Tag

johor

Browsing

Mungkin ada yang tertanya, asyik gambar luar negara saja, yang dalam Malaysia tak ada ke?

Ada, ada. Jangan risau. Saya keluarkan yang luar negara sebab ia adalah kembara yang terdahulu. Ada yang dari tahun 2014 lagi.

Yang dalam Malaysia pun ada. Malah, ada antaranya di kawasan perjiranan saya sahaja.  Sekitar bandar Pontian, Johor.

Sedangkan yang jauh boleh menjelajah, yang dekat mesti lagi seronok nak diexplorasi kan?

Pernah terbaca satu ayat ini, tak ingat di mana. Ia ada menyebut,

Sometimes the best adventures happen in our backyards

Awak setuju atau tak?

Mestilah setuju kan.

Kerana tempat sendiri ini memang ada yang sangat cantik lokasinya. Kerana sering dilihat, ia jadi biasa dan tak perasan akan keindahannya. Terlupa nak memerhati. Ini selalu terjadi. Sebab itulah, sering saya amalkan untuk jadi pelancong di tempat sendiri. Serba serbi semua nak tahu, baru rasa seronok nak menjelajah.

Sempat saya berjalan di salah satu lokasi di Pontian Besar, Johor. Kawasan nelayan. Sebelum itu ke sini sebab mahu beli ikan segar yang kakak itu jual tepi jalan. Rambang mata melihat segala ikan yang ada. Harga pun murah. Senang cerita, dengan kesegaran ikan yang dijual, memang berbaloi untuk dibeli. Nampak ikan siakap, terus terbayang siakap masak tiga rasa. Nampak udang, kakak itu cakap sedap untuk dimasak tomyam. Aduh, semua sedap, kak. Rajin dengan tak rajin saja nak masak. Saya membalas.

Lepas tu, sementara kakak itu menimbang dan menyiang ikan yang saya beli, saya menoleh ke kanan dan terpandang jeti sebelahnya. Lama sudah saya perhatikan. Seakan mengimbau kenangan semasa ke Terengganu pada tahun 2018 lepas. Kawasan nelayan, ada bot, ada jala, ada ikan, ada macam-macam yang menarik mata.

Lokasi di tepi Sungai Pontian Besar, Johor. Ikan segar. Geram aih tengok.

“Akak, boleh saya ambil gambar kat tepi jeti itu” spontan terus saya tanya. Peluang yang ada bukan hadir banyak kali. Sudah datang sini, menyelam sambil minum air lah. Apa lagi.

“Boleh, pergilah”

“Terima kasih. Kejap lagi saya datang ambil ikan ini ya. Nak ke sana kejap” Balas saya lantas segera siap sedia seluk kamera dalam beg dan menuju laju ke tepi sungai. Mujur waktu ini, Sony A7C dengan kit lens 28-60mm f4-5.6 memang tersedia ada. Seronok la hai, guna kamera full frame baru Sony ini. Kamera full frame yang kecil dan paling ringan di dunia. Mudah pun iya nak bawa ke mana sahaja. Memang sesuai sangat untuk para pengembara. Tilt screen nya pun banyak membantu selain daripada eye AF trackingnya yang sangat bagus.

Sony A7C dengan kit lens 28-60mm f4-5.6
Ikan siap disiang bersih

Satu persatu saya perhati. Sungai Pontian Besar ini unik. Dari pandangan biasa, ia memang nampak sama sahaja. Tak ada apa. Sungai yang airnya seperti teh susu, bot nelayan tersusun di tepi, jaring yang menunggu untuk dibaiki dan begitu juga, ada bot yang sedang dibaikpulih di tepi. Suasana biasa bagi mana-mana kawasan nelayan. Tapi buat saya yang memang meneliti kewujudan elemen fotografi yang ada, saya perhatikan di sini sangatlah seronok untuk diterokai. Saya nampak pattern, leading line, framing dan colour contra. Lebih tepat, saya nampak cerita yang menarik di sini. Setiap satu elemen ada kisah yang menarik untuk dirakam dalam sebuah gambar.

