Buat mereka yang berhajat mahu ke Kashmir nanti, pergilah ke Floating Market. Tengok sendiri bagaimana suasana jual beli dalam sampan. Ini antara satu-satunya floating market yang ada di India dan mula menjadi tumpuan peminat fotografi sejak ada seorang fotografer dari Jepun merakamkan suasana di sini dalam buku panduan pelancongan yang diterbitkan di Jepun sekitar tahun 1960 lepas.
Untuk ke sini, kenalah bangun awal pagi tau. Boleh mandi cara P. Ramlee dulu kalau tak tahan sejuk. Lepas solat subuh, segeralah naik shikara. Dalam 30 – 40 minit sampailah.
Sepanjang perjalanan itu, akan ada saja momen menarik nak rakam. Sampaikan angsa yang tengah bersidang pun dah macam rupa retis gayanya kita ambil gambar dia tanpa henti. Nasiblah kau lah angsa, terserempak dengan kami. Ramai OP dengan DoP dalam shikara.
Reflection jangan cakaplah. Awal pagi, air tasik tenang. Memang jamuan dalam memori kad saja. Sambil-sambil itu, bolehlah cuba hembus nafas, kut-kut nampak kepulan asap keluar.
Ada pelbagai tanaman dijual dek kerana bagusnya ekosistem kat tasik ini. Jangan tak tahu, batas tanaman dibina secara terapung tau. Nak tengok mereka guna timbang jenis dacing pun ada kat sini.
Damai saja tengok cara mereka. Macam tak pernah runsing dengan pergolakkan yang tengah melanda sekarang. Sudah hampir lebih 50 hari dalam perintah berkurung dan kali ini antara yang teruk kena. Semua talian komunikasi, internet diputuskan kecuali land line, malah ada sesetengah tempat, bekalan elektrik dan air pun terputus. Nak beli minyak kat stesen pun khabarkan kena catu. Kita doakan sama-sama supaya mereka bebas daripada konflik ini secepat yang mungkin.
Dan waktu kami kat sana, keadaan terkawal. Ikut saja driver cakap apa. Mana tempat boleh ambil gambar kita ambillah. Mana yang tak digalakkan itu, kita rakam dengan mata saja. Mudah saja sifirnya.
Tak nak sedih-sedih, kita tengok dulu hasil gambar sikit. Macam biasa, masih lagi daripada Sony RX100vi dan ada beberapa keping gambar hasil jepritan Gopro 7. Rugi kalau kat sini tak ambil wide shoot. Banyak momen menarik. Dan sini antara tempat kesukaan saya.
Zanariah Salam
Ambil gambar travel dengan sukahati.
Comments are closed.