MENARIKKAH PULAU KARIMUN DI SANA?

42

Saya tidak pasti apa yang bakal kami temui di Pulau Karimun, Kepulauan Riau ini. Sudah lama memasang impian hendak ke sini setiap kali ke Kukup, Pontian, Johor. Melihat orang keluar masuk Terminal Feri Antarabangsa Kukup membuatkan hati tertanya, apa ada di sana?

Bagaimana suasana Karimun di sana?

Kak Emila, Sa’adah, Nilam dan saya menjejak Karimun buat pertama kalinya.

Kukup

Perjalanan bermula dengan bermalam di Hotel Oyo East Mount pada 11 Feb 2023. Kebetulan hotel ini betul-betul bersebelahan dengan Terminal Feri Antarabangsa Kukup. Lebih mudah untuk bergerak awal pagi esoknya. Sambil itu mengambil kesempatan untuk melihat perkampungan nelayan Kukup yang majoritinya diduduki oleh masyarakat Cina berketurunan Hokkien di sini.

Setiap kali masuk ke Kukup, saya merasakan aura yang berbeza. Mungkin kerana perkampungan ini atas air. Keterujaan hadir setiap kali ke sini. Tidak pernah jemu. Bau udang geragau, bau laut masin, bau hamis ikan, dentingan loceng basikal dan deruan enjin motorsikal. Tempat yang sederhana tapi membahagiakan. Kebahagiaan berada di lokasi yang memiliki pesonanya yang tersendiri. Bukanlah menidakkan kampung sendiri, namun, saya yakin setiap tempat ada keunikannya tersendiri yang dirasai apabila kita betul menghargai apa yang dilihat. 

Waktu yang dinanti tiba. 12 Feb 2023. Seawal jam 5 pagi saya dan Sa’adah sudah berada di Terminal Feri Antarabangsa untuk membeli tiket. Namun, kami dimaklumkan, tiket hanya boleh dibeli bermula jam 7 pagi. Tiket berharga RM175 seorang bagi perjalanan dua hala kami beli untuk empat orang bagi perjalanan feri pertama jam 8 pagi, setelah kaunter dibuka.

Perjalanan mengambil masa hampir satu jam. Tidak sempat pun untuk melenakan mata. Feri ini boleh memuatkan hampir 100 orang penumpang bagi setiap perjalanan.

Rata-rata yang memenuhi ruangan feri penumpang lelaki warga Indonesia. Ada yang bawa banyak bagasi. Pulang ke kampung, mungkin dibawa bersama sejumlah hadiah sebagai timbalan setelah meninggalkan keluarga demi rezeki di Malaysia.

Merenung lautan yang membelah laluan perkapalan antarabangsa dengan gerimis di awal perjalanan. Tingkap feri berkabus tetapi tetap bersungguh melihat pemandangan samudera sepanjang perjalanan.

Kami berempat buat jurnal kembara. Mencatit, melukis dan menampal apa sahaja yang menarik tentang Karimun. Buat begini sedikit sebanyak mengisi masa dan buat diri lagi teruja mahu kembara lagi. Dan tentunya jurnal ini semua mengambil inspirasi daripada jurnal-jurnal yang kak Emila pernah hasilkan.

Jam 8 pagi (Waktu Indonesia Barat), kami memijakkan kaki di Pelabuhan Tanjung Balai, Karimun buat pertama kalinya. Cuaca cerah menyambut kedatangan kami. Selesai urusan cop pasport dan imigresen, kami keluar dari pelabuhan mencari teksi untuk ke hotel.

Pak Ujang, pemandu teksi membawa kami ke hotel. Saya sibuk melihat kiri dan kanan jalan. Bersih sekali kawasannya. Tiada longgokan sampah yang menyakitkan mata. Suasana kotanya tidaklah sesibuk mana.

Bangunannya sederhana. Tidak tinggi melangit. Kebanyakannya punya dua tingkat sahaja. Tidak ada kain rentang mahupun papan tanda iklan yang menyesakkan mata. Berada di sini, seolah dibawa merentasi ruang dan waktu ke belakang.

Sepintas, kota ini terlihat biasa-biasa sahaja. Namun, mata dan hati saya semakin nyaman menjamu suasana kota ini.