Pakcik ini sedang baiki bot.

Jetinya lurus membentuk leading line yang memukau. Susunan botnya sekata, membentuk pattern yang menarik mata. Warna langit yang membiru dan persekitaran yang berwarna warni, begitu harmoni dalam lensa kamera membentuk colour contra yang buat mata tak berkedip melihat. Serba serbi saya nampak potensi gambar menawan jiwa jika diambil dengan betul. Wow. Ini syurga buatku hari ini. Hati girang ketawa kerana sudah lama tak merasai perasaan begini sejak keterbatasan keluar ke mana-mana dek pandemik melanda negara sejak akhir Januari 2020 lepas.

Pakcik-pakcik yang ada di jeti, peramah yang amat. Tak segan saya nak memotret di sini. Mereka pun tak kisah apabila saya beritahu tujuan ke sini.

Mengangkat hasil lautan untuk dijual

“Mahu ambil gambar di sini, Pakcik. Buat kenangan”

“Oh, ambillah. Tak ada apa kat sini pun”

“Ada yang menarik, Pakcik. Saya suka tengok suasana macam ini.

Pemandangan biasa, tapi dekat di hati

Berjalan di jeti kayu begini, menikmati pemandangan sekeliling. Deretan bot nelayan cukup melambangkan pekerjaan utama penduduk di sini. Rumah-rumah kayu di hadapan berbumbung zink simbol kehidupan mereka. Angin kadangkala menyapa pipi. Rindunya merasai suasana begini. Mendengar deruan bot nelayan pulang. Kocakan air. Bahang panas terik mentari tengah hari.

Jeti kayu yang boleh muat 2-3 orang kalau berselisih, saya langkah dengan berhati-hati. Tangan asyik tekan shutter. Atas, bawah, kiri, kanan, semua saya ambil gambar. Sesekali ada peluang begini, memang tak sayang shutter lah saya buat.

“Pandai berenang tak? Kalau pandai, naiklah bot tu. Berdiri situ. Lagi luas boleh nampak”, Pakcik menjerit memberi izin seakan mengerti kehendak yang saya mahu dalam setiap rakaman.

“Tak pandai, cik. Tak apalah. Saya berdiri sini ja”

Di sini, serba serbi nampak sederhana, tapi ada sesuatu yang mengagumi buat saya. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya tunjukkan dengan gambar dahulu. Teringat satu kalimat yang pernah saya baca dalam buku Noktah Terjahit halaman 18.

Setiap kembara yang ditempuhi kadangkala menghadiahkan pengajaran yang cuma difahami oleh sang pengembara. Pengajaran yang selalunya akan lebih mudah dicerna apabila diri dikenali.

Kerana apa?

Kerana mengenali diri ialah sebahagian dari perjalanan mengenali Tuhan.

Ke sini, ia bukan hanya tentang bersyukur semata-mata, ia untuk memahami hakikat kesederhanaan dalam hidup. Iya, makna sebuah sederhana.

Peluang nampak ada tompokan air di lantai jeti memang tak akan saya lepaskan.
Seronok pula main black and white di sini

Syurga seketika buat saya menikmati alam dan mengambil gambar. Saya fikir, jika dari awal pagi saya berada di sini, pasti akan ada cerita yang lebih menarik boleh saya rakamkan. InsyaAllah, nanti akan saya kembali lagi ke sini. Sudah kenal dengan mereka, langkah lebih mudah untuk merakam siri cerita bergambar seterusnya nanti.

Pondok di jeti. Di sinilah mereka berkumpul dan berborak sesama sendiri.

Oh, ya, saya juga sempat menyaksikan proses pengasingan kerang selepas tangkapan. Baru tahu kali pertama bagaimana kerang diasingkan, yang untuk dijual mahupun untuk dilepaskan kembali ke laut. Ada grednya rupanya. Yang bersaiz kecil akan dilepaskan ke laut semula untuk dibiakkan. Selama ini, tahu beli dan makan ja kan. Nah, datang sini, tengok sendiri. Gitu, lagi satu pengalaman hidup.

