MENIKMATI ALAM DI TANJUNG TUAN

298

Tentu ramai kawan-kawan di luar sana yang teringin sangat nak menikmati alam. Iyalah, sudah hampir 3 bulan PKP, kini kita dalam tempoh pemulihan. Kelonggaran diberikan, manfaatkan sebaiknya dengan melihat alam nan menghijau dan pantai berpasir namun masih lagi dengan patuh pada SOP.

Tak jauh mana pun. Cukuplah di Negeri Sembilan. Bersama kawan-kawan dari tim Jejak Tarbiah, kami ke sini untuk hiking dan jejak pantai sebentar.

Lokasi yang saya maksudkan ialah di Tanjung Tuan, kira-kira 20km daripada bandar Port Dickson, bersebelahan dengan PNB Ilham Resort, dalam Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.

Mungkin ramai yang tak tahu, bahawa Tanjung Tuan ini adalah sebahagian jajahan negeri Melaka dan dibawah penyeliaan Majlis Perbandaraan Alor Gajah dan bukannya Majlis Perbandaraan Port Dickson. Ini adalah satu-satunya jajahan luar negeri Melaka tapi berada dikawasan kedaulatan negeri lain, iaitu Negeri Sembilan.

Dengan hanya bayaran masuk sebanyak seringgit bagi setiap orang, bersiap sedia untuk menikmati pemandangan alam dengan berjalan kaki.

Lengkap berpakaian sukan ataupun selesa dibadan, barulah rasa seronok berjalan dan menghirup udara segar di sini.

Kemudian, menuruni bukit sikit untuk sampai ke pantai. Mula-mula itu rasa “wow” jugalah. Maklumlah, jarang-jarang hiking. Tapi tak lah curam mana pun. Buat kaki hiking, ala, ini kategori minimal punyalah. Tak ada hal.
Apabila nampak pantai, hilang terus rasa penat. Percayalah, seperti menyahkan segala keletihan yang ada. Lega dan nyaman sungguh. 

Ataupun, boleh juga terus melangkah hingga ke puncak Batu Putih dari pantai dan melihat Selat Melaka seperti helang terbang di udara. Walaupun kawasan di puncak tidak besar mana, tapi cukup puas memandang alam. Serba serbi indah. Melihat ombak menghempas batu dari puncak, seakan melontarkan rasa tekanan yang ada.
Kadangkala kita fikir, ketenangan itu susah betul hendak dikecapi. Duduk dalam hutan konkrit, serba serbi nak cepat ditambah dengan riuh rendah hiruk pikuk kota. Tapi, dari satu sudut, rupanya ia boleh dicari semurah seringgit sahaja.

Satu-satunya alasan kita untuk hadir di dunia ini adalah untuk menjadi saksi atas keesaan Allah. Hamka.

Buka jiwa. Lihat alam dengan teliti. Mahal pengalaman begini apabila ia berjaya dinikmati di tempat sendiri. Usahakan untuk diam sebentar menikmati alam.

Kebahagiaan dalam melihat dan memahami merupakan anugerah terindah alam. Albert Einstein.

Oh ya, jangan tak tahu, di sini juga adalah lokasi untuk birdwatching terutamanya pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.

Malah, menurut pembacaan saya, rumah api yang ada di sini, adalah yang tertua dibina di Malaysia. Tak lupa, dikatakan di sini juga adalah lokasi di mana Parameswara dimakamkan dan menjadi tempat Hang Tuah bertapa suatu ketika dahulu.

Semakin dibaca dan dicari tentang Tanjung Tuan, semakin banyak diketahui.

Menarik dan tertarik bukan?

Nah, saya berikan maklumat lengkap dan gambarnya sekali. Enjoy.

Lokasi Tanjung Tuan,
https://maps.app.goo.gl/5k1ZVyjFQQR1zSuHA

Bayaran masuk ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan : RM1/orang

Dibuka setiap hari dari 7 pagi – 6 petang.

Comments are closed.