Author

zanariah salam

Browsing

Apa ada pada sehelai kertas?

Dibuat contengan ketika mencatat sesuatu?
Dijadikan alas ketika menggoreng sesuatu?
Dijadikan sambul buku supaya kulit buku tidak rosak?
Atau dijadikan sebagai salah satu bentuk kraftangan?

Banyak yang boleh dibuat dengan sehelai kertas. Jika dibuat cerita tentang “Aku Sehelai Kertas” sepertimana kisah “Aku Sebatang Pensel”, pastinya berjela tentang kisah hidup kertas dapat kita baca. Kertas yang bersih digunakan, apabila sudah lusuh, ia sepi dicampakkan ke dalam tong sampah. Begitulah. Lumrah alam. Diguna apabila suci bersih, tapi ditinggalkan apabila ia tidak berguna lagi.

Namun, bagi orang kreatif, yang berfikir dan memandang dari sudut berbeza, kertas adalah sesuatu objek yang unik. Bermacam benda boleh dibuat dengan kertas.

Lihat sahaja di pameran kraftangan. Kertas suratkhabar digulung-gulung dan kemudian disusun menjadi pasu, cawan, frame gambar, bakul dan pelbagai bentuk lagi yang tak disangka.

Ini belum lagi kita lihat pada seni origami. Pernah buat kapal terbang kertas atau sampan kertas? Dua objek yang sering kita buat tatkala tak tahu nak main apa sewaktu kecil. Dahulu, zaman tak seperti sekarang yang semua ada gadjet. Dahulu, apa yang ada depan mata, itulah yang jadi barang permainan.

Tanpa kita sedar, kita sudah mula kreatif sejak zaman kita kecil lagi. Mencipta inovasi baru hasil daripada kertas. Namun, semakin usia meningkat, daya kreativiti semakin berkurang asbab lambakan maklumat dan bebanan kerja yang perlu dilaksanakan.

Cuba renung kembali semasa kita buat origami. Kita lipat-lipat dan terhasillah satu objek. Uniknya pada kertas adalah pada kuasa lipatannya. Lipatan yang kemas dan betul dari bucu ke bucu menghasilkan hasil seni yang unik.

Sama juga dengan kirigami. Satu teknik yang sama seperti origami tapi melibatkan potongan dan lipatan. Menarik bukan?

Lebih tambah seronok, apabila saya aplikasikan dalam bentuk tiny zine siap dengan kirigami di dalamnya.

Boleh belajar lebih lanjut dalam kelas tertutup yang dianjurkan oleh Kak Mimi Salleh.

Belajar dan kemudian praktiskan. Perkara baru yang seronok untuk diterokai. Bergelumang dengan kertas, memotong dan melihat, akan terhasil pelbagai bentuk tak disangka. Mula berimaginasi akan membawa kita ke alam dunia kanak-kanak kembali yang tiada persoalan “tak boleh”. Di sini semua boleh, dan pasti jadi. Hanya perlu sedikit masa untuk faham dan konsisten membuat tanpa lelah. Itu kuncinya. Dan kemudian, apabila sudah tahu triknya, yuhuuu, bagai dapat hadiah paling bermakna dalam hidup.

Berimaginasilah dengan sehelai kertas, membentuk daya kreativiti tak disangka.

Hasil imaginasi, hasil belajar, saya berjaya hasilkan satu tiny zine baru dengan menggunapakai struktur pelantar minyak sebagai hasil akhir kirigami saya.

Nak lihat?

Tonton video ini. Enjoy gais.

 

Siapa yang suka pada landscape photography, mahu tak mahu kena tahu dan mahir tentang 24 Jam magik cahaya.

Kalau mahu ambil sunrise, pukul berapa kena ada di lokasi, dan tempat yang betul untuk pacak tripod. Sama juga untuk waktu sunset ke milky-way.

Kena faham dan kaji cuaca betul-betul. Kalau lokasi di kawasan pantai, ambil kira juga faktor air pasang surut. Ini untuk mendapatkan impak kepada hasil gambar nanti. Mahu ada pergerakkan air atau awan yang bagaimana dalam gambar.

Shutter cable release, timer, tripod wajib ada. Kerana kita mahu lebih dedahan cahaya pada gambar, kamera kena stabil diposisi. Sedikit pergerakan akan memberi impak pada gambar.

Lepas itu, kena tahu jenis-jenis filter. Ada GND, ada ND, ada polarised filter, ada big stopper dan macam-macam lagi.

Kerana apa? Sebab kebiasaannya, perlukan lebih dedahan cahaya dan ini semua memerlukan untuk kita letak big stopper, GND, ND mengikut keperluan dan lokasi.