Melihat mereka, membawa satu ilmu dan kebijaksanaan yang tak pernah dijangka diperolehi dalam jangka masa singkat ketika kaki melangkah menjelajah tempat sendiri. Menarikkan percaturan-Nya?

Dan akhir sekali, saksikanlah video ringkas yang saya buat di sini. Video ini sepenuhnya menggunakan iphone 11.

Dan nak dijadikan cerita juga, selesai sahaja saya rakam video ini, mereka beri saya sebungkus kerang untuk dibawa balik. Saya kira ada hampir 2kg beratnya. Terima kasih bang. Moga bertambah murah rezekinya.

Zanariah Salam
Banyak lagi mahu diterokai

Satu lagi lokasi dalam Johor yang saya suka adalah di Kong Kong, Masai, Johor. Terletak 35km daripada Plaza Tol Cahaya Baru, Lebuhraya Senai Desaru, ia pastinya menjanjikan percutian terbaik untuk kalian sekeluarga.

Umum tahu di sini memang terkenal dengan hidangan seafoodnya. Ada udang, ikan, ketam yang dibuat shell out memang lumayan sungguhlah. Makan bertambah-tambah siap tak pandang kanan kiri kerana asyik benar menikmati hidangan. 

Apatah lagi kalau datang awal pagi, dan kemudian lihat matahari terbit daripada sini. Memang serius lawa sangat. Buktinya, tengoklah pada gambar-gambar ini.

Kalau nak ikutkan, ada benda lagi yang menarik di sini. Merentasi Sungai Johor dengan naik cruise. Pernah ikut sama? Nak tahu?

Dengan naik cruise, kita boleh layan tengok pemandangan cantik pokok kayu bakau sepanjang sungai. Tenang saja tengok. Damai suasananya. Hilang rasa tekanan melihat hijaunya flora di sini. Malah dari satu sudut boleh nampak Jambatan Senai Desaru di celah-celah paya bakau ini. Awesome sangat wei gambarnya. 

Kalau bernasib baik, sesekali itu akan nampak nelayan menjala ikan di sini.

Dan paling tak sangka, ada satu pantai cantik terselindung di sini. Pantai Pasir Choban namanya. Memang lokasi strategik nak posing posing sakan depan kamera dengan berlatarbelakangkan Jambatan Senai Desaru. Nanti pemandu pelancong akan tunjukkan demo bagaimana mahu menjala ikan di sini. Ambil peluang untuk sama-sama buat aktiviti begini. Seronok wei, bila tahu cara nak lilit jala di tangan sebelum nak menjala. Buat budak-budak, memang terujalah. Mana ada benda begini di bandar. Ye tak?

Tak habis di situ, dalam perjalanan pulang dengan menaiki cruise, kita akan merentasi Jambatan Senai Desaru yang menjadi antara ikon kebanggaan Kong Kong. Selama ini kita lalu jambatan ini dengan pengangkutan darat, kali ini kita lalu bawah jambatan dengan pengangkutan air, guna cruise. Memang mengasyikkan menikmati semua ini yang selama ini tak pernah tahu pun. Serius, tambah lagi dengan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa muka. Allah, nikmatnya.

Tempat cantik, pemandangan menyenangkan, apatah lagi ia di dalam Malaysia wei. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun melawat Johor 2020 apa kata bawa keluarga ke sini menikmati semua ini. 

Oh ya, kalau mahu bermalam dan memancing di sini pun boleh. Ada chalet terapung mereka sediakan. 

Terus hubungi Puan Salbiah di

No tel : 013-723 5350

Fb page : Kongkong Eco Tourism

Google map : https://goo.gl/maps/kfBgLy48kZuRUZfj7

 

Zanariah Salam
Pusing keliling tempat sendiri untuk ambil tahu.

