MENGAPA POTONGAN KERTAS, KOLAJ DAN DIORAMA KERTAS MENJADI PILIHAN DALAM MEDIA ILUSTRASI UNTUK BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK

94

Ada banyak media ilustrasi yang boleh digunakan dalam menghasilkan buku bergambar kanak-kanak. Antara banyak-banyak itu, saya tertarik dengan media kolaj, potongan kertas atau paper-cut dan juga diorama.

Mungkin atas sebab fotografi juga. Media ini apabila digayakan dengan susunan yang teratur, ia boleh membentuk kesan 3D pada ilustrasi yang dihasilkan.

Bermula dengan 24 Jam Magik (catatan tentang buku ini ada di sini), saya terokai lagi dan lagi teknik ini. Semakin hari mencuba, membuat latihan, semakin rasa selesa untuk diterokai. Jadi ketagih untuk mewarna, memotong dan menampal.

Seakan healing juga perasaannya.

Ada kala potongan tidak menjadi. Kita fikir lagi bagaimana mahu kasi jadi. Cabarannya di situ. Menjadi titik tolak kepada proses kreatif yang menyeronokkan jiwa.

Ada waktu, google maklumat mencari jalan penyelesaian. Lihat contoh-contoh hasil terdahulu yang orang lain telah hasilkan. Belajar dan perhati satu-persatu bagaimana mereka melakukan setiap proses mewarna, memotong dan menampal. Daripada satu maklumat ke satu maklumat, diproses dan dipraktiskan. Mana yang serasi pada diri untuk melakukannya, itulah yang dibuat. Ya, keserasian pada diri dan juga tangan rasa selesa nak buat, itu yang paling utama perlu diberi perhatian.

Bila mana hati sudah suka, tangan lincah mengatur gerakan.

Potongan kertas, kolaj dan oh ya tidak lupa, diorama kertas, media ilustrasi yang suka saya nak cuba dan cuba buat tanpa jemu. Setiap satu hasil ilustrasi itu punya cerita di belakang tabir yang mengisi memori indah sepanjang berkarya.

Malah, semasa ke Frankfurt Book Fair 2022 lepas, mana-mana buku bergambar kanak-kanak yang menggunakan teknik ini saya tuju dan hampiri. Melihat secara dekat bagaimana mereka menyusun atur setiap potongan kertas itu hingga terletak kemas dalam buku.

Walau secara dasarnya, proses mewarna, memotong dan menampal ini seakan mudah untuk dilakukan, tapi ketahuilah ada satu proses kesabaran yang perlu diatasi dengan penuh tabah dan daya tahan yang tinggi.

Semut Oh Semut

Di Mana Kawan Saya?

Aimi Tidak Murung Lagi

3 judul buku bergambar kanak-kanak yang saya terbitkan secara swaterbit menggunapakai teknik kolaj, potongan kertas dan diorama kertas. Ada antara ilustrasi ini mengambil masa hampir 8 jam untuk disiapkan. Bagi diorama kertas pula, ada setupnya yang perlu diambil gambar berkali-kali, tetapi yang dipilihnya hanyalah satu. Semua ini atas nama KESABARAN.

Dan berbesar hati, bila mana, kak Emila menulis tentang buku Semut oh Semut. Pautannya boleh dibaca di sini.

Ketiga-tiga buku ini bersaiz 8×8 inci setiap satu, 20 halaman berwarna penuh boleh didapati di kedai shopee di sini. Atau secara datang terus ke Museum of Picture Book Art, mahupun galeri Emilatopia di Level 1, GMBB, Jalan Robertson, Kuala Lumpur.

Terima kasih buat yang telah mendapatkan ketiga-tiga naskhah mahupun salah satu antaranya. Semoga ada manfaat yang anda perolehi apabila membaca ketiga-tiga naskhah swaterbit saya ini.

Comments are closed.