Atau kalau tiada, boleh juga guna kad hitam dan buat teknik kipas di hadapan lens. Kena kira, 1, 2, 3 hingga beberapa saat mengikut keperluan, kadang kala hingga 30 saat atau lebih. Jenuh juga nak mengipas lens. Kadang kala jadi kecewa sebab penat mengipas, tapi gambar tak jadi terutama apabila baru bermula. Kerana itu, memang perlu selalu berlatih untuk mendapatkan rentaknya.

Boleh juga guna multiple exposure, set +2, 0, – 2 sebagai contoh dan kemudian merge dalam software seperti photoshop.

Banyak cara bergantung kepada kita selesa nak guna yang mana.

Namun, (ini bukan nak “racun”), untuk kamera sony terutamanya A6000, ada apps smooth reflection yang membolehkan kita ambil gambar lenskep dengan air atau awan bak kapas tanpa guna filter. Konsep sama macam “silky water” bagi pengguna huawei. Cuma ini versi pada kamera dan ia ada format raw.

Menarik, dan ini antara soalan pertama akan saya tanya buat mereka yang mahu membeli kamera buat pertama kali. Suka pada genre apa? kerana ia akan memudahkan pemilihan sistem apa nak guna. Sejak ada apps ini, memang saya  sudah jarang menggunakan nd, gnd filter dah.  Malah banyak winning shot saya pun hasil guna apps ini dari SONY A6000.

Atau kadangkala, saya akan dapatkan kesan air/awan bak kapas dengan menggunakan beberapa keping gambar dari siri timelapse dan merge dalam photoshop.

Banyak cara boleh buat. Janji kita tahu akhirnya kita mahu gambar yang bagaimana. Yang selesa di mata sendiri. Pergerakkan air pegun, berbanding dengan air bak kapas, mana lagi menarik? Ini pertama kali, diri sendiri kena jawab. Dari situ kita akan dapat jawapan.

Tak lupa, kena juga tentukan mana satu foreground, middle ground dan background. Penting ni terutama bagi gambar lenskep.

Nampak macam mudah je kan, orang tu pacak tripod lepas tu sembang-sembang. Padahal sebelum itu, dia punya recce bagai nak rak mencari waktu bila cahaya begitu begini. Itu belum dengan angkat tripod lagi dan seterusnya. Tapi walaupun begitu, hasil akhirnya, fuh, memang puas hati. Terubat rasa penat. Lebih lagi kalau dapat cahaya macam pecahan pizza atau seperti aurora.

Lama tak ambil gambar lenskep jadi rindu apabila menulis begini. Lebih lagi bila tengok matahari bulat setiap pagi dan buku hardcover 24 Jam Magik ini. Buku yang terhasil sebahagiannya daripada gambar-gambar yang pernah diambil sebelum ini. Blue hour, sunrise, golden hour hingga lah mikyway. Cetakan edisi terhad di http://bit.ly/24jammagik.

Okaylah, layan sekejap tengok antara winning shot saya yang pernah menang dalam pertandingan fotografi cantiknya Malaysia anjuran TV3 suatu ketika dahulu. Dapat top 5, TV3 beri telefon huawei P9 masa itu. Fuh, best betul. Dahlah masa itu, P9 baru launch. Jimat modal nak beli handphone baru.

Kalau nak tahu, gambar ini saya ambil sebelum punch card masuk office. Lepas subuh terus ke lokasi, pacak tripod, letak kamera dalam 40 minit. Set kepada apps smooth reflection dan kemudian bila dah siap, kemas dan segera ke office. Tepat jam 7.40 pagi sampai office.

Mujur juga lokasi sunrise di Tanjung Langsat, Pasir Gudang ke office dalam 15 minit. Jadinya, mana yang sempat, bila rasa macam akan berlaku momen best sahaja, memang akan ke sini lah dulu.

Dan kebetulan, waktu ini, simbahan cahaya langit pagi ohsem sangat. Macam aurora kan? Sepanjang hari di office waktu itu, memang senyum seronok. Sebab dapat gambar dengan langit begitu. Kerja-kerja di office pun lancar je membuatnya.

Untuk gambar ini, saya setkan foreground, middle ground dan background begini,

Foreground : Jambatan kayu (membawa leading line ke pondok kayu)
Middle ground : Pondok kayu
Background : Drilling rig dan langit

Semoga bermanfaat.

Apa ada pada 24 jam?

Putaran masa selama satu hari. Apa yang kita lihat, kita buat, kita rasa, kita hargai?

Nampak remeh, tapi ada antara kita mungkin tak sedar, begitu banyak nikmat yang Tuhan beri dalam tempoh 24 jam.

24 Jam Magik.

24 jam itu sendiri mewakil masa selama satu hari.

Magik?

Ia tentang perubahan masa dari sebelum subuh, langit membiru pekat yang kita namakan ia sebagai “Blue Hour“, kemudian, matahari mula naik perlahan-lahan, dan “Golden Hour” menjelma. Oren kekuningan memancar menerangi alam dan kita mula lakukan kerja-kerja harian.

