Di zaman pandemik begini, pastinya kita merindui keluar berjalan melihat negeri atau negara orang. Rindu untuk melihat budaya, masyarakat, makanan, adat dan kepelbagaian tentang kehidupan orang lain ketika keluar kembara.
Tersekat tidak boleh ke luar negara, kita boleh pusing keliling daerah sendiri untuk melihat dan menikmati pemandangan dan kehidupan yang mungkin kita terlepas pandang.
Salah satu lokasi terbaru yang saya kunjungi ialah di Benut Traveller Cafe.
Di sini, kita bukan sahaja boleh menikmati minuman, malah ini antara lokasi pilihan untuk bersendiri dan membaca buku sebagai terapi diri.

Ada pelbagai buku, daripada novel, komik, majalah, pelbagai buku-buku fiksi dan non fiksi disediakan buat pengunjung untuk dibaca. Saya teruja tengok koleksi novel dan buku-buku travelog yang ada di sini. Seronok betul.

Jika mahu duduk dan buat kerja di satu sudut pun boleh. Ada ruangan khas. Sudah seperti ala-ala co working space dalam suasana kampung.
Susunan kafe juga kemas dan selesa. Saya tertarik dengan dekorasi dulang dan peta di dinding.
Terus teringat makan nasi ambeng ramai-ramai guna dulang. Oh, kenangan sungguh waktu dulu-dulu. Nikmat makan dalam dulang ni memang tak boleh bawa bincang. Selera dia lain macam. Dengan ikan kering, ayam masak kicap, sambal goreng dan serunding. Menunduk ja makan, tak pandang orang lain dah.
Lihat peta pula imbas kembali memori berjalan sana sini sebelum pandemik. Walau tak lah jauh mana berjalan, serba sedikit terusik juga jiwa apabila tak boleh keluar waktu begini.

Menariknya. Kenapa saya tak tahu ya? Lokasi di mana?
Nah, inilah saya nak beritahu. Cafe ini terletak di persimpangan Benut. Lebih tepat di No 35, Jalan Jaafar, Benut, Pontian, Johor.
Cafe ini dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dari jam 11 pagi – 7 petang.
Fb : https://www.facebook.com/benuttravellercafe
IG : https://www.instagram.com/benuttraveller_cafe/
Datang sini, boleh legakan tekak dengan air mangga tabur, ais sorbet, abc, ais kepal dan beberapa jenis air yang lain.

Jemput datang dan nikmati suasana nyaman minum-minum sambil baca buku. Asyik dong. Sambil itu, boleh bergambar sekeping dua buat kenangan sikit. Iyalah, sudah alang-alang sampai sini, kan. Budak-budak pun suka. Siap cakap nak datang lagi. Seronok katanya menikmati suasana yang jarang-jarang mereka alami. Macam duduk dalam perpustakaan, tapi boleh minum air sambil cakap-cakap dan ambil gambar.

Oh ya, semua gambar diambil sepenuhnya dengan Sony A7C dan lens FE 28-60mm f4-5.6. Kamera full frame yang kecil, paling ringan di dunia dan ini pastinya memudahkan kerja ambil gambar seperti ini ketika berjalan ke mana sahaja. Tilt screennya pun banyak memudahkan kerja. Sesuai buat kaki travel, vlogger, youtuber bahkan buat fotografer di luar sana.
Zanariah Salam
Guna Sony kamera sejak penghujung 2009
Comments are closed.