 

Sesiapa yang sukakan alam, seronok nak menikmati suasana hutan paya bakau, saya cadangkan kalian bolehlah ke Pulau Kukup di Pontian, Johor. 

Ia adalah hutan paya bakau terbesar di dunia yang tidak dihuni oleh manusia. Lebih menarik lagi, ia telah diiktiraf sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau tapak Ramsar oleh Biro Persidangan Geneva pada 31 Januari 2003, dan terus menjadikan Taman Negara Johor Pulau Kukup ini antara destinasi pelancongan menarik di Pontian.

Perjalanan ke sini tidaklah jauh. Ambil masa dalam 30km daripada Bandar Pontian. Di sini kalian semua boleh

  1. Merasai pengalaman naik bot tambang

Untuk menaiki bot, anda hanya perlu ke laluan kanan Terminal Feri Kukup. Akan ada pembawa bot sedia menanti kedatangan anda semua.

Perkhidmatan bot dengan bayaran RM5 untuk pergi dan balik disediakan. Dalam masa 5 minit sahaja, anda sudah boleh sampai di sana. Tak terasa pun menaiki bot, tapi pengalaman itu yang lebih menarik untuk dinikmati bersama keluarga.

  1. Melihat flora dan fauna yang wujud

Dengan keluasan lebih kurang 647 hektar dan diliputi oleh hutan paya bakau dengan dan 800 hektar kawasan dataran lumpurnya, Pulau Kukup menjanjikan pembelajaran menarik mengenai spesis flora dan fauna yang wujud di sini. 

Ada signboard bagi setiap spesis kayu bakau di sini.

Bagi menambahkan lagi pembelajaran dan kajian, terdapat tapak semaian yang dipanggil Arboretum disediakan untuk semaian pelbagai tumbuhan. 

Tiket masuk :

Malaysia

Pelajar RM3

Dewasa RM5

Warga Emas RM3

Kanak – kanak Percuma

 

Bukan Warganegara

Pelajar RM10

Dewasa RM20

Warga Emas RM10

Kanak – kanak Percuma

  1. Ambil foto menarik dengan alam

Ada binaan yang agak menarik yang dinamakan sebagai Covered Broadwalk (Time Tunnel) dan Interactive Mudplay yang boleh anda ambil gambar. Buat kaki IG, inilah peluang terbaik untuk mengayakan pelbagai posing cun melecun di sini.

  1. Melawat kelong ikan

Selepas puas berjalan dan melihat flora dan fauna, ketika perjalanan pulang kembali, bot akan singgah sebentar di kelong ikan. Di sini anda akan dapat melihat ikan dikelong sambil membeli sedikit cenderamata jika mahu. Nak tengok ikan terbang pun boleh di sini. Siap sedia dengan video.

Menarik kan? Bagaimana hendak ke sana?

Dari bandar Pontian, kalian boleh menghala ke Jalan Kukup. Jalan terus hingga ke Pekan Kukup. Terdapat deretan kedai makan dan kedai runcit disepanjang jalan di pekan tersebut. Di penghujung jalan, terdapat bangunan besar yang dikenali sebagai Terminal Feri Antarabangsa Kukup. Kalian hanya perlu ke bahagian kanan terminal untuk menaiki bot ke Pulau Kukup.

Ada perkara penting yang perlu diambil kira ketika berkunjung ke Pulau Kukup.

  1. Bawa air minuman secukupnya untuk keperluan sendiri ketika dahaga.
  2. Jika hendak membawa makanan, pastikan ianya disimpan dalam beg. Cukuplah sekadar membawa makanan yang dapat mengalas perut. 
  3. Pakailah kasut dan seluar demi keselesaan perjalanan sepanjang berjalan di sekitar Pulau Kukup.
  4. Pulau Kukup dibuka daripada jam 9 pagi hingga 5 petang. Waktu terakhir masuk adalah jam 4 petang. Oleh itu, rancanglah perjalanan kalian supaya persinggahan kalian ke sini tidak kelam kabut dan tergesa-gesa. Nikmati alam sepuasnya dan hiruplah udara segar di sini.

