Pertama kali saya ke Kelantan seingat saya tahun 2011. Ketika itu mengikuti satu trip fotografi anjuran Sony Malaysia dengan menaiki keretapi daripada KL Sentral. Sejak dari situ, hati sudah mula jatuh hati dengan suasana naik keretapi namun keterbatasan waktu dek kerja membantutkan hasrat saya mahu ke Kelantan lagi.
Hinggalah, saya berdua bersama kawan ke sini lagi pada 2014. Ingat lagi, waktu itu bulan puasa. Bercakap tentang pengalaman masing-masing berjalan dan tempat ingin pergi lagi, keluarlah keretapi shuttle Kelantan sebagai topik perbualan.
Entah kenapa, saya rasa sesuatu dengan momen keretapi ini. Mungkin kerana tidak pernah mengalaminya sendiri, tidak pernah naik keretapi, dan tidak bangun seawal pagi mereka untuk ke sekolah.
Jun 2014, kami menaiki kereta daripada KL ke Kota Bahru. Dan kemudian, menyambung dengan keretapi shuttle ini daripada Stesen Wakaf Baru (jika saya tak silap) ke Dabong. Seawal pagi, kami sudah bersiap ke stesen di Wakaf Baru. Letih memang letih, tapi kerana gambar punya cerita, tak kisah punya.
Waktu dingin pagi hingga rasa sejuknya ke tulang, saya lihat beberapa orang sudah mula berada di stesen. Awal betul. Inilah satu-satunya pengangkutan yang boleh mereka gunakan untuk ke stesen seterusnya kerana jika melalui jalan darat, perjalanan lebih jauh.
Kemudian keretapi datang. Perjalanan bermula.
Saya berjalan dari satu gerabak ke satu gerabak. Tidak duduk, tapi memerhati. Ada keluarga dengan anak kecil dan ada makcik membawa barang. Saya melihat kesungguhan dan kegigihan pada pagi itu.
Kemudian, satu persatu budak-budak sekolah mula memenuhi gerabak. Saya terkenang situasi dahulu semasa ke sekolah. Menaiki basikal di awal pagi meredah kedinginan subuh untuk ilmu. Begitu juga adik-adik ini. Cumanya perjalanan mereka sedikit unik berbanding saya.
Inilah salah satu kepuasan bila travel ke mana-mana lokasi, bukan sahaja dapat gambar malah kita dapat pengalaman berharga sekali. Tentunya ia tak boleh dijual beli. Mahal harganya kerana waktu travel itulah, tak cukup tidur, makan seadanya dan fokus kepada tujuan apa kembara tersebut. Sejuk dan terhoyong hayang memetik shutter dikala keretapi bergerak di landasan. Asyik betul pengalaman.
Zanariah Salam
Memerhati dan merakam.
Comments are closed.