Hotel Maximilian di Jalan Nusantara menjadi tempat penginapan kami selama 6 hari 5 malam di sini.

Di hadapan ruang receptionist, di bawah tangga, ada kolam dan ikan koi dalamnya. Di ruang lobinya dihiasi dengan lukisan bercirikan Indonesia. Cantik. Secara halus mereka mempromosikan Indonesia dan pelukis tanah air sendiri. Memasang impian jika ada rezeki, satu hari nanti, lukisan atau foto yang saya ambil sendiri pula menghiasi dinding hotel di Malaysia. Errr.. tidak salah berangan, bukan?

Dari tingkap bilik hotel, saya melihat cahaya petang menyimbah kota membentuk bayang panjang. Jalan raya sehala, menderu motorsikal lalu. Kemudian, terlihat juga kabel berselirat. Mood mahu ambil gambar menerpa tiba-tiba. Momen!

Saya hanya perlu menunggu dengan sabar tika bila waktunya perlu menekan butang shutter kamera.

Ke Coastal Area

Tidak lengkap rasanya menyusuri kota tanpa menapaki jalan tarnya ke Coastal Area. Lokasi penuh dengan gerai makanan, spot untuk berfoto dan juga tempat permainan untuk anak-anak.

Lepas Asar, kami berjalan perlahan-lahan sambil ambil gambar sana sini. Tanda nama kedai besar dan masih kekal dengan font lama di atas pintu masuk. Ada sebuah bangunan terbiar bercat hijau berangka tahun 1925. Bangunannya masih utuh berdiri walaupun sudah mulai ditumbuhi tanaman berakar di dindingnya. Menunjukkan pembangunan kota sudah ada di sini sejak 1925 lagi.

Kami benar-benar disajikan dengan rekabentuk bangunan lama di Jalan Nusantara yang berbahan batu mahupun separa batu dan kayu. Masih kekal terpelihara dalam bentuk asalnya, membuatkan diri seperti berada di zaman mak ayah dahulu.

Malangnya, kebanyakan kedai sudah tutup. Harapan untuk cuci mata melayan nafsu membeli-belah punah. Sedikit hampa, kami teruskan sahaja berjalan menuju ke Coastal Area.

Setibanya di Coastal Area, keadaan mula berubah. Tempat ini mulai hidup. Motorsikal dan kereta diparkir di tepi jalan. Ada penduduk setempat membentang tikar dan berkelah.

Cukup sederhana apa yang mereka lakukan, namun bahagianya jelas.

Berada di Coastal Area mengimbau kenangan masa kecil. Memori jalan-jalan di tepi laut yang menjadi tumpuan orang ramai bersama keluarga, menikmati suasana senja, menawarkan pipi untuk ditampar sang angin petang sambil menikmati makanan dan permainan yang dibeli daripada penjual di tepi pantai.

Gerai-gerai mula dibuka dan dikunjungi orang. Keriuhan dan keramaian mula dirasai di sini. Dataran pula dipenuhi dengan penjual yang menjual pelbagai barang dan menawarkan perkhidmatan.

Mahu pusing keliling?

Boleh sewa e-bike.

Mahu anak-anak beraktiviti?

Ada kegiatan mewarna dan melukis.

Mahu makan dan minum?

Ya, dipilih sahaja gerai mana yang mahu.

Meriah. Seakan pesta keramaian kecil di sini.

Tempat yang biasa-biasa, tetapi pastinya mempunyai sentimental value kepada penduduk setempat mengisi ruang lewat petang, liburan bersama keluarga mahupun teman rapat. Apatah lagi di hujung minggu ataupun setelah penat seharian bekerja.

Pulau Moro, Telunas dan Manda

13 Feb 2923. Kami terlepas speedboat jam 7.15 pagi ke Pulau Moro. Jadinya, harus menaiki speedboat jam 9 pagi. Lebih kurang sejam lebih lagi waktu. Kesempatan yang ada, kami duduk di tepi Pelabuhan Tanjung Sri Gelam. Pelabuhan ini tidak jauh dari Pelabuhan Tanjung Balai. Lebih kurang 500 meter jaraknya atau 5 minit berjalan kaki. 

