MENYINGKAP CERITA DI FESTIVAL PADANG PASIR RAJASTHAN

36

Menyebut Pushkar, bagi peminat fotografi, terbayang dalam fikiran tidak lain dan tidak bukan adalah Pushkar Mela atau lebih dikenali sebagai Festival Unta. Menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia tak kira yang memegang status seorang fotografer mahupun pelancong biasa. Acara julung kali setahun sekali yang tiada duanya di India.

Di sinilah berkumpulnya acara jual beli unta yang terbesar. Lalu menjadikannya acara tahunan bertaraf antarabangsa selain daripada musim untuk menziarah tasik Pushkar bagi penganut Hindu.

Pelancong asing membanjiri Padang Pasir Rajasthan sama ramai seperti penduduk setempat. Mana-mana celah ada sahaja wajah asing mereka dengan kamera berlens panjang disangkut di bahu. Menunggu momen menarik mengetik shutter. Penjejak dan pemburu gambar bergaya ala-ala National Geographic merata-rata kelihatan

Apabila acara sudah menjadi terkenal di seantero dunia. Bukan sahaja pelancong ramai, pedagang unta apatah lagi, merata-rata ada di mana-mana dengan kumpulannya. Yang membeli, saya pun tak pasti yang mana satu kerana setiap pelusuk ada sahaja kelihatan seperti pedagang unta. Buat saya kadang kala terfikir, bagaimana mereka ini mahu menjual apabila jumlah pedagang lebih ramai daripada yang membeli?

Percaya atau tidak, rezeki setiap umat sudah ditentukan Tuhan. Ia boleh hadir di mana-mana tanpa kita duga. Jadi buat apa resah gelisah. 

Keseronokkan buat sang pemburu gambar seperti kami bertujuh, apabila kami beroleh momen menarik hati di mana-mana. Berdiri satu lokasi, halakan kamera di penjuru 360 darjah, begitu banyak tangkapan dapat diambil. Hanya perlu perhati dan larat dengan tak larat sahaja.

Di salah satu kolam di mana lokasi untuk unta minum. Saya ambil gambar reflection unta dan pemiliknya.
Mereka duduk dan berkumpul begini di setiap tempat.

Ada kala momen sudah menarik, ada backlight, ada asap, tapi jadi terganggu dengan wujudnya wajah pelancong asing tiba-tiba muncul dalam bingkai gambar. Itulah hakikat yang harus diterima apabila lokasi sudah menjadi tumpuan seluruh dunia. Yang berstatus amatur, pro fotografer malah pelancong biasa datang ke sini untuk menyaksikan sendiri acara begini sekaligus membidik gambar dan mengumpul koleksi seperti kami, sangatlah ramai.

Keliling kawasan menjadi pesta besar. Ada khemah jualan pelbagai barangan. Ada aksi silap mata, pertunjukkan seperti di sarkas oleh orang-orang gipsi Rajasthan hingga ke acara naik belon panas. Tak sangka kan. Tapi itulah hakikatnya. Memang meriah. Seketika teringat pula funfair di zaman kecil. Begitulah lebih kurang gambarannya, tapi di sini dalam skala yang lebih besar.

Ada belon panas juga di sini.
Gipsi membuat pertunjukkan ular, mencari rezeki dengan persembahannya.

Hotel jadi mahal dan jika lambat menempah, memang sukar untuk mendapat bilik. Mujur juga, ketua kumpulan kami yang kami panggil Perakman telah membuat persiapan rapi. Walau ada sedikit salah faham dengan tuan rumah tentang tempahan bilik, semuanya berjalan sempurna akhirnya. Syukur yang amat. Terima kasih bang.

Momen pagi, dengan sinar matahari, backlight, sedikit efek asap, ini memang impian seorang fotografer.

Awal pagi selepas bersarapan dan alas perut seadanya, kami berjalan menuju ke padang pasir, tempat berkumpulnya semua pedagang unta. Hiruk piruk suasana kedengaran tak kira daripada suara manusia mahupun bercampur dengan jeritan unta, lembu dan juga kambing. Hilang seketika pekikan hon diganti dengan halwa bunyian seperti ini. Sabar sahajalah telinga mendengarnya.

