Tag

kashmir

Browsing

Kashmir. Menyebutnya terus rasa rindu bertandang. Kerana filem Bajrangi Bhaijaan saya ke sini. Asyik melihat keindahan yang disajikan buatkan jiwa tak keruan mahu ke sini.

Akhirnya, pada April 2018, hajat dipenuhi. Ingatkan cukup sekali sudahlah, rupanya pada Oktober 2018 datang lagi. Dan eh, pada Sept 2019, lagi sekali bertandang ke Kashmir.

Dalam tempoh 2 tahun, 3 kali sudah ke sini. Nak kata puas hati, memang puas sangat-sangat. Malah, mahu datang lagi dan lagi. Seakan tak pernah cukup dengan koleksi gambar yang ada. Jika kembara lepas terbatas dengan masa lebih kurang 14 hari, saya fikir jika ke sini dalam tempoh sebulan, pasti banyak lagi cerita yang bakal diperolehi. Begitu terfikir.

Kashmir, lokasi bergolak. Hingga ke hari ini, masih terkepung dengan agenda politik India dan Pakistan yang tak sudah. Kerakusan manusia atas dasar perbezaan fahaman, agama dan politik menyebabkan Kashmir seakan tertindas.

Memasuki udara Kashmir, sebelum pesawat mendarat di lapangan terbang Srinagar,  saya melihat kepulan asap. Terfkir sesuatu, apakah ia. Ada kilangkah di sana? Tapi kilang apa?

Pertanyaan dalam benak fikiran dilontarkan kepada pemandu kami ketika saya dan rakan-rakan ke sini pada Okt 2018.

“Itu kilang bata” katanya.

Sesuatu yang menarik.

“Ini kalau aku dapat gambar macam yang kat Bangladesh nih, mesti best gila” hati berkata. Bayangan gambar-gambar yang pernah dilihat sebelum ini mula berlegar dalam kepala.

Kata sepakat diambil. Kita mesti ke sini. Sekejap pun jadilah. Ekspedisi pun bermula mencari keunikan yang jarang orang lain mahu cari jika ke Kashmir. Memang ini tak masuk dalam iteneri langsung sebelum ini. Edisi terjah saya kira.

Kawasan kilang bata ini terletak dalam laluan ke Pahalgam. Jalan nak masuk sempit dan hanya muat-muat satu kenderaan sehala sahaja. Jika bertembung kenderaan lain pun, pandai-pandailah pemandu nak adjust bagaimana. Kami yang duduk dalam kenderaan, hanya mampu berdoa panjang dan tutup mata sambil kadang kala terjerit tanpa sengaja.

Kebanyakkan pekerjanya bukanlah warga Kashmir. Sekilas melihat wajah mereka, sudah tahu. Berbeza. Mereka datang ke sini untuk bekerja. Gaji yang diberi sikit dan ia dikira berdasarkan jumlah bata yang dibuat. Sebulan, seorang boleh buat dalam 2000 bata dan gaji bagi 1000 bata dalam 500 rupee.

Sikit kan? Sudahlah serba serbinya manual untuk buat bata ini. Semua guna kudrat tangan yang ada.

Kashmir yang punya banyak cerita. Jika di luar sana, banyak disajikan tentang lokasi menarik, kesedapan makanannya, keindahan tempatnya, ada sisi lain tentang Kashmir yang saya lihat. Realiti kehidupan. Ya, saya belajar lagi tentang hakikat hidup.

Sampai saja ke kawasan kilang ini, keluar dari kenderaan, saya cekup selendang dan lilit ke muka. Lebih tepat, saya tutup hidung dan mulut. Hanya nampak mata sahaja. Tempatnya berdebu dan saya sendiri tak tahan. Jika kami yang baru datang sudah begini, menutup segala, bagaimana mereka yang hari-hari di sini. Allah.

Saya fikir, hanya ada orang dewasa sahaja di sini, tapi rupanya ada kanak-kanak juga. Saya difahamkan, mereka ini tinggal di sini. Lagi sekali realiti kehidupan terbentang depan mata.