Lewat petang, “Golden Hour” hadir kembali sebelum matahari kembali terbenam di horizon dan “Blue Hour” pun muncul semula.

Malam, pandang langit, dan terlihat ada bulan sabit. Apabila tanggal 15 purnama pula, bulan penuh kelihatan menerangi alam. Cantik, apatah lagi apabila kita lihat ia dicelah-celah ranting pokok. Kemudian, bulan gelap, kita boleh juga nampak bintang bertaburan atau ada kala boleh nampak “milkyway“.

Keindahan alam dalam tempoh 24 jam.

Magik kan?

Malah, magik juga mewakili bagaimana saya membuat ilustrasi kesemua perubahan waktu ini dalam bentuk potongan kertas.

Potongan kertas?

Iya, potongan kertas, atau kita panggil ia sebagai kolaj.

Salah satu ilustrasi yang ada dalam buku hardcover 24 Jam Magik

Satu hasil seni yang kita pernah belajar dahulu di sekolah. Dahulu main tampal-tampal sahaja tanpa sedar rupanya ada banyak sisi yang boleh dieksplorasi bersandarkan kepada imaginasi dan kreativiti masing-masing.

Hanya perlu peruntukan sedikit masa dan konsisten.

Masih tentang masa yang 24 jam.

24 Jam Magik.

Buku hardcover yang saya hasilkan secara swaterbit selepas masuk kelas Swaterbit Kids Book yang dikelolakan oleh Kak Mimi Salleh.

Seronoknya ada buku sendiri. Itu perasaan yang tak boleh diungkap dengan perkataan.

Kerja yang dibuat sendiri, buat storyboard, buat lakaran, gunting itu, potong kertas ini, gam sana sini lepas itu hantar cetak, fuh sangat mencabar hasil kerjanya.

Dan akhirnya, apabila jadi sebuah buku, lega dan syukur. Nampak cantik kejadiannya.

24 Jam Magik. Buku tentang putaran cahaya dalam sehari. Apa yang kita nampak dan alami hampir setiap hari. Cuma adakah kita sedar kewujudannya?

Buku ini saya buka untuk tempahan apabila menyertai Karnival Swaterbit Kids Book pada 31 Mac hingga 4 April 2021 lepas. Pembelian disertakan sekali dengan,

1 buku 24 Jam Magik berkulit keras (hardcover) 40 muka surat
1 tiny zine 24 Jam Magik
3 poskad edisi khas
1 cheat sheet kamera

Dan tentunya ia adalah cetakan terhad.

Set 24 Jam Magik
Tiny zine yang akan saya sertakan sekali dalam pakej 24 Jam Magik
Dalam tiny zine pun illustrasi dengan teknik potongan kertas

Bagi yang mahu miliki satu set, boleh terus buat pembelian di sini.

#karnivalskb
#swaterbitkidsbook
#klbaca
#klwbc2020
#malaysiamembaca

Apa yang membuat kau bahagia?

Apabila berada dalam zon yang selesa, damai, dikelilingi oleh orang yang kita sayang?

Atau apabila ada banyak duit, boleh beli apa sahaja?

Atau, apabila bebas untuk ke mana sahaja tanpa batasan?

Tafsiran orang yang pelbagai. Jalannya berbeza, namun yang pasti atas landasan mahu mencari kebahagiaan dalam diri.

Setiap hari, selepas bangun pagi, melangkah keluar rumah dan mula melihat warna oren merah kekuningan memenuhi ruangan angkasa, saya memerhatikan sesuatu.

Di satu sudut, di sebalik rimbunan pokok-pokok yang meninggi, matahari yang mula keluar perlahan-lahan.  Di celah-celah, saya melihat bulatnya matahari, kami panggil “Telur Masin” kerana bentuk dan warnanya.

Timbul rasa gembira. Susah mahu digambarkan bagaimana.

Melihat momen depan mata yang berbeza hampir setiap hari. Ada kala, mendung, ada kala berkabus.

Ketika berkabus di awal pagi.

Setiap satunya memberikan satu rasa yang sukar mahu digambarkan bagaimana perasaannya.

Bagaimana melihat matahari terbit, saya jadi gembira.

Memerhatikan warnanya, susunan awannya, burung-burung yang berterbangan sambil ditemani angin yang menyapa pagi. Sejuk seketika.

Momen yang tak pernah jemu untuk dilihat hari-hari. Tak membosankan langsung, walau subjek utamanya tentang matahari terbit.

Akan ada perkara baru yang menarik pandangan mata setiap hari. Ada perkara yang memperlahankan langkah kita untuk tunduk dan memerhatikan sesuatu. Dan fotografi membuatkan saya mengenal semua ini. Melihat sekecil-kecil perkara dan amati dalam-dalam.

Seringkali kita mencari bagaimana mahu bahagia hingga terlupa pesan Buya HAMKA yang satu ini, “Bahagia itu dekat dengan kita, ada dalam diri kita”.

