TAYAR PANCIT TEMUKAN AKU DENGAN SEKAWAN KAMBING

123

“Kita kena berhenti tepi. Tayar bas kita ada masalah!” Jerit pemandu kami, sejurus selepas satu bunyi yang agak kuat kedengaran. Agak menyeramkan. Entah langgar apa pun kami tak pasti. Mulut pemandu kami yang tadinya becok cakap tak henti, jadi diam seketika. Kebingungan barangkali.

Sekadar pancit atau tayar pecah?

Kami bertujuh turun daripada bas dan masing-masing melihat tayar belakang belah kiri. Lembik terus. Oh, mujur pancit sahaja. Tapi kesan lubangnya agak besar. Nasib baik tak jadi apa-apa yang buruk. Syukur sangat-sangat. Sambil berfikir, ada tayar simpanan ke tak pemandu ini? Naya betul kalau tak ada.

Dengan perut yang sudah mula berbunyi dangdut berdondang sayang, berhenti tepi lebuh raya yang tak ada apa, buatkan saya buntu. Perjalanan menuju hotel jauh lagi. Kami dari Agra dan mahu menuju ke Jaipur, jadinya bertambah lewat lah kami sampai. Aduh. Bagaimana ini?

Sempat salah seorang dari kami abadikan gambar begini seolah-olah meminta bantuan daripada pengguna lebuh raya yang lain. Waktu ini, keluarkan beg di belakang untuk ambil tayar simpanan.

Tersadai begini tidak ada dalam iteneri perjalanan kami. Bertanyalah kepada mana-mana pengembara, jawapan yang pasti, tidak ada dan memang minta dijauhkan. Namun, sudah ketentuan, apa boleh buat, kita redha sahaja.

Kawan-kawan lelaki sibuk menolong apa yang patut. Masing-masing tunjukkan skil yang ada. Tayar simpanan dan peralatan jack dikeluarkan. Sedaya upaya punat skru dibuka. Ketatnya ya ampun saya lihat. Berkerut-kerut muka masing-masing memulas tenaga yang ada sambil control macho.

Saya? Penat mencangkung, saya berdiri. Tak tahu nak buat apa. Nak menolong pun, bukannya saya mahir hal ehwal pasal kenderaan. Biarlah kawan-kawan lelaki dengan kudrat mereka membantu. Saya perhati dan hulurkan air mineral sahaja jika perlu. Nak nyanyi pun, suara tak sedap, hujan turun nanti lagi haru jadinya. Baik tak payah, dan duduk diam-diam sahaja.

Nak ambil gambar pun tiada mood. Di seberang lebuh raya, kenderaan tak banyak, tapi tetap saya tak berani nak mencuba-cuba melintas walaupun dalam hati mahu meninjau apa yang ada di sebelah sana melihat jika ada subjek menarik. Cari nahas buat kerja gila begini. Tak pasal-pasal nanti jadi lain pula.

Tersadai begini, buatkan jiwa rasa kosong. Sudah set dalam kepala mahu ambil gambar sebanyak-banyaknya sebelum ke India. Maklumlah, ini adalah kembara atas tiket fotografi, jadi harus dan wajib ambil gambar sepuas yang mungkin. Tapi bila jadi begini, buntu nak buat apa. Bingung habis. Faktor lapar barangkali, otak jadi jammed. Tak boleh fikir, walhal, boleh sahaja saya rakam momen kawan-kawan semasa tukar tayar kan. Dah balik, dan ketika menulis kisah ini, baru terfikir. Alahai ruginya.

Belah kiri lebuh raya, tempat kami berhenti pula yang kelihatan hanyalah satu kawasan tanah lapang kosong. Kering, langit pula kusam warnanya dan tiada satu pun gumpulan awan kelihatan. Kesan pencemaran udara begitu sekali merubah warna ruang angkasa.  Saya mula merindui biru langit dan kepulan awan di Malaysia yang menyegarkan mata melihat. Betul kata orang, walau sejauh perjalanan ke mana-mana negara luar, negara sendiri juga yang terbaik. Ini baru nampak langit, sudah merindui tanah air. Kalau nampak perkara lain, entah apa lagi yang dirindui. Ehem, ehem, batuk pula tiba-tiba.

Tak lama saya bermonolog sendirian, kami kedengaran sesuatu.

“Mbeek, mbeek” Sayup. Seperti pernah ku dengar bunyi ini, tapi di mana ya? Kawan saya, Perakman, nama gelarannya, suruh saya menoleh ke belakang.

Itu seperti suara kambing.  Seriuslah.

Kambing? Di tepi lebuh raya begini? Mustahil. Tapi akal saya dipasak dengan ayat yang selalu kawan-kawan kata, “Di India, tiada yang mustahil. Haiwan merata ada di mana-mana, walau di jalan raya yang ada ramai orang.”

Memang betul. Ada sekawan kambing di hujung sana. Betul-betul sebelah kiri tepi lebuh raya. Tak jauh dari tempat kami berhenti. Tak semena-mena, kaki terus melangkah masuk ke dalam bas dan ambil beg kamera. Saya tak peduli dengan pemandu yang sibuk memeriksa tayar dan buat apa yang patut. Malah kawan-kawan saya turut ambil kamera masing-masing. Kami biarkan saja dia dengan tayarnya. Kejam betul rasa kalau difikirkan semula.