Sesekali meneroka tempat sendiri, pastinya akan membawa kenangan yang lebih manis bersama keluarga dan anak-anak terutamanya menikmati alam. Mereka pun boleh belajar sama.

Zanariah Salam
Pusing keliling tempat sendiri untuk ambil tahu.

Gambar-gambar ini adalah pemandangan yang boleh kita nikmati jika berkunjung ke Kg Sg Melayu, Johor Bahru, Johor. Nyaman, segar dan memukau mata memandang pada keindahan alam semulajadi.

Umum tahu, di sini terkenal dengan masakan asam pedasnya. Namun, disebalik itu, ada sesuatu yang menarik yang kalian harus ke sini tanpa ragu.

Datang awal pagi, dan lihatlah cantiknya matahari terbit dari sini. Memang tak boleh bawa bincang dia punya lawa. Masuk sahaja jalan kampung dicelah-celah ladang kelapa sawit, pancaran sinar cahayanya disebalik pokok memang buat hati untuk berhentikan kereta dan ambil gambar sekejap. Rugi jika dilepaskan peluang depan mata melihat ray menerobos dicelah-celah pokok. Kemudian, sampai di jeti, dengan kabus paginya yang masih ada, terlihat pula bot nelayan dengan berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit bagaikan dipukau mata terus dibuatnya. Dah serupa macam di Hong Kong pemandangannya.

Selepas itu, naik bot dan melihat sendiri rimbunan pepohon paya bakau yang membentuk kanopi. Terpesona. Dengar deruan enjin bot, bersahutan dengan kicauan burung dan kadang kala boleh nampak ketam menyorok kat tepi dahan bakau lagi. Pengalaman pembelajaran yang tak boleh dijual beli. Lebih-lebih lagi kalau pergi semasa air pasang besar. Memang boleh masuk ke dalam lagi dan lihat sendiri keindahan yang tersembunyi bagaikan Hutan Amazon gayanya. Halakan saja kamera, smartphone atau gopro. Terindah semua dapat dirakam.

Paling menarik, dikampung inilah dahulunya laluan bagi pihak tentera Jepun yang mahu menyerang Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Tempat tinggalan sejarah rupanya.

Saya kira, dengan bayaran RM35 seorang (pakej 1) naik bot dan menikmati pemandangan begini tidaklah merugikan. Bukan saja dapat menyusuri paya bakau, malah akan ditunjukkan cara menangkap ketam dan melihat sendiri penternakan kupang yang jarang-jarang generasi sekarang dapat rasai.

Malah menurut Puan Sharifah, tempat ini sudah dikunjungi oleh pelancong asing dari Singapura, Australia, England, Jepun, Korea, Russia, Hong Kong dan ramai lagi sudah ke sini. Rugi yang amat wei, kalau kita sendiri yang berada di Malaysia tak datang ke sini.

Salah satu tempat yang menjadi lubuk pembelajaran buat anak-anak dan diri sendiri. Nikmati alam dan kita akan merasai keindahannya yang tak terucap dengan kata-kata.

Terus hubungi :
Puan Sharifah di no 019 704 5904
Fb Page : Sungai Melayu Eco Tourism
Google map : https://goo.gl/maps/RjmqtTLXkiBERhH68

Pakej yang disediakan :

1- Boat Tour Package (RM35 seorang)
*Menyusuri paya bakau
*Menangkap ketam
*Melawat kawasan penternakan kupang
*Melawat kawasan sejarah (Tentera Jepun menjadikan kampung ini sebagai kubu untuk menyerang Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.

2 – Learning Package (RM25 seorang)
*Menangkap ketam
*Menjala
*Pertunjukan produk tempatan
*Membuat kraftangan

3 – Malay Kampung Trail (RM25 seorang)
*Melawat kebun sayur
*Permainan tradisional
*Pertunjukan produk tempatan

4 – Fishing Package
8.00am to 5.00pm (RM25 seorang)
8.00am to 9.00pm (RM 30 seorang)
7.00pm to 8.00am (overnight) -Termasuk 2 bilik @ rakithouse dan barbeque kitchen (RM50 seorang)

5 – Bird Watching
*Melihat burung migrasi dari November hingga March setiap tahun

Zanariah Salam
Seronok jalan-jalan explore tempat sendiri. Jom ikut #FotoOhsem.

