MENJELAJAH TEMPAT SENDIRI DI PONTIAN BESAR, JOHOR

646

Mungkin ada yang tertanya, asyik gambar luar negara saja, yang dalam Malaysia tak ada ke?

Ada, ada. Jangan risau. Saya keluarkan yang luar negara sebab ia adalah kembara yang terdahulu. Ada yang dari tahun 2014 lagi.

Yang dalam Malaysia pun ada. Malah, ada antaranya di kawasan perjiranan saya sahaja.  Sekitar bandar Pontian, Johor.

Sedangkan yang jauh boleh menjelajah, yang dekat mesti lagi seronok nak diexplorasi kan?

Pernah terbaca satu ayat ini, tak ingat di mana. Ia ada menyebut,

Sometimes the best adventures happen in our backyards

Awak setuju atau tak?

Mestilah setuju kan.

Kerana tempat sendiri ini memang ada yang sangat cantik lokasinya. Kerana sering dilihat, ia jadi biasa dan tak perasan akan keindahannya. Terlupa nak memerhati. Ini selalu terjadi. Sebab itulah, sering saya amalkan untuk jadi pelancong di tempat sendiri. Serba serbi semua nak tahu, baru rasa seronok nak menjelajah.

Sempat saya berjalan di salah satu lokasi di Pontian Besar, Johor. Kawasan nelayan. Sebelum itu ke sini sebab mahu beli ikan segar yang kakak itu jual tepi jalan. Rambang mata melihat segala ikan yang ada. Harga pun murah. Senang cerita, dengan kesegaran ikan yang dijual, memang berbaloi untuk dibeli. Nampak ikan siakap, terus terbayang siakap masak tiga rasa. Nampak udang, kakak itu cakap sedap untuk dimasak tomyam. Aduh, semua sedap, kak. Rajin dengan tak rajin saja nak masak. Saya membalas.

Lepas tu, sementara kakak itu menimbang dan menyiang ikan yang saya beli, saya menoleh ke kanan dan terpandang jeti sebelahnya. Lama sudah saya perhatikan. Seakan mengimbau kenangan semasa ke Terengganu pada tahun 2018 lepas. Kawasan nelayan, ada bot, ada jala, ada ikan, ada macam-macam yang menarik mata.

Lokasi di tepi Sungai Pontian Besar, Johor. Ikan segar. Geram aih tengok.

“Akak, boleh saya ambil gambar kat tepi jeti itu” spontan terus saya tanya. Peluang yang ada bukan hadir banyak kali. Sudah datang sini, menyelam sambil minum air lah. Apa lagi.

“Boleh, pergilah”

“Terima kasih. Kejap lagi saya datang ambil ikan ini ya. Nak ke sana kejap” Balas saya lantas segera siap sedia seluk kamera dalam beg dan menuju laju ke tepi sungai. Mujur waktu ini, Sony A7C dengan kit lens 28-60mm f4-5.6 memang tersedia ada. Seronok la hai, guna kamera full frame baru Sony ini. Kamera full frame yang kecil dan paling ringan di dunia. Mudah pun iya nak bawa ke mana sahaja. Memang sesuai sangat untuk para pengembara. Tilt screen nya pun banyak membantu selain daripada eye AF trackingnya yang sangat bagus.

Sony A7C dengan kit lens 28-60mm f4-5.6
Ikan siap disiang bersih

Satu persatu saya perhati. Sungai Pontian Besar ini unik. Dari pandangan biasa, ia memang nampak sama sahaja. Tak ada apa. Sungai yang airnya seperti teh susu, bot nelayan tersusun di tepi, jaring yang menunggu untuk dibaiki dan begitu juga, ada bot yang sedang dibaikpulih di tepi. Suasana biasa bagi mana-mana kawasan nelayan. Tapi buat saya yang memang meneliti kewujudan elemen fotografi yang ada, saya perhatikan di sini sangatlah seronok untuk diterokai. Saya nampak pattern, leading line, framing dan colour contra. Lebih tepat, saya nampak cerita yang menarik di sini. Setiap satu elemen ada kisah yang menarik untuk dirakam dalam sebuah gambar.

Pakcik ini sedang baiki bot.

