1001 WAJAH MENGUTUS CERITA DARIPADA JENDELA KERETA API DI INDIA

78

India. Serba serbi menarik untuk dirakamkan. Memotret tempat-tempat menarik, mengenal budaya dan cara hidup mereka yang tak pernah habis setiap kali kunjungan ke sini.

Kerana gambar-gambar Steve McCurry, fotografer yang terkenal dengan gambar The Afghan Girl, menggerakkan hati saya untuk ke India sebanyak 6 kali tanpa sedar bermula daripada tahun 2015 hingga 2019. Satu kali perjalanan atas urusan kerja ke Mumbai (pada Jan 2016), tiga kali ke Kashmir (April 2018, Okt 2018 dan Sept 2019) dan baki yang dua ke New Delhi, Agra, Puskhar, Shimla, Jaipur dan Jodhpur (Feb 2015 dan Nov 2016). Lima kali ke sini atas tiket fotografi bersama kawan-kawan sehobi. Pengaruh gambarnya begitu kuat. Mahu ada koleksi gambar seperti itu. Sungguh betul kan.

Pada Nov 2016, kunjungan ke India yang ketiga kalinya, saya beritahu untuk masukkan Stesen Kereta Api New Delhi dalam iteneri pada hari terakhir di sana. Tidak lengkap kembara sebagai seorang pemburu gambar jika tidak ke sini. Dinobatkan sebagai stesen kereta api utama di New Delhi, di sinilah lokasi terbaik melihat India.

Buat peminat street photography atau fotografi jalanan, kedatangan ke India umpama masuk ke sebuah universiti. Begitu banyak momen yang boleh diambil. Hanya perlu perhatikan sahaja. PEKA, HAMPIRI dan TUNGGU. Itu kalimat yang sering tersemat di dalam fikiran setiap kali mahu membidik gambar.

Tiba di stesen, kami perlu membayar sejumlah wang (saya tak ingat berapa rupee) untuk mendapat akses masuk ke dalam secara dekat.

Sebelum sampai di stesen, saya mula membayangkan orang duduk atas gerabak sepertimana yang pernah dilihat di internet. Rupanya tidak saya jumpai ketika di sini. Bukan rezeki agaknya. Kena pergi lokasi lain mencari, dalam hati berkata.

Kereta api datang dan pergi lalu berhenti di stesen. Menurunkan penumpang dan kemudian penumpang lain pula masuk. Ada yang datang berkeluarga, ada yang sendiri. Ada yang berkumpul selonggok di penjuru dengan sejumlah beg seperti mahu pindah. Ada yang bawa beg sandang sahaja, itu mungkin backpacker, fikir saya. Masing-masing dengan tujuan dan niat yang berbeza tapi melakukan perjalanan memasuki pengangkutan yang sama.

Apabila pengangkutan sebegini menjadi nadi penghubung. Menghubungkan dari satu daerah ke satu daerah, dari satu negeri ke negeri lain dengan mudah selain menggunakan kapal terbang, bas mahupun kereta.

Iya, mungkin jam perjalanannya jauh dan memakan masa, namun dek keterbatasan kewangan mahupun liputan rangkaian jalan, kereta api menjadi antara pilihan utama di sini. Seperti di Malaysia juga, Kereta Api Tanah Melayu (KTM) kita yang masih lagi berfungsi sebagai salah satu pilihan untuk kita pulang ke kampung mahupun keluar mengembara. Tiba-tiba saya jadi rindu mahu mengulangi perjalanan naik kereta api daripada KL Sentral ke Dabong yang pernah saya buat pada 2011 lepas. Baca pengalamannya di sini.

Saya berjalan di tepi landasan dan memerhati. Dari jendela yang berpalang, ada mata mengintai ke luar tingkap. Merenung yang entah apa pun tak pasti.

Tingkap menjadi pemisah buat sang pemerhati dan juga yang memerhati.

Setiap pandangan mata mereka berbeza. Ada yang kelihatan gembira, duka, sedih, runsing, takut dan serba serbi dengan seribu satu cerita yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Wajah-wajah dari jendela kehidupan,
Apa yang direnungkan,
Di luar tingkap itu,
Hanya mereka yang tahu.

Melihat dunia menerusi lirikan mata mereka. Mungkin barangkali mereka tertanya-tanya juga siapakah gerangan perempuan bertudung yang menghalakan kamera ke arah mereka? Gaya seperti wartawan tak berbayar. Serius dan tak lekang dengan kamera di tangan. Menyibuk saja lagaknya.

“Hai, take photo?” Ringkas sahaja saya berkata. Jika mereka diam dan senyum, terus shutter di klik. Namun, ada kalanya, mereka menggeleng tanda tidak mahu. Akur dan saya terus berlalu pergi. Tak perlu nak bergaduh mengapa tak boleh. Kita tenang-tenang sahaja dan cari momen lain.

Dari tingkap kereta api, pelbagai kerenah dan cerita kehidupan dapat dilihat. Saya paparkan dalam bentuk gambar begini buat tatapan semua. Lebih tepat, banyak elemen framing yang saya gunakan. Salah satu istilah dalam komposisi fotografi dalam menghasilkan gambar.

Jujurnya, saya belum berpuas hati dengan koleksi yang ada. Masih ada beberapa impian gambar yang mahu diambil, tidak lagi diperolehi. InsyaAllah, suatu hari nanti. Jika tidak di India, mungkin di tempat lain. Doakan!

Comments are closed.