Sambil menunggu bot, kami sambung menjurnal dan minum. Saya asyik dengan kamera kerana melihat begitu banyak momen depan mata hingga habis satu bateri. Suasana orang naik bot, punggah barang ke atas bot, bot sampai, itu semua momen priceless yang mahal harganya. Rutin harian yang mereka lakukan, jarang dilihat di kampung saya. Bagaimana mengadaptasi kehidupan seharian dengan keterbatasan apa yang ada.

Meninggalkan dataran Perlabuhan Tanjung Sri Gelam dan berada di speedboat menuju ke Pulau Moro dengan teruja.

Sepanjang merentas lautan, tidak lepaskan peluang melihat pulau dan jeti yang disinggahi. Seakan bas berhenti-henti, speedboat ini akan singgah di beberapa jeti pulau sebelum sampai ke Pulau Moro. Perjalanan mengambil masa hampir dua jam.

Kami melalui antaranya Pelabuhan Tanjung Batu Kecil, Pelabuhan Kandis Pulau Buru, Jeti Buru Utama dan yang terakhir sekali barulah Pelabuhan Sri Mandah di Pulau Moro.

Kami di Pulau Moro tidak lama. Pulau ini sebagai transit sahaja. Tujuan utama mahu ke Pulau Telunas. Pulau yang dikatakan mempunyai pantai yang cantik dan airnya yang hijau membiru.

Namun, hajat tidak kesampaian. Kami hanya melintasi Private Beach Telunas dan melihat resort kayu tersusun cantik dari dalam speedboat. Hendak turun di pantai awam pun tidak boleh kerana keadaan air yang surut, menyukarkan bot untuk menyusur.

Pak Rahman tidak menghampakan harapan kami. Dibawanya kami ke Pulau Manda berhadapan dengan Pulau Jang. Segera kami turun dan menuju ke pantai. Tikar dibentang dan jurnal kembara kami keluarkan. Kami mula melukis dan mencatat sambil ambil gambar.

Plein-air

Ini antara itinerari yang sudah dirancang sejak dari awal perancangan mahu ke Karimun. Duduk sekejap di mana-mana dan melukis.

Sampan, anak pokok bakau, laut, gunung, awan, binaan kayu, itu yang dihidangkan depan mata kami. Kak Emila kata, pilih sahaja mana-mana komposisi mengikut apa yang kita suka. Tidak perlu untuk lukis semua. Apa yang disaji depan mata, kita jadikan inspirasi dan kemudian olah mengikut citarasa dan kreativiti sendiri.

Alam sememangnya sudah punya komposisi yang cantik. Hanya kita yang perlu memilih. Seperti kehidupan. Memilih apa yang terbaik buat diri sendiri. Yang tidak baik atau tidak elok, kita elakkan dan jadikan pengajaran.

Hampir satu jam di Pulau Manda, kami berangkat pulang. Mata sudah letih, bahang sinar menyengat, muka sudah rasa ketat panahan sunburn.

Ke Pulau Kundur

14 Feb 2023. Jika ke Pulau Moro mengambil masa hampir dua jam, ke Pulau Kundur, perjalanan cuma satu jam sahaja. Pulau ini lebih besar berbanding Pulau Karimun. Tibanya kami di Pelabuhan Tanjung Batu, kami mencari kereta sewa. Mudah untuk meneroka Pulau Kundur mengikut jadual masa kami.

Kereta sewa sudah ada. Sekarang perlu mengisi minyak pula. Google maps dibuka mencari arah. Uniknya di sini, tiada stesen minyak seperti di Malaysia. Yang ada cuma Pom Mini atau Kios BBM. Sebuah pondok kecil yang cukup menempatkan satu pum minyak. Seakan vending machine gayanya. BBM pula merujuk kepada Bahan Bakar Minyak.

Sudah nampak satu Pom Mini, tidak lama kemudian, nampak lagi ia pada setiap simpang, atau selang beberapa buah rumah.

Mudah untuk urusan mengisi minyak kenderaan.

Namun saya terfikir, bagaimana dengan ciri keselamatan pula?

Adakah larangan merokok ditekankan di kios BBM ini?

Tiada jawapan, tetapi saya mendoakan semoga perkara buruk tidak berlaku pada semua kios BBM di sini.