Rakan saya membuka beg dan beri makanan yang ada pada anak kecil ini. Walaupun cuma sebungkus dua makanan ringan dan pisang, ia cukup buat anak-anak ini tersenyum menerima malah berkongsi sesama sendiri. Lihat, dalam tak cukup untuk makan seorang, mereka berkongsi. Satu demi satu kemurnian kelakuan mereka ditunjukkan depan mata.

Di saat kita cukup makan, cukup pakai, mereka ini seadanya. Apa yang terhidang, itulah yang dimakan. Betapa beruntungnya diri ini. Walaupun pernah rasa sukarnya hidup, tapi tak sesusah mereka. Tak pernah kaki berdebu tanpa berselipar sekalipun di luar rumah. Tak pernah baring beralaskan rumput kering sekalipun seperti mereka. Tak pernah langsung. Diri ini masih lagi berumah, berkipas, berdinding dan berbumbung lengkap.

Di saat ada antara kita ada kerja, tapi kadang kala culas dan terbabas dalam tanggungjawab. Waktu kerja leka dengan berfacebook, melayan media sosial meraih jumlah like, komen dan share. Tapi mereka, terus berkerja mengumpul gaji bulanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Panas terik, itulah sumber rezeki yang harus diraih. Bukan mengeluh sekalipun mengelak.

Kashmir. Punya satu karektor perjalanan yang sangat misteri. Melihat kecantikkan alamnya yang sering disebut orang, menjadi pujaan dan impian ramai orang untuk ke sini, ada tersembunyi jalur kehidupan manusia lain yang orang tak perasan. Tempatnya terpencil dan bukan tumpuan pelancong. Mereka dalam dunianya yang tersendiri meneruskan liku perjalanan hidup sama seperti kita, hanya berbeza cara dan bagaimana.

Berjalan mengutip pengalaman dan bersyukur atas segala nikmat, bukan mengeluh.

Sungguh, berada di Kashmir, kita memburu dan menikmati ciptaan Tuhan dengan indah sekali. Namun, dari sisi lain, kita juga belajar tentang kemanusiaan dan erti hidup.

Erti hidup dalam kegembiraan, erti hidup dalam belajar mengenal diri sendiri.

Semoga perjalanan kembara ini tidak sia-sia, dan semoga perjalanan seterusnya akan mendekatkan diri dengan Tuhan, pencipta alam semesta.

Terima kasih Kashmir. Dunia kamu sangat istimewa di hati.

Tiba-tiba, perasaan rindu pada Kashmir muncul. Perasaan itu datang ketika leka melihat kembali gambar-gambar yang diambil ketika di sana.

Teringat akan Shikara, pengangkutan umum jika menginap di houseboat, Dal Lake. Inilah yang dinaiki saban pagi dan lewat petang.

Masih lagi terasa ayunannya ke kiri dan ke kanan. Dengar kocakan air, kicauan burung berterbangan dan warna alam yang mempesona hati. Terbayang reflection deretan houseboat di atas permukaan tasik.

Shikara, sampan berbumbung yang boleh memuatkan hingga 6 orang bergantung pada saiz badan.

Yang sukakan pada suasana rilek menikmati alam, boleh duduk dibahagian tengah dan berangan seperti maharaja dan maharani.

Manakala yang berkehendakkan tangkapan gambar dan video menarik mata, boleh duduk di bahagian hadapan ataupun belakang berhampiran dengan pendayung Shikara. Tiada paksaan kerana itulah tujuan ke Kashmir. Menikmati alam dan pemandangannya yang cantik-cantik belaka.

Seperti tempat lain, Dal Lake punya keistimewaannya yang tersendiri. Sepadan dengan gelaran yang diberi “Jewel in the crown of Kashmir” atau “Srinagar’s Jewel.” Tasik yang paling cantik dengan berlatarbelakangkan lembah pergunungan Himalaya yang masih boleh kelihatan salji dipuncaknya walau pada apa musim pun. Indah sekali.