Kumpulan pedagang unta berkumpul merata-rata mengikut kabilah masing-masing. Asap unggun api berkepul memberi suasana lebih dramatik ditambah dengan pancaran sinar lembut pagi dan debu halus padang pasir.

Mereka berkumpul, duduk santai di sekeliling api sambil menghirup chai hangat.  Melihat mereka menghirup, terasa sedap betul rasanya. Gulp, gulp menahan air liur. Nikmat minum di waktu dingin pagi memanaskan salur tekak. Terasa ingin mencuba juga, tapi was-was. Takut perut tak serasi. Lebih baik ambil langkah berjaga-jaga daripada menyesal kemudian hari duduk di dalam bilik menahan perut yang meragam. Jadinya air mineral sahaja yang banyak membasahi tekak sepanjang kembara ke sini. Itupun dengan pilihan yang berhati-hati. Yang asli orang kata. Yang masih kemas bertutup tanpa kesan pernah dibuka lagi. Entahlah, yakin dan redha.

Sambil minum chai, pedagang unta ini sesekali kelihatan akan membetulkan selimut tebal yang membaluti tubuh. Ternyata sejuk pagi masih ada. Ingatkan mereka kebal dengan suasana dingin, rupanya sama juga seperti saya.

Berselimut tebal di awal pagi. Dingin
Enak betul lihat mereka berkumpul menikmati chai panas begini.

Wajah cengkung, berbadan kurus, bercapal runcing di hadapan seperti capal aladin, berpakaian putih dan bermisai hitam tebal melintang garang adalah identiti rasmi lelaki Rajasthan. Ditambah dengan pelbagai warna serban terletak di kepala dan yang paling ketara, tentulah warna merah dan kuning. Begitu kontra sekali paduan warnanya. Menonjol nampak daripada jauh.

Merata-rata akan kelihatan seperti ini.

Dari dekat, baru perasan ada kumpulan gipsi juga di sini. Wanitanya dengan pakaian warna menyerlah, rambut perang atau sedikit kemerahan dan setiap langkah, terdengar gemersik gelang kaki. Mereka berjalan dari satu kabilah ke satu kabilah sambil membawa balang atau besen besar mencari sesuatu.

Saya ingatkan mereka mungkin mencari barang yang tercicir. Maklumlah, lenggoknya menunduk-nunduk tekun menggeledah satu persatu. Jangkaan saya meleset. Setelah saya halakan kamera dengan telezoom yang ada, oh, baru perasan, mereka mengutip tahi unta kering rupanya. Coklat-coklat kecil berbiji seperti bentuk asam jawa dikutip satu persatu.  Eh, tak geli pula kan? Saya yang melihat sudah kembang tekak dibuatnya.

Anak-anak gipsi ini mencari tahi unta kering.
Tahi unta kering. Penuh sebakul

Untuk buat apa? Pasti ada yang bertanya.

Untuk dijemur, dikeringkan dan kemudian dijadikan bahan bakar pula. Inilah sumber rezeki buat mereka apabila ianya dijual.

Dingin malam tanpa rumah berdinding, bahan bakar inilah yang memanaskan badan mereka sementara berada di sini.

Ketika waktu malam, unggun api dihidupkan untuk memanaskan badan.

Acara yang berlaku setiap November sepanjang tahun berada dalam lingkungan musim sejuk di India. Lebih lagi di padang pasir begini, terasa dinginnya. Buat kami yang berasal daripada negara beriklim khatulistiwa, ini tidak menjadi masalah utama. Hanya perlu sediakan baju sejuk mengikut keperluan diri.

Pushkar. Penuh dengan jual beli unta. Di satu pelusuk lain, ada kambing dan lembu juga. Padang pasir yang punya aroma kecantikkan bagi kami, fotografer kembara. Dingin pagi apalah sangat demi sekeping gambar ala-ala National Geographic buat koleksi peribadi.

Ya, saya sudah sampai ke sini. Melihat unta, melihat padang pasir, melihat lagi satu budaya setempat yang berbeza dengan negara sendiri tapi mereka punya matlamat yang sama. Mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

Zanariah Salam
Pemburu gambar kembara.

Comments are closed.