PERADABAN SENI BINA DAN ISLAM DI MASJID JAMA, DELHI, INDIA

150

Melupakan keenakan tidur dan dingin pagi, kami bertujuh segera bersiap untuk ke Masjid Jama, salah satu peninggalan empayar Shah Jahan selain Taj Mahal. Bantal dan selimut seolah memanggil-manggil supaya tidurlah lagi, tidurlah lagi, tapi hati kena nekad, kena bangun juga. Ke sini ada tujuan, bukan makan angin. Kena penuhi KPI ambil gambar, baru berbaloi dengan jumlah pelaburan visa, tiket kapal terbang dan segala macam perbelanjaan. Bukan seringgit dua kosnya. Beribu.

Ke India, atau lebih tepat ke New Delhi, jika tidak singgah ke sini memang tak sah. Keindahan senibinanya memikat hati. Kenapa, tengoklah pada gambar yang saya tunjukkan ini. Baca sampai habis post ini.

Masjid Jama adalah salah satu masjid yang terbesar di India. Dibina pada tahun 1644 hingga 1656, dengan kudrat hampir 5,000 orang, kini masjid ini sudah berusia lebih 370 tahun. Lama kan?

Sampai di sini, saya perhatikan sekeliling. Ada 3 buah pintu gerbang (the north, the south dan the east) yang boleh digunakan untuk masuk ke dalam masjid. Mengah juga kudrat yang ada memanjat tangga di awal pagi. Terasa dinginnya hingga ke tulang, padahal waktu itu saya sudah memakai baju sejuk. Memang sejenis manusia yang tak tahan sejuk, beginilah. Awak bagaimana? Sama macam saya tak?

Salah satu pintu masuk. Tengok tangganya. Gigih pagi-pagi ke sini.

Atas tiket fotografi, untuk masuk ke dalam, kami perlu membayar 300 rupee setiap seorang, atau lebih kurang RM15 duit Malaysia apabila kita convert nilai currency. Dan jika penjaga nampak ada 2 atau 3 kamera di tangan, bayaran tambahan akan dikenakan. Jadi kenalah berhati-hati menggunakan peralatan yang ada di tempat orang.

Datang awal dan ambil gambar di lokasi ini. Personally saya suka dengan reka bentuk masjid ini secara keseluruhannya.

Selepas bayar tiket masuk, kami disuruh untuk membuka kasut. Mujur pada ketika itu, saya ada membawa beg plastik, jadinya masukkan kasut dalam plastik dan gantung di beg. Penggunaan tripod tidak dibenarkan di sini. Punah harapan untuk buat long exposure ketika blue hour hingga matahari terbit. Kena berfikir kreatif, bermain dan pusing-pusinglah dengan ISO, shutterspeed dan aperture yang sesuai. Beg kamera jadi support sementara sebab kekangan kebenaran penggunaan tripod.

Jauh dari Malaysia, dalam siri kembara, dan berada di sini, macam-macam perasaan dalam hati. Banyakkan bersabar dan tenang-tenang sahaja.

Melangkah masuk tanpa kasut, kaki mula merasai tekstur lantainya yang beralun dan bergaris.  Berjalan berhati-hati supaya tak terpijak tahi burung merpati yang ada di sini. Bukan satu kepelikkan di sini untuk melihat burung merpati di mana-mana. Jadi berhati-hati sahajalah. Disarankan untuk membawa stokin lebih, supaya mudah untuk bertukar ganti jika tak sempat nak basuh. Faham kan maksud saya.

Orang ramai mulai memasuki ruangan masjid selepas matahari terbit.

Ada 3 kubah di atas masjid seakan berbentuk bawang yang ditutupi dengan jalur marmar hitam dan putih. Di dalamnya, menuju ke ruangan solat, lantainya berbentuk sejadah yang diperbuat daripada marmar berwarna putih dan seloreng hitam.

Di tengah-tengah, ada sebuah inner counteryard yang menempatkan kolam penampungan air untuk sesiapa membasuh tangan dan kaki sebelum bersembahyang. Keseluruhan dataran ruang solat boleh menampung sehingga 25,000 jemaah pada satu-satu masa.

Kagum dengan ciri senibinanya yang unggul dan kemas mengatasi teknologi yang ada pada masa dahulu. Secara tak langsung, dengan wujudnya masjid ini, ia buat saya sedar dan membuktikan sumbangan hebat Shah Jahan terhadap peradaban seni bina dan Islam. Malah, muslim boleh menunaikan solat secara berjemaah pada setiap waktu, solat Jumaat serta solat AidilFitri dan AidilAdha dengan lebih mudah tanpa diganggu.

Kesepaduan dan perkumpulan begini serba sedikit membuktikan semangat umat Islam di sini masih ada dan utuh, kerana kami difahamkan, mereka juga masih berdepan dengan karenah golongan pelampau Hindu yang sering mengugat dan mengganggu keharmonian Islam di India.

Cuma untuk muslimat, keadaannya tidak sama seperti di negara kita. Di sini, jarang atau memang tiada langsung orang perempuan Muslim bersembahyang di masjid. Jadi, untuk solat subuh, kami harus mencari ruangan kecil di tepi, bentangkan sejadah nipis yang dibawa sendiri dan solatlah.

Sembahyang subuh jemaah.
Ruangan solat dalam masjid

Sepanjang pagi kami berada di sini. Merakam segala momen yang nampak depan mata. Kunjungan kali pertama saya pada Feb 2015, saya kemaskan lagi foto ketika kedatangan kali kedua ke sini pada Nov 2016. Ada beberapa aspek yang saya perbaiki dengan mengambil lebih ruang dalam gambar saya. Sebab itulah, pada saya, kunjungan pertama selalunya adalah peluang untuk kita melihat dan memerhati. Jika ada rezeki untuk datang kembali, kita perbaiki ia dengan lebih baik lagi.

Masih menggunakan peralatan kamera yang sama, Sony A6000 dengan lens 10-18mm f4, saya membuat satu foto siri suasana Masjid Jama dalam siri hitam putih. Menggunakan lens wide begini memudahkan kerja saya. Secara peribadi saya suka pada senibina yang ada di sini. Dari aspek fotografi, banyak elemen menarik yang boleh dirakam. Hanya perlu tahu mahu perhatikan yang bagaimana.

Ambil satu tema dan ekplorasi lah.

Kembara mencari pengalaman hidup. India yang penuh dengan cerita kehidupan.

Masjid Jama dalam siri hitam putih.

Perhatikan pada 3 kubahnya yang seakan berbentuk bawang.
Tempat wuduk. Masih lagi saya gunakan elemen framing dan juga perasan tak, bangunan di luar masjid. Pertembungan senibina di sini.
Waktu ini, saya letak kamera di lantai dan tunggu orang lalu dan masuk dalam frame yang telah saya komposisikan.
Masih lagi kamera di lantai.
Pray of Hope. Di sinilah terletaknya inner counteryard yang menempatkan kolam penampungan air untuk sesiapa membasuh tangan dan kaki sebelum bersembahyang
Perhatikan pada dinding dan binaan masjid ini.

India, negara yang penuh dengan kejutan. Jika mencari momen, di sinilah salah satu tempatnya. Duduk dan perhatikan mereka, banyak gambar yang boleh kita ambil. Hanya perlu tahu, kita mahu yang bagaimana.  Atau jika mahu lebih punya cerita, buatlah satu tema. Berbual dengan penduduk setempat dan fahami kehidupan mereka. Ini akan membuatkan gambar yang kita ambil lebih bermakna dan bercerita.

Zanariah Salam
Memerhati dengan lensa kamera

Comments are closed.