 4 petang. Oleh itu, rancanglah perjalanan kalian supaya persinggahan kalian ke sini tidak kelam kabut dan tergesa-gesa. Nikmati alam sepuasnya dan hiruplah udara segar di sini.
Sesekali meneroka tempat sendiri, pastinya akan membawa kenangan yang lebih manis bersama keluarga dan anak-anak terutamanya menikmati alam. Mereka pun boleh belajar sama.
Zanariah Salam
Pusing keliling tempat sendiri untuk ambil tahu.
Comments are closed.