Celikkan mata, lihat sekecil perkara yang ada depan mata yang melimpah ruah memberi kebahagiaan.

Buka hati, lihat dengan pandangan berbeza. Terlihat begitu banyak nikmat yang Tuhan beri.

“Jika ditanya, bila kau bahagia? Jawabnya hari ini. Tidak ada esok bagi mereka yang mengabaikan hari ini!” (Di Mana Dia di Hatiku).

Di sebalik rimbunan pokok, ia muncul memberi sinar.
Walau di sebalik tiang elektrik begini, ia tetap menawan untuk dirakamkan.
Dan ada burung-burung yang sama turut menikmati.

 

Buat mereka yang suka pada fotografi, minat sangat-sangat namun ada kekangan mahu belajar berdepan secara face to face, maklumlah sekarang ini musim pandemik, ada satu cara mudah boleh kita belajar.

Cara yang praktikal dan mudah nak faham.

Semudah dengan menonton filem.

Filem? Seriuslah.

Betul, dengan menonton filem.

Saya ambil contoh satu filem yang saya pernah tonton di TV2, jam 9.30 malam. Kaaka Muttai judulnya. Durasi 2 jam, leka tengok setiap plot.

Kisah tentang 2 beradik miskin yang tinggal di setinggan bersama ibu dan neneknya. Ayah pula di penjara.

Di awal cerita, disajikan dengan 2 beradik ini memakan telur burung gagak. Okay, fine. Sebab desakan hidup, Mungkin telur gagak sebagai pengganti telur ayam.

Dalam cerita ini ada banyak sisi pengajaran yang diperlihatkan,

1. Ada slot seorang budak kaya yang sering menjadi teman 2 beradik ini berbual. Digambarkan budak kaya yang mewah, boleh dapat apa saja, tapi terkongkong di tempatnya. Tak bebas. Mereka berbual pun di pagar sahaja.

2. Taraf hidup dibeza-bezakan hanya bersandarkan pakaian semata-mata. Budak berpakaian kotor, walau punya cukup wang, masih dianggap miskin dan tak layak untuk menerima layanan sepertimana pelanggan lain. Pernah kena perkara sama?

3. Usaha pasti jaya. Demi sekeping pizza yang nampak sedap di iklan TV dan dimakan oleh artis popular, keinginan untuk merasainya sendiri membuak-buak hingga sanggup buat apa saja kerja untuk kumpul duit. Mereka tak meminta sedekah, tapi berusaha, walau caranya salah (bab mencuri arang batu). Ada adegan yang mereka mendapat idea untuk membuat servis penghantaran orang mabuk ke rumah. Tapi hanya bertahan untuk sekali perkhidmatan sahaja.

4. Buli membuli dan samseng yang ambil kesempatan dan akhirnya kerugian. Apabila terlihat satu rakaman video salah seorang kanak-kanak ini ditampar, samseng ini terus buat ugutan pada pemilik restoren pizza. Akibat tamak, habuan tak dapat, malah dipukul lagi. Orang tamak memang selalu rugi.

5. Sudah buat salah, panggil kanak-kanak ini dan jamu mereka dengan layanan vvip siap ada media buat liputan. Selalu berlaku juga kan.

6. Media yang mensensasikan isu penindasan atau diskriminasi si kaya ke atas si miskin. Akibatnya, dua beradik ini ketakutan dan melarikan diri. Mujur mereka dijumpai semula oleh ibu mereka.

7. Keinginan untuk merasai makanan tepi jalan oleh budak kaya walau dihalang oleh bapanya atas alasan kebersihan. Setiap orang punya keinginan masing-masing. Yang kaya nampak makanan tepi jalan sedap, yang miskin nampak makanan di hotel enak sangat. Keinginan untuk mendapatkan apa yang kita tak mampu miliki.

8. Selalu bahagia. Walau miskin, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kanak-kanak ini nampak gembira dengan hidupnya walaupun seringkali meminta barang yang tak mampu ibu mereka sediakan.

9. Kasih nenek pada cucunya. Sungguhpun nenek sendiri tak pernah makan pizza, sedaya usaha membuatnya sendiri. Walau akhirnya diketawakan oleh cucunya sendiri. Mana-mana nenek pasti berusaha untuk buat cucunya gembira kan.

10. Tidak semua apa yang kita inginkan itu indah belaka. Kadangkala ia akan jadi beban. Beban yang sepatutnya tak kita tanggung pun.

11. Kisah mahu makan pizza, tapi akhirnya 2 beradik ini kata, pizza yang nenek mereka buat lagi sedap, walau dari tepung buat tosei. Air tangan nenek selalu terbaik bukan?.

Filem seronok nak tonton. Di sebalik pengajaran yang ditonjolkan, cara setiap gerakan dalam filem ini menarik untuk diperhatikan dalam aspek fotografi. Saya kongsikan apa yang saya nampak di sini.