Teringat kisah cinta pandang pertama hanya menerusi buku catatan dalam filem Notebook apabila melihat pulau kecil yang dinamakan Char Chinar disaat mengelilingi Dal Lake. Kisah yang bukan hanya pada memperjuangkan soal cinta dalam diam, tapi juga tentang berdamai dengan diri. Dari seorang yang tegas dan keras, berubah berhati lembut disaat bersama anak kecil.

Sungguh. Seperti Notebook, cinta pandang pertama tak pernah lupus dalam ingatan apabila menyebut Kashmir. Banyak pengalaman hidup yang dapat dikutip. Bagaimana setiap musim berubah, begitulah juga pola kehidupan mereka mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Zanariah Salam
Memandang alam dengan fotografi.

Tak sah kalau ke Kashmir, tak singgah di Sonamarg. Pergi ke sini mesti terus teringat cerita Bajrangi Bhaijaan. Ala yang ada scene gunung ganang yang diliputi salji itu la.

Tak banyak subjek untuk human interest di sini kecuali kalau nak buat staging. Selebihnya, layan ambil landscape sajalah. Berdiri ditempat yang kiri kanan gunung ganang, memang boleh buat hati sejuk saja. Nak pekik jerit pun boleh kalau kat sini. Lepaskan geram orang kata. Janji siap sedia menahan muka tebal seinci nanti. Haha.

Nak ke sini kenalah naik kuda. Tapi kalau ada stamina kuat, nak berjalan kaki pun boleh. Tapi sanggup ke? Jauh wei, dengan udara agak nipis, naik bukit, turun bukit, mencabar gak. Tapi pemandangan sekeliling memang superb.

Kat sini, setiap musim berbeza pemandangannya. Kalau masa winter, penuh gunung ganang tu dengan salji. Silap-silap nak masuk ke sini pun tak boleh kalau salji tebal. Tapi masa autumn, pokok-pokok tu akan berwarna kuning merah daunnya. Masa trip lepas baru ni, boleh dikatakan dah nak penghujung summer dan nak masuk autumn. Jadinya dapatlah langit membiru dengan seketul awan pun tak ada. Cuma masa kami nak bersiap beredar dari sini, barulah awan mula muncul. Yeay.

Pacak tripod, layan buat panorama 180 darjah dengan hembusan udara dingin, lepas itu buat long exposure dengan big stopper kat tepi anak sungai itu memang jadi kegilaan buat pengemar landscape. Memang heaven. Silap-silap kalau ada cukup masa dengan keadaan mengizinkan, layan buat milky way pun best kat sini kan. Bayangkan lah.

Berada kat sini memang serba serbi lawa pemandanganya. Tak susah mana, halakan saja kamera tu ke mana-mana arah. Lawa saja kejadiannya.

Nah, saya kumpulkan gambar Sonamarg. Lebih kepada gambar gunung ganang la yea. Yang lain, saya lebihkan dengan rakaman dalam mata saja. Kalian kena sekali datang sini. Tengok sendiri apa yang mata saya nampak.

Zanariah Salam
Suka ambil gambar travel buat hati girang.

Buat mereka yang berhajat mahu ke Kashmir nanti, pergilah ke Floating Market. Tengok sendiri bagaimana suasana jual beli dalam sampan. Ini antara satu-satunya floating market yang ada di India dan mula menjadi tumpuan peminat fotografi sejak ada seorang fotografer dari Jepun merakamkan suasana di sini dalam buku panduan pelancongan yang diterbitkan di Jepun sekitar tahun 1960 lepas.

Untuk ke sini, kenalah bangun awal pagi tau. Boleh mandi cara P. Ramlee dulu kalau tak tahan sejuk. Lepas solat subuh, segeralah naik shikara. Dalam 30 – 40 minit sampailah.

Sepanjang perjalanan itu, akan ada saja momen menarik nak rakam. Sampaikan angsa yang tengah bersidang pun dah macam rupa retis gayanya kita ambil gambar dia tanpa henti. Nasiblah kau lah angsa, terserempak dengan kami. Ramai OP dengan DoP dalam shikara.

