JAM ENAM PAGI DIHIRUK PIKUK KUALA LUMPUR

71

Jam enam pagi. Hiruk pikuk kota Kuala Lumpur mula kedengaran. Kenderaan mula bertali arus di jalanan.

Kuala Lumpur. Ibu kota Malaysia. Megahnya sebuah bandar yang menjadi nadi pembangunan negara. Di satu sudut, hidup satu komuniti atau manusia bekerja awal pagi ketika ada manusia lain masih berdengkur menikmati mimpi indah.

Kota yang masih menyimpan ruang, bagi perakam mencari cerita.

Di satu pagi, bertarikh 1 Julai 2018, untuk kesekian kalinya, saya menjejaki Chow Kit. Pasar awam yang terkenal di ibu kota. Mahu mencari barang keperluan harian sesuai dengan bajet harian, inilah salah satu lokasi yang boleh dipilih.

Sesudah solat subuh, saya ke satu lorong. Tiada keriuhan melampau di awal pagi di sini seperti di jalan besar. Yang kedengaran hanyalah bunyi besi muka pintu berkarat yang dipaksa dibuka. Ada ketika berselang-seli dengan suara penjual yang menyapa sesama sendiri, mengucapkan Selamat Pagi. Oh, ada juga bunyi anjing menyalak yang sedar kedatangan seorang manusia asing dari Johor ke Kuala Lumpur. Seakan memberi ucapan selamat datang ke Chow Kit, kawasan jajahan aku gayanya.

Langkah dilajukan kerana gelap pagi mahu beransur cerah. Tiba di satu lokasi, terlihat satu susuk tubuh berusia 76 tahun mula membuka pintu kedainya. Krek, krek, krek. Besi pintu yang sudah tua makan tahun, tapi masih utuh memberi bakti buat tuannya seolah menyambut kedatangan si perakam.

Mr Wong membuka kedainya dan mula menyusun peralatan.

Lincah tangannya menyusun perkakasan kerjanya. Kedut yang ada tidak menjadi penghalang.

Gerak kerja yang nampak perlahan namun kemas dan tersusun caranya. Malah senyuman sentiasa mekar dibibirnya apabila kami mula menghalakan lensa kamera ke arahnya.

Mr Wong yang sentiasa tersenyum.

Ya, kami. Saya dan rakan-rakan sehobi atas program anjuran Sony Malaysia. Ingin merakam kehidupan insan biasa yang masih bertenaga bekerja dengan kudrat yang ada di usia emas.

Hampir lebih 60 tahun kedai mee ini berlokasi di Chow Kit. Sudah menjangkau generasi kedua dan kini dilakukan oleh Mr Wong. Daripada proses menyediakan adunan bancuhan air, mengangkat tepung, memproses mee, ia dilakukannya sendirian. Hanya ada seorang pembantunya yang akan menolong beliau dalam urusan pembungkusan.

Mencatat dan memeriksa senarai tempahan.

Saya kagum ketika pertama kali melihat beliau bekerja. Diusia beliau, kudratnya masih kuat. Boleh mengangkat satu beg guni tepung seberat 25kg begitu saja. Oh, kalah kami orang muda yang sudah kematu tulang. Umur masih muda tapi tak segagah beliau. Malu.

Beg guni tepung dalam simpanannya.
Tangan tua yang tak penat bekerja.
Tangan ini jugalah yang mengangkat 25kg tepung untuk proses seterusnya.
Berhati-hati beliau menuang tepung ke dalam mesin adunan.

Dengan peralatan ringkas yang ada, beliau mula bekerja jam enam pagi hingga tujuh setengah pagi setiap hari. Tiada istilah berehat dalam diari hidupnya. Rehat padanya hanyalah pada perayaan Chinese New Year sahaja. Itu yang kawan saya ceritakan berdasarkan komunikasi antara mereka dalam bahasa Mandarin.

Memeriksa dan proses kerja bermula.
Memeriksa
Adunan tepung tadi sudah hampir menjadi mee.
Minum seketika menghilangkan dahaga

Mee kuning yang dibuat dipasarkan untuk jualan setempat bagi pelanggan tetapnya. Tanpa perlu sibuk untuk pasaran luar, sudah sedia setiap hari, rezeki untuknya.

Kadangkala kita memberi persepsi apalah sangat kerja begini. Buat mee sahaja pun. Tidak mendatangkan gaji yang lumayan. Ternyata, anggapan yang dibuat seringkali memerangkapkan kita.

Apabila kerja yang dilakukan bukan untuk kepentingan sendiri, tapi untuk memenuhi kehendak pelanggan, inilah pemangkin untuk beliau terus bekerja tanpa cuti. Itu yang saya belajar ketika di sini. Usia hanyalah angka, bukan alasan untuk mengatakan TIDAK bagi sesuatu perkara. Selagi kudrat ada, selagi tenaga masih kuat, selagi kita mampu berdiri, usaha bersungguh-sungguh.

Usah memandang orang dengan sebelah mata, dan tidak menilai orang daripada apa yang dilihat permukaannya, tapi merenung kembali mengapa mereka melakukannya. Tersembunyi kisah kecil di satu penjuru kehidupan yang memberi pengajaran tentang erti hidup pada memberi tanpa sedar.

Menelefon pelanggan barangkali.
Mee kuning yang telah siap akan dibungkus dan ditimbang.

Comments are closed.