Jetinya lurus membentuk leading line yang memukau. Susunan botnya sekata, membentuk pattern yang menarik mata. Warna langit yang membiru dan persekitaran yang berwarna warni, begitu harmoni dalam lensa kamera membentuk colour contra yang buat mata tak berkedip melihat. Serba serbi saya nampak potensi gambar menawan jiwa jika diambil dengan betul. Wow. Ini syurga buatku hari ini. Hati girang ketawa kerana sudah lama tak merasai perasaan begini sejak keterbatasan keluar ke mana-mana dek pandemik melanda negara sejak akhir Januari 2020 lepas.

Pakcik-pakcik yang ada di jeti, peramah yang amat. Tak segan saya nak memotret di sini. Mereka pun tak kisah apabila saya beritahu tujuan ke sini.

Mengangkat hasil lautan untuk dijual

“Mahu ambil gambar di sini, Pakcik. Buat kenangan”

“Oh, ambillah. Tak ada apa kat sini pun”

“Ada yang menarik, Pakcik. Saya suka tengok suasana macam ini.

Pemandangan biasa, tapi dekat di hati

Berjalan di jeti kayu begini, menikmati pemandangan sekeliling. Deretan bot nelayan cukup melambangkan pekerjaan utama penduduk di sini. Rumah-rumah kayu di hadapan berbumbung zink simbol kehidupan mereka. Angin kadangkala menyapa pipi. Rindunya merasai suasana begini. Mendengar deruan bot nelayan pulang. Kocakan air. Bahang panas terik mentari tengah hari.

Jeti kayu yang boleh muat 2-3 orang kalau berselisih, saya langkah dengan berhati-hati. Tangan asyik tekan shutter. Atas, bawah, kiri, kanan, semua saya ambil gambar. Sesekali ada peluang begini, memang tak sayang shutter lah saya buat.

“Pandai berenang tak? Kalau pandai, naiklah bot tu. Berdiri situ. Lagi luas boleh nampak”, Pakcik menjerit memberi izin seakan mengerti kehendak yang saya mahu dalam setiap rakaman.

“Tak pandai, cik. Tak apalah. Saya berdiri sini ja”

Di sini, serba serbi nampak sederhana, tapi ada sesuatu yang mengagumi buat saya. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya tunjukkan dengan gambar dahulu. Teringat satu kalimat yang pernah saya baca dalam buku Noktah Terjahit halaman 18.

Setiap kembara yang ditempuhi kadangkala menghadiahkan pengajaran yang cuma difahami oleh sang pengembara. Pengajaran yang selalunya akan lebih mudah dicerna apabila diri dikenali.

Kerana apa?

Kerana mengenali diri ialah sebahagian dari perjalanan mengenali Tuhan.

Ke sini, ia bukan hanya tentang bersyukur semata-mata, ia untuk memahami hakikat kesederhanaan dalam hidup. Iya, makna sebuah sederhana.

Peluang nampak ada tompokan air di lantai jeti memang tak akan saya lepaskan.
Seronok pula main black and white di sini

Syurga seketika buat saya menikmati alam dan mengambil gambar. Saya fikir, jika dari awal pagi saya berada di sini, pasti akan ada cerita yang lebih menarik boleh saya rakamkan. InsyaAllah, nanti akan saya kembali lagi ke sini. Sudah kenal dengan mereka, langkah lebih mudah untuk merakam siri cerita bergambar seterusnya nanti.

Pondok di jeti. Di sinilah mereka berkumpul dan berborak sesama sendiri.

Oh, ya, saya juga sempat menyaksikan proses pengasingan kerang selepas tangkapan. Baru tahu kali pertama bagaimana kerang diasingkan, yang untuk dijual mahupun untuk dilepaskan kembali ke laut. Ada grednya rupanya. Yang bersaiz kecil akan dilepaskan ke laut semula untuk dibiakkan. Selama ini, tahu beli dan makan ja kan. Nah, datang sini, tengok sendiri. Gitu, lagi satu pengalaman hidup.

Melihat mereka, membawa satu ilmu dan kebijaksanaan yang tak pernah dijangka diperolehi dalam jangka masa singkat ketika kaki melangkah menjelajah tempat sendiri. Menarikkan percaturan-Nya?

Dan akhir sekali, saksikanlah video ringkas yang saya buat di sini. Video ini sepenuhnya menggunakan iphone 11.

Dan nak dijadikan cerita juga, selesai sahaja saya rakam video ini, mereka beri saya sebungkus kerang untuk dibawa balik. Saya kira ada hampir 2kg beratnya. Terima kasih bang. Moga bertambah murah rezekinya.

Zanariah Salam
Banyak lagi mahu diterokai

Comments are closed.