SATU KENANGAN YANG MENCIPTA PENGALAMAN

87

Sabtu pagi, 27 Feb 2021, ambil waktu sedikit dan jalan di hadapan rumah. Matahari sudah meninggi, tapi kabus masih kelihatan. Masih terasa dingin pagi walau jam sudah menghampiri 8 pagi. Sejuk seperti di tanah tinggi.

Tak lama kemudian, ternampak ada auntie kayuh basikal pusing kampung. Semangat auntie ini. Hampir setiap hari tanpa culas mengayuh. Rasa tercabar, seperti mahu pusing balik dan ambil basikal juga. Tapi tak jadi. Ah, jalan sahaja lah hari ini. Mahu santai-santai. Pagi ini kita nikmati dengan berjalan kaki sahaja. Lagipun ada bawa telefon, bolehlah ambil gambar sedikit. Alasan sungguh kan.

Kabus memenuhi ruang. Penuras semulajadi yang sering dinanti. Perubahan haba sekitar dengan musim panas siang hari dan dingin malamnya seminggu dua ini, menyebabkan fenomena kabus begini terjadi.

Sebab itu, setiap pagi jika sempat, akan jengah depan rumah dan lihat persekitaran. Lokasi yang sama, tapi suasana yang berbeza setiap kali. Seperti satu kepuasan dapat tengok walau sebentar.

Sejenak terfikir, suasana begini kalau ada pakcik tengah panjat pokok kelapa ke, mesti seronok. Macam yang pernah nampak ketika di Blitar, Indonesia dahulu. Cahaya paginya, ditambah dengan kabus lagi, memang suasana yang ditunggu-tunggu. Seakan kembali ke zaman silam yang mana ada aktiviti kampung yang jadi rutin penduduk setempat. Tapi itu, hanyalah JIKA. Realiti, di kampung saya ini, tak ada pun. Jadinya, kita terus nikmati sahaja udara segar pagi ini tanpa mengeluh.

Jalan lagi beberapa langkah dan perhatikan keliling. Panas beberapa hari ini, parit pun dah mula kontang tapi yang menariknya, alurnya masih nampak cantik. Teringat dahulu, penuh air parit ini. Siap boleh naik sampan kecil mendayung dan cedok air buat mandi. Ada bau-bau tanah sikit. Kalau malam, airnya suam hangat. Sekarang air parit hampir surut. Hanya penuh bila hujan lebat berterusan seperti awal Januari lepas. Mujur juga tak melimpah keluar dan syukur tanah gambut. Cepat menyerap.

Beza dahulu dengan sekarang. Kenangan dahulu yang mungkin tak akan berlaku lagi hari ini di lokasi yang sama.

Dahulu pokok getah, kemudian kelapa sawit dan sekarang nenas. Bersilih ganti tanaman. Terasa seperti baru semalam sahaja masuk kebun getah cari biji getah, cari cendawan kukur, angkut getah ojol sebelum ke sekolah sebelah petang. Sekarang nak jumpa pokok getah pun payah. Semua dah bertukar jadi kelapa sawit atau nenas. Pokok getah pun mungkin tak ramai yang tahu rupa bentuknya bagaimana. Apatah lagi getah ojol. Sekali pegang, baunya sampai cuci tangan berkali-kali.

Yang dahulu dan yang sekarang. Zaman berubah, tapi kenangan masih ada.

Kenangan yang mencipta pengalaman.

Inilah pembelajaran seumur hidup. Setiap masa adalah tentang erti belajar. Perjalanan tanpa henti.

Teringat pula satu video yang tonton di facebook. Lebih kurang begini,

Dalam hidup, kita kena jaga disiplin dalam menuntut ilmu. Walau sesuatu perkara itu kita sudah tahu, ilmu yang sama, tapi belum tentu membawa maksud yang sama. Jadi hargai setiap ilmu walau sepatah kata atau pengalaman yang kita terima.

Ringkas ayatnya. Tapi saya ulang dengar berkali-kali. Terkesan.

Kemudian, bila dah penat jalan, patah balik ke rumah, lalu kita ambil pinggan kecil ceduk nasi goreng. Eh, eh eh.

Comments are closed.