Ada banyak lagi filem-filem atau drama menarik yang boleh kita tonton dan renung sejenak setiap plot yang diambil. Boleh belajar banyak di situ tentang fotografi, tentang cahaya, susunan subjek dan komposisi.

Suasana di rel kereta api punyai leading line dan framing. Cantik susunan 2 orang budak ini dalam sudut begini.
Perletakkan subjek di dalam framing.
Lagi satu elemen framing di sini.
Penggunaan cermin sebagai reflection, repetition, pattern.
Susunan subjek yang tak bertindan antara satu sama lain.
Apa yang berlaku di luar dan di dalam ditonjolkan dengan baik dalam adegan ini.
Adegan ketika mereka dijemput untuk makan pizza oleh pemilik restoren. Muka 2 orang budak ini seakan semetri kedudukannya.

Sabtu pagi, 27 Feb 2021, ambil waktu sedikit dan jalan di hadapan rumah. Matahari sudah meninggi, tapi kabus masih kelihatan. Masih terasa dingin pagi walau jam sudah menghampiri 8 pagi. Sejuk seperti di tanah tinggi.

Tak lama kemudian, ternampak ada auntie kayuh basikal pusing kampung. Semangat auntie ini. Hampir setiap hari tanpa culas mengayuh. Rasa tercabar, seperti mahu pusing balik dan ambil basikal juga. Tapi tak jadi. Ah, jalan sahaja lah hari ini. Mahu santai-santai. Pagi ini kita nikmati dengan berjalan kaki sahaja. Lagipun ada bawa telefon, bolehlah ambil gambar sedikit. Alasan sungguh kan.

Kabus memenuhi ruang. Penuras semulajadi yang sering dinanti. Perubahan haba sekitar dengan musim panas siang hari dan dingin malamnya seminggu dua ini, menyebabkan fenomena kabus begini terjadi.

Sebab itu, setiap pagi jika sempat, akan jengah depan rumah dan lihat persekitaran. Lokasi yang sama, tapi suasana yang berbeza setiap kali. Seperti satu kepuasan dapat tengok walau sebentar.

Sejenak terfikir, suasana begini kalau ada pakcik tengah panjat pokok kelapa ke, mesti seronok. Macam yang pernah nampak ketika di Blitar, Indonesia dahulu. Cahaya paginya, ditambah dengan kabus lagi, memang suasana yang ditunggu-tunggu. Seakan kembali ke zaman silam yang mana ada aktiviti kampung yang jadi rutin penduduk setempat. Tapi itu, hanyalah JIKA. Realiti, di kampung saya ini, tak ada pun. Jadinya, kita terus nikmati sahaja udara segar pagi ini tanpa mengeluh.

Jalan lagi beberapa langkah dan perhatikan keliling. Panas beberapa hari ini, parit pun dah mula kontang tapi yang menariknya, alurnya masih nampak cantik. Teringat dahulu, penuh air parit ini. Siap boleh naik sampan kecil mendayung dan cedok air buat mandi. Ada bau-bau tanah sikit. Kalau malam, airnya suam hangat. Sekarang air parit hampir surut. Hanya penuh bila hujan lebat berterusan seperti awal Januari lepas. Mujur juga tak melimpah keluar dan syukur tanah gambut. Cepat menyerap.

Beza dahulu dengan sekarang. Kenangan dahulu yang mungkin tak akan berlaku lagi hari ini di lokasi yang sama.

Dahulu pokok getah, kemudian kelapa sawit dan sekarang nenas. Bersilih ganti tanaman. Terasa seperti baru semalam sahaja masuk kebun getah cari biji getah, cari cendawan kukur, angkut getah ojol sebelum ke sekolah sebelah petang. Sekarang nak jumpa pokok getah pun payah. Semua dah bertukar jadi kelapa sawit atau nenas. Pokok getah pun mungkin tak ramai yang tahu rupa bentuknya bagaimana. Apatah lagi getah ojol. Sekali pegang, baunya sampai cuci tangan berkali-kali.

Yang dahulu dan yang sekarang. Zaman berubah, tapi kenangan masih ada.

Kenangan yang mencipta pengalaman.

Inilah pembelajaran seumur hidup. Setiap masa adalah tentang erti belajar. Perjalanan tanpa henti.

Teringat pula satu video yang tonton di facebook. Lebih kurang begini,

Dalam hidup, kita kena jaga disiplin dalam menuntut ilmu. Walau sesuatu perkara itu kita sudah tahu, ilmu yang sama, tapi belum tentu membawa maksud yang sama. Jadi hargai setiap ilmu walau sepatah kata atau pengalaman yang kita terima.

Ringkas ayatnya. Tapi saya ulang dengar berkali-kali. Terkesan.

Kemudian, bila dah penat jalan, patah balik ke rumah, lalu kita ambil pinggan kecil ceduk nasi goreng. Eh, eh eh.

