Mencari ilham dengan ambil gambar boleh dipraktiskan pelbagai. Tidak terhad harus ke tempat lawa sahaja.
Keterbatasan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perlu duduk di rumah, tidak berjalan ke sana ke mari, apa yang boleh kita buat?
Stres memang stres, sebab tak boleh nak rakam lokasi cantik-cantik di luar sana.
Boleh bermula di sekeliling rumah sebagai permulaan mendapatkan rentak.
Bagaimana?
Dengan melihat apa yang ada di rumah. Ada kerusi, kucing, alat tulis?
Semua ini boleh dijadikan subjek untuk bermula. Saya ambil contoh kucing sebagai subjek.
Perhatikan pada,
1. Kedudukan cahaya yang muncul di rumah ketika pagi, tengah hari dan petang. Setiap waktu akan memberi pencahayaan yang berbeza mengikut masa. Catat pukul berapa cahaya pagi lawa masuk dalam rumah, begitu juga dengan cahaya tengah hari dan juga petang.
2. Lihat shadow atau bayang-bayang, backlight yang terhasil apabila cahaya mula menyelinap masuk di celah-celah tingkap dan pintu rumah. Sebagai contoh, kebetulan, kucing duduk di tengah-tengah pintu ketika jam 9 pagi begini.
3. Sudah dapat satu aksi kucing, terus ikut ke mana kucing pergi. Makan dan bermain. Lihat kembali di mana ia duduk. Pandang juga jatuhan cahaya yang wujud dan segala macam kelakuannya.
4. Terus rakam aksi mereka sepuas-puasnya. Waktu ini memang akan mencabar daya kreativiti kita untuk bermain dengan cahaya, emosi, komposisi dan juga gambar bagaimana yang ingin dirakamkan. Jika perlu, tunggu dan perhatikan aksi mereka seterusnya. Pandang kucing dari atas, mahupun selari dengannya seolah-olah kita duduk sama level dengan ketinggian kucing.
5. Akhir sekali, just enjoy the moment dan be happy. Jangan terlalu stres jika tak dapat gambar idaman hati. Teruskan mencuba dan buat latihan.
Banyak lagi aksi mereka yang comel-comel boleh kita rakam. Buat begini sebenarnya melatih kita untuk peka pada pergerakan subjek dan seterusnya mencungkil daya kreativiti dalam menghasilkan gambar yang lebih menarik.
Hanya perlu sabar dan peka memerhati. Jadikan aksi mereka bersahaja sebaik mungkin. Ini juga boleh dijadikan medan untuk melatih mata bermain dengan komposisi sebaik mungkin, maklumlah, si comel ini bukannya boleh kita suruh duduk diam. Ada saja keletah mereka yang tak dijangka.
Sedikit Hal Tentang Teknikal
Sebaiknya apabila gunakan kamera atau telefon pintar, setkan kepada shutterspeed yang tinggi. Seperti dalam gambar-gambar ini, saya sudah setkan kepada 1/640sec ke atas. Apabila shutterspeed sudah set begitu, maknanya, aperture saya gunakan f/2 dan ISO dinaikkan bermula dengan ISO 800 ke atas bergantung kepada lokasi rakaman berlaku. Ini tidak menjadi wajib bagi semua kamera atau telefon pintar. Harus bergantung kepada lokasi dan juga jenis rakaman bagaimana yang kita mahukan.
Jika mahu kucing nampak pegun, tidak blur, sharp, setkan lah shutterspeed tinggi. Jika mahu sebaliknya, eksperimen dengan shutterspeed perlahan.
Yang penting, kita tahu, hasil bagaimana yang kita mahukan pada akhirnya. Itu lebih utama.
Untuk sudut pula, saya lebih gemar untuk meletakkan kamera selari dengan kucing. Lebih dekat di hati melihat hasil gambar. Seolah kita sendiri sama tinggi dengan kucing.
Dan ini antara gambar-gambar anak bulus yang lain ketika ia kecil. Comel mereka ini ketika masih seusia begini. Banyak keletah, manja, dan comel dengan pelbagai aksi. Semuanya saya rakam dengan sumber cahaya semulajadi sahaja. Ada kala, apabila dalam rumah kurang cahaya, saya bawa kucing ke luar dan biarkan mereka beraksi sendiri.
Selamat mencuba dan terus mencuba mencari gambar idaman hati. Ingat kembali, gambar bagaimana yang kita mahukan. Dari situ rancang dan buatlah gambar mengikut gerak hati tanpa menidakkan komposisi, cahaya dan sudut terbaik merakam gambar.
Selamat menerokai dunia lincah si comel bulus!.
Comments are closed.