Di Pantai Lubuk Cinta dan Pantai Mukalimus, kami sambung buat plein-air. Duduk berteduh di wakaf kayu, melihat pasir yang memutih dan halus, disapa angin laut, mengenyangkan perut dengan makanan tempatan sambil tangan lincah menyiapkan lukisan dan catatan kembara. 

Sambil berbual santai mengisi masa. Bukan sahaja berbual sesama sendiri, tapi bercakap dengan ayam dan kucing juga. Alkisahnya, bila ada seekor ayam jantan yang cuba mematuk kasut saya dan kak Emila dalam cubaan ia mahu mengambil makanan yang kami beri kepada kucing di Pantai Mukalimus. Ah, lucu jika diingat kembali. Kak Emila siap lukis ayam jantan itu dalam jurnal kembaranya lagi.

Berselisih dengan penduduk tempatan, dengan cepat mereka boleh meneka kami dari Malaysia. Jika dicongak dari segi bahasa, mereka menggunakan bahasa Melayu, sama seperti kita. Beza mungkin beberapa perkataan.

Secara keseluruhannya, gaya dan cara percakapan sama. Mungkin dari segi cara pakaian kami. Gaya tudung yang kami gayakan, sedikit berbeza dengan mereka.

Sejarah mencatatkan dahulunya pulau ini juga sebahagian daripada gugusan Kesultanan Johor-Riau. Sedikit sebanyak, masih ada pertalian sejarah di sini. Masih ada saudara mara di Kepulauan Riau, Malaysia dan Singapura, itu yang diberitahu oleh kak Reni ketika kami di Pantai Mukalimus.

Malah mereka juga lebih banyak menonton rancangan TV dan mendengar stesen radio Malaysia berbanding Indonesia.

Dan jangan terkejut, jika mereka meminati penyanyi Malaysia seperti kumpulan Data. Malah, Shidi daripada kumpulan Data pernah membuat persembahan di Pantai Mukalimus dan diraikan dengan baik sekali di sini tidak lama dahulu.

Penuh ruang Pantai Mukalimus ini dibuatnya. Tercengang kami mendengarnya. Terharu pun ada sebagai rakyat Malaysia. Saya sendiri pun sudah lupa kumpulan ini. Oh, malu sungguh dibuatnya.

Keliling Pulau Karimun

15 Feb 2023. Menyambung aktiviti jalan-jalan, kami menyewa kereta untuk keliling Pulau Karimun. RM100 sewanya dari pagi hingga petang. Murah.

Seperti biasa, harus isi minyak dahulu di Pom Mini. Tidak seperti di Pulau Kundur, di Pulau Karimun, kami menemui stesen minyak Pertamina. Pertamina adalah syarikat minyak dan gas asli Indonesia.

Perjalanan pertama kami ke Pasar Bukit Tembak Meral. Lebih kurang 7km dari hotel. Sepanjang perjalanan, kami melihat perubahan pada kelebaran jalan dan bangunan sekitar. Rekabentuk bangunannya moden, tidak seperti di Tanjung Balai. Jalannya pula lebar dan dua hala. Yang paling membuatkan kami gembira, tidak ada banyak kenderaan di jalan.

Masa seakan kembali mengutip mozek-mozek nostalgia lama apabila tiba di pasar ini. Ada beberapa kedai menjual hasil tanaman masih kekal dengan binaan kayu. Mereka ramah menyapa kami, memujuk untuk membeli.

Selesai membeli sedikit buah tangan di pasar, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Pelawan. Berlibur dihari bekerja, pantai ini tidak dipenuhi orang. Lengang. Yang ada, satu kumpulan anak-anak tadika dan satu kumpulan pemuda berkelah.

