Banyak tempat menarik sekitar kita yang cantik tanpa kita sedari. Bangunan lama, pasar awam, perkampungan nelayan antara lokasi menarik yang boleh kita jelajah dan selongkar.
Kadangkala kita terlupa nak ambil peduli kerana semua ini kita nampak hari-hari. Sudah jadi kebiasaan.
Kali ini saya kongsikan tempat yang sudah lebih 160 tahun ada dan didiami oleh majoriti masyarakat Cina di Kukup, Pontian, Johor.
Perkampungan Nelayan Air Masin ini terletak lebih kurang 20km dari bandar Pontian. Di sini jugalah adanya Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang menjadi pintu masuk antarabangsa terutamanya bagi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia. Malah nak ke Tanjung Balai atau Pulau Karimun pun boleh melalui terminal ini.
Setiap minggu sebelum pandemik berlaku, ramai pelancong dari Singapura datang berkunjung dan menyewa di sini. Ada banyak resort, chalet dan hotel yang boleh dijadikan penginapan sementara. Semua didirikan atas air dengan bertiangkan konkrit. Restoren makanan laut pun banyak. Kedai makan melayu dan MarryBrown pun ada. Jadi buat Muslim, tak perlu risau sekiranya lapar dan tercari-cari mahu makan apa ketika berada di sini.
Siapa pernah tengok filem Bisik Pada Langit?
Salah satu lokasi pengambarannya ada di sinilah. Di depan pejabat Imigresen Kukup. Kiranya agak popular jugalah kan tempat ini. Menarik tak?

Bagi yang suka ambil gambar macam saya, layan suasana kampung di sini sangatlah seronok. Boleh sewa e-bike dengan harga RM15 sejam atau RM100 sehari untuk pusing-pusing kampung. Atau boleh saja jalan kaki sambil bakar lemak-lemak jahat yang sudah lama bersarang dalam tubuh. Bila lagi nak bersenam. Masa ambil gambarlah kan. Lagipun lorong masuk dalam kampung ni hanya sesuai untuk motorsikal, basikal dan pejalan kaki saja. Kereta kena parking luar. Jadi sangat sesuailah buat mereka yang mahu bersenam secara tak langsung.
Banyak subjek menarik boleh dirakam. Perlu fokus mata sahaja. Ini boleh belajar. Kita bermula dengan perkara yang mudah-mudah dahulu. Tengok pada “colors”, “framing” dan “shape”. Dapat kompo yang best, tunggulah momen datang. Doa sajalah. Mula-mula tu susah jugalah, sebab mungkin tak biasa. Tapi nanti lama-lama okeylah. Kena sabar dan rajin.
Boleh tengok sebahagian gambar yang saya hasilkan ini.
Just enjoy the momen dan cuba lihat dari perspektif orang baru yang baru pertama kali masuk ke sini. Timbulkan rasa ingin tahu itu dan ini. Kenapa dan kenapa dan kenapa. Akan terhasillah perkara menarik yang banyaknya bakal dijumpai.
1. Rakam pintu masuk ke kampung.
Tiang merah itu pintu gerbang nak masuk ke Kampung Nelayan Air Masin ini. Saja ambil dari sudut tepi ini, nak bagi nampak papan tanda dan pergerakkan orang keluar masuk sini. Kompo siap-siap, lepas tu snap. ON kan burst mode. Dari banyak-banyak yang ambil, mesti ada satu dua yang jadi.
2. Rakam binaan rumah-rumah di sini.
Antara binaan kayu dan batu. Lawa resort dengan chalet yang ada kat sini. Keliling pun masih ada lagi rumah-rumah kayu penduduk kampung yang warna warni. Kena pandai carilah.
3. Perhatikan apakah aktiviti penduduk di sini.
Boleh jumpa banyak aktivti macam ini. Kena pandai pilih lokasi nak dapatkan best momen. Hati-hati, jalan masuk ke kampung ini kecil sahaja lorongnya. Jangan tersilap memijak sudah lah ya.
4. Rakam rutin yang hari-hari dilakukan.
Naik basikal pun boleh, jalan kaki pun boleh. Pilihan ditangan anda.
5. Perhatikan pada sekecil perincian yang nampak.
Awal pagi memang panas kat Pontian ini. Ambil kesempatan untuk jemur baju lah. Ada yang guna sepit baju, ada juga jenis main sarung kat kayu je macam ini.
6. Bermain dengan warna yang wujud di sekeliling.
Ada banyak warna boleh main. Pilih sahaja nak kompo macam mana. Langit pula tengah membiru. Apa lagi, kita main warna lah.
7. Timbulkan rasa seronok dengan melihat pada perkara yang jarang-jarang dilihat di lokasi sendiri.
Budak-budak mesti suka naik kenderaan macam ini kan. Kat sini ada banyak. Jakun juga tengok sebab jarang-jarang jumpa motor macam ini yang siap ada cover kat Johor. Kenangan macam ini lah yang kita kena kongsikan dengan anak-anak. Setuju tak?
Semoga perkongsian ini memberi anda semua idea bagaimana mahu merakam dengan sudut pandang yang berbeza di tempat sendiri. Timbulkan rasa minat, dan ia akan lahir dengan rasa teruja mahu ambil gambar yang bagaimana. Apa-apa pun semuanya bermula dengan rasa kesungguhan dan minat yang tinggi. Jika sekadar suka tapi tak betul-betul bersungguh mahu bereksperimen, tak jadi juga.
Klik, klik dan klik!
Zanariah Salam
Suka jalan-jalan sambil menulis kembangkan idea dalam kepala.
Comments are closed.