DI MANA KAWAN SAYA? MENDORONG PEMBACA UNTUK MENEROKA DAN MEMBUAT CERITA SENDIRI BERDASARKAN ILUSTRASINYA

59

Di Mana Kawan Saya? buku bergambar kanak-kanak yang saya terbitkan secara swaterbit. Ilustrasinya menggunakan teknik kolaj dan potongan kertas dengan susunan yang membentuk kesan 3D yang mendorong anak untuk lama memegang buku dan seronok meneroka keseluruhan buku.

Buku 20 halaman ini memang dihasilkan tiada teks, hanya ada onomatopoeia atau bunyi-bunyian sahaja.

Tiada ayat? Biar betul?
Ya. Tiada ayat. Hanya onomatopoeia atau bunyi-bunyian sahaja. Buku ini memang saya buat begini. Ilustrasi memenuhi setiap halaman dengan tujuan untuk,

1. Anak-anak menjadi lebih leka melihat dan meneroka setiap inci ilustrasi secara menyeluruh.

2. Anak-anak bebas untuk membuat cerita sendiri berpandukan ilustrasi yang ada.

3. Mewujudkan komunikasi dua hala antara ibu bapa / guru dengan anak-anak melalui soal jawab tentang ilustrasi yang ada. Jadikan soalan, siapa, di mana, mengapa, berapa, apa yang berlaku sebagai medan untuk anak-anak menjawab persoalan tanpa ragu. Biarkan mereka berfikir kreatif.

Apabila diajukan buku ini kepada para ibu bapa dan guru yang saya temui ketika buka meja di mana-mana acara, rata-rata mereka turut bersetuju buku tanpa teks, hanya ada onomatopoeia seperti ini membantu anak-anak mereka berfikir lebih kreatif.

Anak-anak boleh membuat dialog sendiri.

Ibu bapa boleh bertanya anak-anak soalan berdasarkan ilustrasi yang ada dan biarkan anak-anak memberi jawapan mereka yang pelbagai.

Tiada istilah ini betul atau itu betul. Yang kita mahu, anak-anak bebas menuturkan apa yang mereka rasai dan bayangkan berpandukan ilustrasi dalam buku ini. Secara tak langsung, anak-anak belajar membina ayat mudah.

Keseronokan pada buku bergambar kanak-kanak yang dibeli bukan untuk kanak-kanak sahaja yang membacanya. Tetapi untuk dinikmati seisi keluarga bagi mencambah keterujaan memegang dan membaca buku.

Di Mana Kawan Saya? yang mendorong anak untuk berimaginasi bebas. 20 halaman berwarna yang memberi sejumlah pengalaman bercerita dan membina ayat mudah yang luar biasa buat anak-anak.

Di Mana Kawan Saya?

Penulis : Zanariah Salam

Penerbit : Zanariah binti Salam

ISBN : 9786299665243 (paperback)

Buku ini boleh didapati di shopee, mahupun secara datang terus ke Museum of Picture Book Art, mahupun galeri Emilatopia di Level 1, GMBB, Jalan Robertson, Kuala Lumpur.

Terima kasih buat yang telah mendapatkan naskhah ini. Semoga ada manfaat yang anda perolehi apabila membacanya.

Comments are closed.