Meriah suara anak-anak tadika bermain tutup mata dengan diiringi lagu Aiya Cik Siti. Lagu yang tiba-tiba kedengaran dan menjadi siulan di mana-mana di sini. Rupanya lagu ini viral di aplikasi TikTok. Sudah 50 tahun P. Ramlee meninggalkan kita, namun lagu dan filemnya masih menjadi pilihan dan ditonton orang tanpa mengira batas umur, agama dan bangsa. Malah kami turut disajikan dengan filem Tiga Abdul ketika berada di feri dalam perjalanan dari Kukup ke Tanjung Balai, Karimun. Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Di Pantai Pelawan, sekali lagi kami plein-air. Nyaman betul kali ini dengar desiran air pantai, walaupun kadangkala terganggu dengan bunyi lato-lato mainan anak kampung. Kami bentang tikar, melukis sambil melihat ada satu kapal besar di hujung sana. Masing-masing meneka apa yang dibawanya. Seakan membawa pasir, kata Nilam.

Perut sudah berkeroncong. Kami hanya bergantung kepada sarapan di hotel. Waktu untuk mencari makanan sudah tiba.

Destinasi seterusnya ke Kedai Kopi Tentang Hati Karimun. Apa agaknya yang istimewa tentang kopinya hingga sebegitu nama kedai diberi. Namun, mungkin sudah tersurat, kedai kopi ini tutup ketika kami sampai.

Rezeki tidak ke mana, kami nampak satu kedai bercat putih tidak jauh selepas itu. Rekabentuk seperti kedai hipster dan moden.

Kedai Lain Hati menyelamatkan kami daripada kelaparan dan penghawa dinginnya menyegarkan kami daripada panas bahang luar. Melihat menu dan mula memesan. Minuman yang dipilih, bukan calang-calang namanya. Kak Emila memilih Kopi Asmara, Sa’adah mahu mencuba Kopi Main Hati, Nilam dengan Air Sakit Hati dan saya yang tidak minum kopi, memesan Ais Coklat Pak Muh. Mereka bertiga memilih minuman bersimbol emosi, saya seorang yang memilih minuman berasaskan nama orang.

Bagaimana adunan minuman yang hampir sama di mana-mana, diberi nama yang unik, ia kekal menjadi ingatan buat pengunjung.

Strategi dalam perniagaan. Mudah juga untuk viral di mana-mana.

Google Maps sangat cemerlang berkhidmat di sini tanpa gagal. Tabik kepada jaringan internetnya. Wei, duduk pulau sahaja, tetapi laju benar rangkaiannya. Tidak sia-sia saya aktifkan data roaming sebelum ke sini.

Kami terpaksa susun itinerari on the spot, apabila ada antara lokasi yang mahu dituju tutup atau keadaan jalan yang tidak berapa elok untuk kami teruskan.

Kopi Janji Jiwa. Satu lagi kedai kopi kami jejaki. Cawangan di Jalan Jendral Sudirman ini jilid ke 457. Carian di google sebelum ke Karimun menjumpai satu fakta menarik tentang kedai kopi ini. Bermula pada Mei 2018 di Jakarta sebelum ia berkembang hingga mencapai lebih 900 cawangan di lebih 100 bandar dalam tempoh empat tahun.

Tambah menarik, pada setiap penutup minuman yang kami pesan, ada ditulis ayat sedap ini;

Ucapkan maaf, redamkan ego, sebelum sesal tiba menyapa.

Katakan untuk dirimu dan orang lain, “Aku sayang kamu”.

Banyak hal baik dalam hidup, kamu salah satunya.

Terima kasih sudah melakukan yang terbaik setiap hari. Kamu hebat!.

Betul kata orang, ayat baik-baik yang ditulis walau sepatah, boleh membahagiakan seseorang. Buat apa mahu bertegang urat mempertahankan kata, jika akhirnya boleh merosakkan diri sendiri. Kekal tenang dan berdamai dengan hati. Argh, Janji Jiwa betul-betul bijak membeli hati pelanggannya.

Kami masukkan Perpustakaan Daerah Karimun dalam itinerari keesokkan harinya (16 Feb 2023). Sepakat mahu berbagi buku di perpustakaan ini. Bangunannya berwarna biru dan terletak di Jalan Kartini.

Lebih kurang 5 minit berjalan kaki dari Pelabuhan Tanjung Balai, Karimun.

Saya dan kak Emila bawa buku bergambar kanak-kanak yang kami tulis. Manakala Nilam dan Sa’adah bawa buku-buku travelog dan umum.

Saya sempat menjengah ruangan buku kanak-kanak di sini. Buku-buku yang ada buku-buku lama dan sudah usang juga.