Mencari ilham dengan ambil gambar boleh dipraktiskan pelbagai. Tidak terhad harus ke tempat lawa sahaja.

Keterbatasan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perlu duduk di rumah, tidak berjalan ke sana ke mari, apa yang boleh kita buat?

Stres memang stres, sebab tak boleh nak rakam lokasi cantik-cantik di luar sana.

Boleh bermula di sekeliling rumah sebagai permulaan mendapatkan rentak.

Bagaimana?

Dengan melihat apa yang ada di rumah. Ada kerusi, kucing, alat tulis?

Semua ini boleh dijadikan subjek untuk bermula. Saya ambil contoh kucing sebagai subjek.

Perhatikan pada,

1. Kedudukan cahaya yang muncul di rumah ketika pagi, tengah hari dan petang. Setiap waktu akan memberi pencahayaan yang berbeza mengikut masa. Catat pukul berapa cahaya pagi lawa masuk dalam rumah, begitu juga dengan cahaya tengah hari dan juga petang.

2. Lihat shadow atau bayang-bayang, backlight yang terhasil apabila cahaya mula menyelinap masuk di celah-celah tingkap dan pintu rumah. Sebagai contoh, kebetulan, kucing duduk di tengah-tengah pintu ketika jam 9 pagi begini.

Si Pika duduk di hadapan pintu. Cahaya matahari di belakangnya memberikan effect seakan backlight padanya, dan saya masukkan sekali reflection yang wujud di lantai.

3. Sudah dapat satu aksi kucing, terus ikut ke mana kucing pergi. Makan dan bermain. Lihat kembali di mana ia duduk. Pandang juga jatuhan cahaya yang wujud dan segala macam kelakuannya.

Ketika Pika asyik makan. Saya gunakan tayar motorsikal membentuk framing kepada si Pika.

4. Terus rakam aksi mereka sepuas-puasnya. Waktu ini memang akan mencabar daya kreativiti kita untuk bermain dengan cahaya, emosi, komposisi dan juga gambar bagaimana yang ingin dirakamkan. Jika perlu, tunggu dan perhatikan aksi mereka seterusnya. Pandang kucing dari atas, mahupun selari dengannya seolah-olah kita duduk sama level dengan ketinggian kucing.

Panggil nama Pika, dan ia akan mendongak ke atas. Terus snap.

5. Akhir sekali, just enjoy the moment dan be happy.  Jangan terlalu stres jika tak dapat gambar idaman hati. Teruskan mencuba dan buat latihan.

Banyak lagi aksi mereka yang comel-comel boleh kita rakam. Buat begini sebenarnya melatih kita untuk peka pada pergerakan subjek dan seterusnya mencungkil daya kreativiti dalam menghasilkan gambar yang lebih menarik.

Hanya perlu sabar dan peka memerhati. Jadikan aksi mereka bersahaja sebaik mungkin. Ini juga boleh dijadikan medan untuk melatih mata bermain dengan komposisi sebaik mungkin, maklumlah, si comel ini bukannya boleh kita suruh duduk diam.  Ada saja keletah mereka yang tak dijangka.

Sedikit Hal Tentang Teknikal

Sebaiknya apabila gunakan kamera atau telefon pintar, setkan kepada shutterspeed yang tinggi. Seperti dalam gambar-gambar ini, saya sudah setkan kepada  1/640sec ke atas. Apabila shutterspeed sudah set begitu, maknanya, aperture saya gunakan f/2 dan ISO dinaikkan bermula dengan ISO 800 ke atas bergantung kepada lokasi rakaman berlaku. Ini tidak menjadi wajib bagi semua kamera atau telefon pintar. Harus bergantung kepada lokasi dan juga jenis rakaman bagaimana yang kita mahukan.

Jika mahu kucing nampak pegun, tidak blur, sharp, setkan lah shutterspeed tinggi. Jika mahu sebaliknya, eksperimen dengan shutterspeed perlahan.

Yang penting, kita tahu, hasil bagaimana yang kita mahukan pada akhirnya. Itu lebih utama.

Untuk sudut pula, saya lebih gemar untuk meletakkan kamera selari dengan kucing. Lebih dekat di hati melihat hasil gambar. Seolah kita sendiri sama tinggi dengan kucing.

Lepas kenyang, Pika main sembunyi di semak. Ikut dan rakam aksinya sepuasnya hingga habis bateri. Hehe
Leka Pika perhatikan kawan-kawan yang lain main. Masa untuk bermain dengan gembira.

Dan ini antara gambar-gambar anak bulus yang lain ketika ia kecil. Comel mereka ini ketika masih seusia begini. Banyak keletah, manja, dan comel dengan pelbagai aksi. Semuanya saya rakam dengan sumber cahaya semulajadi sahaja. Ada kala, apabila dalam rumah kurang cahaya, saya bawa kucing ke luar dan biarkan mereka beraksi sendiri.

