Kita sudah melangkah ke tahun baru, tahun 2021. Selangkah lagi ke hari baru, masa baru, kehidupan baru. Serba serbi baru. Mahu buat itu ini, azam baru itu ini, namun, membaca tetap perlu ada dalam memangkin diri untuk lebih tahu dan ambil peduli.
Antara buku yang saya rekomen untuk kawan-kawan saya miliki juga di tahun 2021, inilah dia “99 Jujur Kata Buya Hamka”.
1. Semua 99 kata-kata Buya Hamka dihimpunkan mengikut 7 bahagian. Dimulakan dengan dakwah, ekonomi, keluarga, percintaan, perjuangan, politik dan sosial.
2. Setiap satu kata-kata diulas ringkas oleh Datuk Budiman (pengasas Pustaka Hamka Sungai Besar) semudahnya untuk kita lebih faham apa yang Buya Hamka nukilkan. Siap ada ilustrasi cantik menghiasi yang dilukis oleh saudara Sani Sudin. Dan Dai Hakim (juara Dai TV3, musim ke 5) memberi kata penghantar di dalamnya.
Sebagai contoh, pada halaman 60, memetik kalimat pada Tasawuf Moden,
Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.
Dan diulas begini pada halaman 61,
Harta hanyalah titipan hidup. Ia datang dan pergi. Oleh itu amatlah tidak wajar harta dicintai kerana mencintai harta akan membuka pintu haloba. Yang perlu kita lakukan ialah menjaga harta itu dengan keinsafan bahawa ia adalah pemberian Allah SWT. Kerana ia pemberian Allah, gunakanlah untuk jalan Allah dan kerana Allah.
Dengan sentiasa ingat bahawa harta itu anugerah Allah, tingkat kesyukuran kita tentu bertambah apabila dilimpahi dengan harta yang banyak. Dengan itu hati kita bertambah teguh dan iman kita juga akan bertambah kukuh.
3. Membaca semua kata-kata ini, kita akan tertarik untuk membaca lebih lanjut buku-buku Hamka yang lain dan menjadikannya koleksi peribadi.
4. Ungkapan kata-kata lisan dan penulisan Hamka ini sangat relevan untuk kita dalami, fahami dan renungi kerana ia mencakupi segala hal cabang kehidupan dan punya nilai ilmu yang sukar dicari galang gantinya di Nusantara ini.
5. Rekabentuk buku ini sangat comel. Mudah untuk dibawa ke mana sahaja mahupun untuk dihadiahkan kepada sesiapa untuk memberi semangat pembangunan diri dan melepaskan keresahan jiwa.
Hanya RM 25 untuk naskhah yang punya pesan-pesan yang menggunung banyaknya manfaat untuk kita sama-sama dalami.
Zanariah Salam
Mahu habiskan baca buku-buku yang sudah menunggu barisan di rak.
Comments are closed.