Reflection jangan cakaplah. Awal pagi, air tasik tenang. Memang jamuan dalam memori kad saja. Sambil-sambil itu, bolehlah cuba hembus nafas, kut-kut nampak kepulan asap keluar.

Ada pelbagai tanaman dijual dek kerana bagusnya ekosistem kat tasik ini. Jangan tak tahu, batas tanaman dibina secara terapung tau. Nak tengok mereka guna timbang jenis dacing pun ada kat sini.

Damai saja tengok cara mereka. Macam tak pernah runsing dengan pergolakkan yang tengah melanda sekarang. Sudah hampir lebih 50 hari dalam perintah berkurung dan kali ini antara yang teruk kena. Semua talian komunikasi, internet diputuskan kecuali land line, malah ada sesetengah tempat, bekalan elektrik dan air pun terputus. Nak beli minyak kat stesen pun khabarkan kena catu. Kita doakan sama-sama supaya mereka bebas daripada konflik ini secepat yang mungkin.

Dan waktu kami kat sana, keadaan terkawal. Ikut saja driver cakap apa. Mana tempat boleh ambil gambar kita ambillah. Mana yang tak digalakkan itu, kita rakam dengan mata saja. Mudah saja sifirnya.

Tak nak sedih-sedih, kita tengok dulu hasil gambar sikit. Macam biasa, masih lagi daripada Sony RX100vi dan ada beberapa keping gambar hasil jepritan Gopro 7. Rugi kalau kat sini tak ambil wide shoot. Banyak momen menarik. Dan sini antara tempat kesukaan saya.

Zanariah Salam
Ambil gambar travel dengan sukahati.

Bumi bertuah yang subur tanahnya. Walnut, safron, kambing biri-biri, epal, padi semuanya ada di sini.

Semua tempat cantik. Memang halakan saja kamera atau smartphone di kiri dan kanan. Tunggu momen hadir, lawa kejadiannya.

Namun, ada yang diangan, tidak kesampaian. Hajat mahu makan epal segar petik dari ladang di Pahalgam sambil minum jus epal terbantut gara-gara laluan ke sana ditutup kerana pergolakan yang melanda sekarang ini. Pasrah, kami tukar ke laluan lain.

Wow, tak sangka, Dia hadiahkan memori yang paling cantik rupanya. Sebati dengan jiwa yang memang sukakan gambar human interest. Puas. Kawan yang lain pun sama. Tersenyum masing-masing membelek kamera.

Wah, adoi, ei, eh eh, mazbalay, tak pernah lekang disebut banyak kali. Pantang nampak kambing lalu, orang berjalan, hinggakan pada helang dan itik pun ada saja momen menarik diambil.

Tak pernah membayangkan sebegini cantik Kashmir. Celah inci setiap muka buminya memang buat rasa tak nak balik saja. Lebih lagi bila dapat jejak tempat shooting filem Notebook. Wei, awesome sungguh la hai. Paling bertuah, bila tiada ramai pelancong kali ini. Merata gambar ‘clean’ saja.

InsyaAllah, Kashmir selamat. Kita doakan sama-sama supaya ia kembali pulih, dan lebih ramai pelancong datang ke sini. Makan sedap, pemandangan mengasikkan memang menjanjikan kenangan terindah dalam memori. Kita sama-sama bantu mereka. Malah mereka sendiri sangat-sangat memuji setiap kali orang Malaysia datang ke sini. Barangkali sebab kita ni, boleh dikatakan kaki ‘shopping’ juga la kan.

Nah, saya paparkan sedikit momen menarik yang sempat kamera Sony RX100vi saya rakamkan. Kali ini lebih travel light sebab bawa orang.

Menakjubkan apabila setiap kali masuk, ada saja momen dan perhentian berbeza. Tidak pernah puas nak ke sini sebenarnya.

Zanariah Salam
Suka ambil gambar travel.

error: Content is protected !!