Ketika dalam sangkar. Namanya Nugget.
Ketika dalam sangkar. Nama saya Tompok.
4 ekor anak bulus dalam bakul. Selonggok tak dapat 2 ringgit ini. Hehe.
Waktu ini dalam sangkar masa awal-awal dah buka mata.

Selamat mencuba dan terus mencuba mencari gambar idaman hati. Ingat kembali, gambar bagaimana yang kita mahukan. Dari situ rancang dan buatlah gambar mengikut gerak hati tanpa menidakkan komposisi, cahaya dan sudut terbaik merakam gambar.

Selamat menerokai dunia lincah si comel bulus!.

Jawab soalan kuiz dan menang 3 buah buku sebagai hadiah!

Tertarik, menarik. Maklumlah, sejak zaman sekolah lagi, saya suka juga masuk pertandingan begini. Kuiz ke, cogankata ke, silangkata ke, masuk belaka. Ada waktu, rezeki memihak, menang.

Sama juga dengan fotografi. Ada gambar sesuai dan menepati tema, saya hantar saja. Untuk menilai keupayaan dan mencabar diri sebenarnya.

Masuk pertandingan ini, kita bukan bersaing dengan orang lain sahaja, yang lebih utama, kita akan bersaing dengan diri sendiri. Akan mula bertanya dan berbincang dalam diri, kenapa harus hantar begini, jawab begitu dan bermacam lagi mengikut situasi.

Berbalik kepada soalan kuiz tadi, Kudos, singkatan kepada Kelab Untuk Dunia Ohsem berSama telah mengadakan kuiz pertama untuk ahli kelab pada 30 Jan 2021. Kelab yang ditubuhkan ini menghimpunkan pembaca dan penyokong buku-buku terbitan Dua Penulis dan KasiTerbit. Sesiapa sahaja boleh sertai dengan daftar masuk di http://bit.ly/kudos2021.

Selepas daftar anda akan dibawa masuk ke FB Group Kudos yang mana di sana banyak perkongsian tentang penulisan, hal travel dan apa jua yang berkaitan terutama sekali buku-buku terbitan mereka.

Berkongsi minat dan hal yang sama, pastilah seronok, lebih lagi di zaman pandemik yang kita terbatas untuk bertemu rakan secara berhadapan. Bual bicara secara maya dengan berbalas komen distatus facebook, sekurangnya menghilangkan rasa resah duduk di rumah seharian. Salah satu initiatif yang bagus dalam kita mengurangkan rasa tekanan dek pandemik begini. Saya sokong.

Pada kuiz pertama Kudos, ada 10 soalan yang perlu dijawab. 10 pemenang yang berjaya jawab betul dalam tempoh masa yang ditetapkan akan menerima 3 buah buku terbitan Kasi Terbit iaitu buku travelog bertajuk,

  1. Backpack Bonceng Motor Medan – Parapat – Berastagi
  2. Krabi Pergi Naik Bas Balik Naik Tren
  3. 93 Hari di Mesir

Dan akhirnya, sayalah salah seorang dari pemenangnya itu. Yahoo. Gigih mencari jawapan dengan cari maklumat di internet dan baca buku travelog mereka yang berkaitan.

Sungguh, ia nampak mudah soalannya, tapi memilih sama ada A, B, C atau D jawapannya itu perlu berfikir panjang. Masa inilah, suasana berdebat dalam diri akan berlaku.

“Aku rasa A lah jawapan dia”

“Eh, taklah, B. Cuba ko taip kat google, tanya dia”

Begitulah, apabila diri berbicara dengan diri sendiri. Berperang menjawab soalan untuk memilih satu jawapan yang pasti. Paling utama, asasnya, kena banyak membaca dan perlu peka pada informasi umum yang ada.

Nak tahu, apa 10 soalan kuiz pertama itu dan jawapannya?

Dan unboxing hadiah yang saya terima saya buat video begini. Nikmati!.

Dengar kata, akan banyak lagi kuiz dan program untuk ahli kelab akan ada pada masa akan datang. Jom kawan, masuk dan kita raikan bersama. Daftar sahaja di http://bit.ly/kudos2021.

 

Pagi itu, selepas puas meronda Masjid Jama, (lihat hasil gambar yang saya ambil di sini), kami menyambung langkah ke Chandni Chowk. Berhadapan dengan masjid sahaja. Antara lorong yang sibuk dengan pelbagai urusan jual beli.

Jalannya sempit, apatah lagi apabila berselisih dengan trishaw atau basikal roda tiga yang sibuk mencari dan menurunkan penumpang.

Di lorong ini, orang tak putus-putus keluar masuk. Suasana jadi riuh dengan urusan tawar menawar. Ada juga pengemis di kaki lima menagih simpati. Saya teringat kisah di Feb 2015. Pertama kali ke India dan ke sini. Bagaimana ia membuka mata tentang erti hidup. Catatannya saya nukilkan di sini.