Ini peluang. Mana harus dibiarkan saja. Kamera Sony Nex5N dan lens 35mm f2.8 saya capai. Mujur bateri dan ruang memori masih berbaki.

Sekawan kambing meragut rumput yang ada sambil menuju ke arah lebuh raya.
Apabila kambing ini menghampiri, saya tak buang masa untuk terus buat close up.

Saya mula ambil posisi. Beruntung waktu ini, adanya tilt skrin pada kamera banyak membantu untuk saya ambil gambar di celah-celah rumput. Tak perlu saya nak meniarap bagai. Hanya rendahkan kamera dan condongkan monitor skrin dan snaplah. Walau usianya sudah lebih 5 tahun, ia masih bagus mencurahkan bakti. Saya sayang kamu wahai kamera.

Mood yang hilang tadi, kini datang kembali. Bagai mendapat candu, sebanyak mungkin momen saya rakamkan. Atas, bawah, kanan dan kiri, habis semuanya saya pulun. Bukan senang mahu ambil momen begini, lebih istimewa di tepi lebuh raya bertol. Inilah antara momen yang menjadi idaman. Ada pengembala, ada sekawan kambing dan di tanah lapang. Lebih dramatik lagi, pijakkan kaki kambing itu menghasilkan debu-debu berterbangan yang menambah rencah dalam gambar yang dihasilkan. Ini memang terbaik. Debu-debu cinta saya gelarkan. Tetiba saja kan.

Pijakkan kambing pada tanah ini membuatkan debu berterbangan dan ia memberikan efek gambar yang sangat dramatik.

Saya mula terbayang contoh-contoh gambar yang pernah dilihat dipaparan media sosial dan website. Setting kamera dibetulkan, dan kerana saya menggunakan lens 35mm, keterbatasan focal length menjadikan saya harus berfikir kreatif supaya petikan shutter tidak jadi sia-sia.

Nah, saya kira, berpuluh keping gambar juga saya ambil. Dan akhirnya inilah koleksi yang ada setelah ditapis-tapis.

Puas hati? Ya dan Tidak.

Ya, puas hati kerana ini antara momen idaman saya sebelum ke India.

Tidak, kerana, ada beberapa ketika, saya agak kelam kabut dan menjadikan gambar yang diambil kurang menarik dan berada di komposisi yang tak sepatutnya. Seharusnya saya lebih bersabar atau sekurang-kurangnya lebih kreatif bermain dengan ruang dalam mengambil sudut terbaik.

Sempat suruh pengembala ini bergambar sikit. Masa ini cara komunikasi bagai ayam dengan itik la.
Eh, eh dia. Tak cukup yang ada di tanah, dia ragut yang atas pokok pula.

Namun, walau apapun, inilah antara pengalaman menarik saya dan kawan-kawan ketika ke India pada Nov 2016. Tersadai kerana kerosakkan pada tayar bas, rupanya Tuhan mahu hadiahkan begini tanpa disangka. Depan mata, melihat gelagat sekawan kambing mahu melintas lebuh raya. Momen yang saya memang nak sangat, walaupun sekejap cuma.

Sungguh,

Allah tidak akan beri apa yang kita mahu secepatnya, tapi beri apa yang kita perlu diwaktunya.

Siapa sangka kan? Jadi jangan sesekali merungut atau pun pandang remeh pada benda-benda yang kecil. Kerana kita tak tahu, rupanya ada kenangan manis yang Tuhan mahu hadiahkan. Bersangka baiklah selalu.

Pengembala sudah sedia dengan kambingnya nak melintas lebuh raya.
Sebelum melintas, kawalan trafik haruslah diutamakan.
Okay, lintas sekarang!
Jangan pandang-pandang, lintas sahaja.
Okay, selamat melintas. Kita tengok trafik belah sini pula.
Ready, go!

Benar kata orang,

Hidup itu adalah sebuah perjalanan bukan sebuah perhentian.

Walaupun kita berhenti di mana-mana, ia tetap satu perjalanan untuk melihat diri dan memandang hidup orang lain. Ada banyak perkara boleh belajar daripada mereka. Suasana yang tak pernah nampak di tempat sendiri begini, rupanya boleh saya rakam dan lihat sendiri ketika musibah datang melanda.

Mudahnya cara mereka hidup. Jalan terus tanpa perlu fikir seribu satu macam persoalan. Setiap masalah pasti ada jalan. Tak boleh ragut rumput belah sini, kita bawa kambing cuba belah sana. Ada lebuh raya, kenderaan banyak? Susah apa, lintas sahaja dan angkat tangan minta laluan, pasti ada yang faham dan memberi jalan. Hidup harus tenang-tenang sahaja kawan. Fikir banyak masalah sangat buat apa?

Perkara yang biasa di mata penduduk tempatan, tapi sesuatu yang rare di mata kami. Dan kemudian, cuba dikira jumlah kambing yang ada. Ishh, tak ke kaya mereka ini. Sungguh kan?

Zanariah Salam
Mencatat menerusi lensa.

Comments are closed.