Pihak perpustakaan sangat mengalukan kehadiran dan sumbangan yang kami beri. Tidak banyak, tetapi sedikit sebanyak berharap ianya dapat memberi manfaat buat anak-anak dan komuniti di sini dalam menambah bahan bacaan mereka dan kenangan tanda ingatan dari tanah Malaysia. Serumpun.

Ketika bergambar bersama anak-anak tadika yang kebetulan berada di sini, kakitangan perpustakaan menggayakan simbol L dan bersama-sama menyebut “literasi”. Bagaimana mereka menekankan kemahiran membaca dan menulis dalam jiwa anak-anak sedari kecil lagi. Kami pelajari sesuatu. Satu ungkapan kata, disebut bersama-sama anak-anak, menerapkan nilai-nilai murni tanpa sedar.

Tidak lupa, kami juga membeli setem di Kantor Pos di Jalan Pramuka. Di sini mereka memanggil setem sebagai “prangko”. Jauh benar bunyinya dengan bahasa Melayu. Sebelum ini, saya pernah membaca tulisan Agustinus Wibowo di Facebook tentang prangko. Jadi saya menyebut prangko pada kakak di kaunter pos apabila dia agak keliru bila kami sebut setem. Besar jasa setem pada Agustinus. Impiannya mahu mengembara membara apabila beliau melihat setem Afghanistan terbitan 1980-an. Seperti kata Honda, “The Power of Dreams”, impian Agustinus ternyata tertunai di tahun 2003 lalu beliau menetap di sana bertahun-tahun. Hasil kembaranya, empat buku beliau, Selimut Debu, Garis Batas, Titik Nol, dan Jalan Panjang untuk Pulang sudah diterbitkan.

Setem yang dibeli merayakan Pekan Olahraga Nasional XX, (PON XX / Papua 2021). Ia adalah sukan olahraga nasional utama di Papua pada 2 hingga 15 Oktober 2021. Kami tampal setem dalam jurnal kembara kami. Tanda ingatan.

Berjalan dari perpustakaan menemukan kami dengan kios Stempel. Tempat membuat cop. Sebelum ini beberapa kali terserempak dengan kios ini ketika kami mahu makan malam, tetapi kiosnya tutup. Kali ini baharu berjumpa dengan pemiliknya, Indra. Beliau sudah mengusahakan stempel sejak 2000, mewarisi perusahaan bapanya. Stempel yang dibuatnya tidak menggunakan mesin, tetapi diukir atau dilorek olehnya sendiri secara manual. Halus hasil lorekannya. Sekali imbas tidak jauh berbeza dengan yang dibuat mesin. Ambil kesempatan di hari-hari terakhir di Karimun, saya dan kak Emila menempah stempel dengan nama kami. 70 ribu rupiah sebagai upah setiap satu, dan sebelum Asar, kami sudah dapat stempel kami.

Di Jalan Nusantara, kami berehat sebentar di Lawet Cafe. Kedai dengan ikon dua ekor burung ini lebih moden berbanding kedai-kedai kopi sekitar Jalan Nusantara. Serbuk kopinya boleh dibeli di kafenya ataupun di kedai-kedai runcit di sini. Carian di google menemukan lawet atau walet sebagai burung layang-layang. Oh, patutlah ada gambar seakan burung layang-layang di premisnya. Kami duduk di luar kedai, mengisi ruang jurnal kembara sambil makan dan minum.

Tidak sah, jika kembara ke mana-mana, tidak menjejak sunrise ataupun sunset. Dapat salah satu pun jadilah. Sebelum jam 6 petang (waktu Indonesia Barat) saya sudah siap sedia menunggu momennya. Tuhan berikan keindahan sunset dari hotel tempat kami menginap sebanyak dua kali. Indah, sangat indah. Hilang segala penat tatkala melihat cahaya sunset. Bulat telur masin mataharinya seolah memberi semangat baru setiap kali.

Perjalanan menemukan banyak hal. Bukan soal lokasi yang menjadi keutamaan, tetapi cara baru dalam melihat sesuatu.

Dan, Karimun?

Saya suka berada di sini. Akan datang, saya akan kembali lagi ke sini, menjejak kisah-kisah lain pula. 

 

Comments are closed.