Awal Januari 2019 lepas ada ke Muar. Jarang sebenarnya ke sini kalau tidak ada apa. Bila sampai, WOW!, saya suka.

Sebab apa?

Ada benda dan subjek yang saya cari ada di sini. Puas lah memikir selama ini, rupanya kat Muar boleh jumpa. Tapi ini saya tak mahu cerita hari ini, lain kali okay.

Alkisahnya, lepas saya siapkan semua kerja, ada masa sikit, satu pagi itu, saya jalan-jalan keliling bandar Muar sambil ambil gambar street waktu pagi. Kononnya lah.

Tiba-tiba haruman sate dibakar menyusuk hidung.

“Sate? Waktu pagi kut, ada orang bakar sate ke?”

Baru teringat yang abang pernah kata, kat Muar ini, nak makan sate kena datang waktu pagi. Rare, sarapan pagi dengan sate. Hanya di Muar.

Wow. Ini sudah bagus. Terus masuk Kedai Sate Dhuha Bandar Maharani Muar. Paling menarik, kedai ini berkongsi rezeki dengan bangsa lain dan sama-sama berniaga dalam kedai hailam kopitiam. Boleh tengok pada tiang kedai. Ada tulisan cina di situ. Tambah satu poin untuk saya terus masuk ke kedai.

Kesukaan saya bila jumpa kedai-kedai yang macam ini. Rasa aura keharmonian sesama bangsa.

Unik lagi, kedai hailam kopitiam ini diasaskan lebih 80 tahun. Sudah 3 generasi meneruskan perniagaan ini dan usahasama sebegini masih lagi utuh hingga hari ini. Cerita menarik!.

Walaupun kedai hailam kopitiam, makanan pagi disediakan sepenuhnya oleh orang Melayu. Jangan risau. Mereka ada sediakan lontong, nasi lemak, mee rebus, soto dan sate. Ada sate daging, ayam, perut dan paru. Satu cucuk sate 70 sen. Padu rasa sate dia. Saya suka betul sate perut dengan paru.

Kalau makan di sini, sate dikira hanya yang dimakan sahaja. Jadi kalau order 10 cucuk, dan cuma makan 7 cucuk, bayar hanya untuk 7 cucuk sahaja.

Makanan lain pun sedap. Saya sempat makan lontong dengan soto. Lontong siap dengan kuah kacang dan dapat telur rebus sebiji tu. Lumayan rasanya dan memang kena dengan tekak saya. Rasa manis kuah kacang bercampur dengan rasa lemak kuah lontong memang buat hirup sampai licin lah. Soto pula makan dengan sambal kicap. Memang padu. Cukup rasa pedasnya, hirisan ayam dan kuahnya yang pekat. Ditambah minum dengan air milo. Memang membesar bagai johan lah. Kenyang perut sungguh.

Oh, ya. Kedai ini dibuka bermula dari 7 pagi – 12 tengah hari setiap hari kecuali hari Selasa. Artis Shahrol Shiro pun dikatakan selalu singgah makan di sini.

Nak ke sini macam mana?

Boleh waze atau buka google maps dan cari Sate Duha Kak Minah atau Jalan Sulaiman. Ia berhampiran dengan Muo Boutique Hotels.

Saya sarankan, kalian cuba makan sate di sini. Rasa keenakkan makanan paginya. Lihat harmoninya pelbagai bangsa datang makan di sini. Untuk ambil gambar, ini sesuatu yang menarik. Pasal budaya.

Nak makan sate waktu pagi, singgahlah ke Muar.

Zanariah Salam
Banyak makanan sedap dan asli masyarakat kita. Nikmatilah.

error: Content is protected !!