Buat mereka yang suka membaca, pilihan buku yang tepat tentu menjadi perkara utama yang harus diutamakan. Iyalah, mahu belanjakan sejumlah wang untuk pembelian buku. Ada orang berkira dan ada yang tak kisah. Masing-masing dengan citarasa dan pilihan tersendiri. Janji kalian semua membaca. Okay saja.
Nah, ini ada antara tips yang boleh digunapakai untuk memilih buku untuk dibaca. Ini bukanlah perkara yang mesti buat, tapi ia lebih kepada sedikit perkongsian yang boleh kita semua guna pakai. Ikut keserasian masing-masing. Membaca itu ada pelbagai cara. Ada orang suka pada buku fizikal, tak kurang juga pada buku digital. Terpulang. Yang penting, membaca.
Okay, kita berikan 10 tips naaa.
1. Baca ulasan tentang buku tersebut. Boleh lihat di goodreads dan ulasan yang kawan-kawan berikan di media sosial. Google pasti jumpa. Namun bagi sesetengah orang, apabila beliau sudah serasi dengan konsep yang dibawakan oleh satu-satu penerbit atau penulis, pastinya beliau akan membeli buku-buku yang penerbit atau penulis tersebut terbitkan.

2. Buku yang ada dipasaran mahal? Tanya diri sendiri, adakah kalian akan berulang kali baca buku tersebut. Jika ya, teruskan membeli tanpa ragu. Pastinya ia satu pelaburan yang berbaloi. Saya sendiri pernah beli satu buku berharga seratus ke dua ratus lebih kerana memang akan ulang baca dan tengok isi yang ada dalam buku itu. Ini belum lagi dengan buku-buku fotografi yang memang diakui agak mahal harganya. Tapi pembelian berbaloi kerana kita tahu ilmu yang kita mahu ada di situ. Jika mahu, belilah buku ketika penerbit buat jualan promosi. Mahu? Saya ada senarainya.
3. Lihat pada isi kandungan buku. Dari situ boleh menambahkan satu lagi poin kenapa harus membaca buku tersebut.

4. Terus baca mana-mana bahagian yang kalian mahu bagi buku-buku non fiksi. Kita tentukan sendiri bagaimana mahu mencipta kebahagiaan dengan membaca.
5. Tidak perlu untuk baca buku dari kulit ke kulit. Kita sesuaikan membaca ikut diri sendiri.
6. Jika sudah mulai bosan membaca satu buku, tinggalkan terus buku itu, dan carilah buku lain. Jangan kerana satu buku, hilang mood kalian untuk buku-buku lain.
7. Mulakan dengan membaca buku yang nipis supaya momentum membaca terus kekal. Kita berada di zaman teknologi di hujung jari. Banyak gangguan dan kadangkala tidak tahan godaan pada media sosial.
8. Tidak salah untuk membaca beberapa buku serentak. Ikut gaya dan rentak masing-masing. Kita mahukan kebiasaan membaca wujud dalam diri. Apabila sudah biasa, kita akan mudah untuk terus baca buku tanpa henti.
9. Buat catatan tentang apa yang dibaca. Seringkas membuat nota berdasarkan ayat atau perkataan menarik yang ada dalam buku memadai untuk kita faham apa yang kita baca. Kalau jumpa perkataan yang best, saya akan simpan dan tulis dalam google keep.
10. Buku yang kita tak baca hari ini, mungkin akan kita baca kemudian hari. Berikan ia masa dan kalian akan terperanjat apabila melihat hasilnya kemudian. Seperti musim PKP dek kerana CoVid-19, tak sangka, ramai yang mencari buku untuk membunuh kesepian. Malah dikatakan jualan buku online juga meningkat naik. Satu perkembangan yang sangat-sangat bagus. Semarakkan #MalaysiaMembaca
Ada lagi tips daripada kalian? Jom kita kongsikan.
Zanariah Salam
Baca sikit-sikit setiap hari. Yang penting konsisten.
Comments are closed.