Melihat mereka dan persekitaran, ada kala buat saya kagum seketika. Dalam serba tak lengkap, seadanya, mereka tetap bertahan untuk hidup. Walau menjual makanan atau minuman yang sama, gerai-gerai tetap ada menerima pesanan pelanggan.

Ini soal rezeki, tak perlu kita untuk persoalkan. 

Rezeki adalah rahsia alam. Kita berusaha dan bertawakal, Insha Allah, Tuhan pasti bantu.

Meneruskan langkah sambil kamera tak lekang merakam momen terbentang depan mata. Tiba-tiba, terdengar cicipan burung meriah dari atas. Mendongak perlahan dan,

Ya Allah, serabutnya. Saling berselirat. Tak tentu hala sekali pandang. Tak berlaku litar pintas ke begini?

Getus hati saya berkata tiba-tiba. Melihat wayar dan kabel gantungan yang sudah jadi tempat burung bertenggek.

Anehnya, penduduk setempat seolah seperti tidak kisah dengannya. Jual beli dan aktiviti harian masih berlangsung di tepi-tepi jalan. Sedikit pun tidak ada yang menjauhkan diri. Malah rapat-rapat mereka berjualan dan membeli di situ.

Sebagai pelancong, yang sudah biasa di tempat sendiri dengan aturan yang teratur, melihat fenomena wayar umpama benang kusut begini, benar-benar mengganggu mata. Perasaan seram dan khuatir muncul.

“Bagaimana jika tiba-tiba berlaku litar pintas. Kedebom… dan semua tercampak dek letupan yang berlaku tiba-tiba” begitu saya berprasangka.

“Tidak terfikirkah mereka jika perkara begitu boleh berlaku?”

“Tidak takutkah mereka?”

“Berani betul!”

Semua pertanyaan ini dalam hati sebelum saya lontarkan pula kepada teman. Senyap. Tidak membalas satu apa pun. Hanya menggelengkan kepala. Tiada jawapan dapat diberi. Tidak tahu atau tak pernah nak ambil tahu. Hal negara orang, buat apa nak ambil peduli, bukan?

Tapi, tapi, kemushkilan terus melanda. Pelik bin ajaib. Mereka boleh harmoni tinggal bersama dengan bebenang wayar yang bersimpang siur begini. Aneh kan?

Kemudian, baru saya perasan satu perkara. Ada perlunya untuk kita tak usah peningkan kepala. Buat apa? Kita ini pelancong sementara ke sini. Datang pun entah lima tahun sekali sudah berprasangka yang bukan-bukan. Lihat mereka, seharian di sini, tidak ambil pusing satu pun.

Kerana apa?

Kerana mereka menjalani hari-hari dengan seadanya. Jika berlaku litar pintas atau apa sahaja, anggap sahaja ia sebagai sebahagian daripada rahsia dan misteri alam. Jalan penyelesaian pasti akan ada ketika itu. Bagaimana mereka beriktiar untuk hidup, pasti sama juga bagaimana mereka mahu menyelesaikannya.

Kita ke sini untuk memerhati. Janganlah membuat persepsi seolah kita duduk lama di situ. Baru singgah 2 jam, sudah mengaku tahu semua perkara.  Ishk..

Sabar dan bertenang sebentar. Setiap satunya ada jalan penyelesaian. Berada di negara orang, kita belajar dan ambil pelajaran, bukan menghakimi atas kehidupan mereka.

Hampir terlupa saya. Permulaan 2021, lebih tepat pada 4 Januari 2021, saya mendapat kiriman hadiah hasil daripada kuiz terkumpul dalam acara #ProgramGalakanMembacaPPM sempena #klwbc2020 dengan topik ‘Masyarakat Berjiwa Besar Melalui Penulisan’.

Sesi selama 3 jam ini banyak memberi info tambahan berkaitan swaterbit, penulisan sebagai terapi, menemui makna dalam minimalis, menguasai bajet penerbitan dan norma baharu dalam inovasi cerita rakyat. 5 orang panel berkongsi pengalaman mereka dan ia sangat memberi manfaat terutamanya buat mereka yang mahu mula menulis. Lebih lagi ketika di zaman pandemik begini yang mungkin ada antara kita punyai waktu terluang untuk berkarya.

Boleh ikuti rakaman fb live di sini.

Setiap sesi ada soalan dan di penghujung rancangan, soalan terkumpul yang ditanya boleh dijawab oleh penonton, kemudian emailkan mengikut link yang diberi. Alhamdulillah, saya berjaya jawab semua soalan dan terima hadiah begini. Hadiah tahun baru kiranya ini. Boleh saksikan hadiah yang saya terima. Menarik kan?

Jadi kawan, jom membaca dan menulis sesuatu. Baca bahan bacaan yang mempunyai nilai dan budi. Jadikan tulisan kita yang baik-baik supaya ianya memberi manfaat buat yang membaca.

 

error: Content is protected !!