Ketika mula-mula mahu menghasilkan buku bergambar kanak-kanak, saya jadi bingung bagaimana mahu menghasilkan ilustrasi.
Nak melukis, tapi mengakui kemampuan diri yang kurang berlatih melukis, saya jadi khuatir jika hasilnya tidak memuaskan hati. Saya masuk kelas Domestika dan lihat contoh-contoh ilustrasi yang dihasilkan di google. Namun, masih belum jumpa yang berkenan di hati. Saya mahukan ilustrasi yang saya seronok mahu melakukannya selain menggunakan teknik kolaj.
Hinggalah saya terlihat ilustrasi Pipa oleh kak Emila. Oh ya, kak Emila ada menulis sesuatu tentang ilustrasi diorama kertas. Boleh baca di sini, https://emilayusof.com/2024/01/illustrating-childrens-picture-books-with-paper-dioramas/
Diorama kertas!
Nampak seperti mudah nak buat. Telahan pertama. Buat watak, susunkan ia sepertimana scene dalam storyboard, dan kemudian ambil gambar. Siap!
Namun…
Ada kerja-kerja belakang tabir yang pelbagai perlu dipersiapkan.
Ibarat mahu mengambil gambar produk, watak dan prop perlu disusun sepertimana yang diinginkan supaya hasilnya masuk dalam susunan layout dalam buku.
Sekali ambil gambar, masukkan dalam layout, namun, ada bahagian yang tidak kena di mata.
Jadi proses diulang hinggalah puas hati.
Daripada sekeping, jadi berkeping-keping. Itu belum ditambah lagi dengan angin yang bertiup ketika sesi fotografi diambil di luar rumah. Haha.
Memang mencabar!
Tapi akhirnya saya puas hati.
Saya boleh rumuskan, setelah menghasilkan diorama kertas bagi buku bergambar kanak-kanak, Aimi Tidak Murung Lagi, ini antara perkara yang perlu ada,
- Betul-betul faham storyboard yang telah dirancang. Yang mana foreground, middle ground dan background.
- Tenang dan jangan ghairah menyusun watak dan prop hingga terlupa bahagian untuk perletakkan teksnya.
- Tahu pencahayaan. Tentukan sama ada mahu menggunakan cahaya semula jadi atau artificial light.
- Tahu asas fotografi serba sedikit.
- Mahir menggunakan perisian suntingan seperti Lightroom atau Photoshop untuk proses suntingan gambar.
- Banyakkan bersabar.
Aimi Tidak Murung Lagi, buku bergambar kanak-kanak yang saya terbitkan secara swaterbit pada 2022. Buku ini juga adalah salah satu buku yang dihasilkan dalam tema biblioterapi semasa sesi Peer Writer oleh Swaterbit Kids Book pada 2021.
Dalam buku ini, saya menggunakan pendekatan membaca dan ambil gambar sebagai terapi diri. Dorongan yang diberi oleh ayahnya, membawa Aimi meneroka ilmu baru. Kenangan bersama ibunya tersemat dalam hatinya dan menjadi pembakar semangat untuknya terus berjaya dan mengatasi kemurungan dalam dirinya. Kejayaan tidak diduga membawa Aimi kepada satu semangat baru. Dan pasti yang banyak membantu, tentulah ayahnya.
Judul ini berada dalam 50 Best Malaysian Titles for International Rights 2021/2022 bagi versi hardcover dan telah dibawa ke Frankfurt Book Fair pada 2022 lepas.
Buku bersaiz 8 inci x 8 ini dengan 20 halaman berwarna dan berkulit softcover ini boleh didapati secara fizikal di shopee di sini. Atau jika berada di Kuala Lumpur, boleh terus ke Museum of Picture Book Art atau galeri Emilatopia di Level 1, GMBB, Jalan Robertson, KL.
Terima kasih bagi yang telah mendapatkan buku ini. Semoga ianya memberi manfaat dan anda gembira menikmati ilustrasi yang dihasilkan pada setiap halaman.
Comments are closed.