CERITA TENTANG PERMAINAN TRADITIONAL DAHULU KETIKA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KERANA COVID-19

77

Saya masih ingat, tahun lepas, 4 April 2020, ketika awal PKP dilaksanakan, saya ada membuat hantaran di facebook tentang permainan dahulu setiap satu jam daripada jam 8 pagi – 10 malam. Saya letakkan hastag #1jam1statuszs dan #stayathome untuk mudahkan saya mencari kembali status tersebut.

Dan seakan mahu mengimbau kembali kenangan tersebut, apa yang saya post, saya tulis kembali di sini, di blog rasmi saya pula, maklumlah, hari ini 13 Januari 2021, bermula lagi satu episod PKP 2.0. Terima kasih pada semua rakan-rakan yang telah memberi komen dan like post saya itu.

13 posting dengan 13 permainan berbeza. Serius lah. Makanya inilah posting-posting yang saya buat.

8 Pagi
Tetiba hari ini saya rasa nak buat status setiap 1 jam bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam nanti. Status saya ini dikira pemberitahuan.
Pasal topik apa?. Jam 9 pagi nanti saya bermula.
Dah kenapa tak ada kerja ke?
Ada acik, ada lagi kerja tak siap ini. Sesekali kita penuhkan timeline sendiri dengan posting pendek apa salahnya, kan. Kita layan dulu.


9 Pagi
Congkak ini permainan traditional. Ada 5 ke 7 lubang sebaris yang dipanggil kampung dengan 2 lubang ibu dihujungnya yang dipanggil rumah.

Guli atau biji getah antara yang dijadikan buah congkak. Pernah main guna congkak yang dibuat daripada kayu dan pernah juga korek tanah buat lubang semata-mata untuk main congkak. Habis main, penuh kuku dengan tanah.

Zaman dulu, inilah permainan kita. Siap ada strategi cara nak mengira. Awak pernah main congkak?


10 Pagi
Guli, selain sebagai buah congkak, juga ada banyak gunanya untuk bermain.

Main guli ini biasanya geng-geng budak lelaki saja yang main dulu-dulu. Geng perempuan main anak patung atau masak masak. Hey, saya tak mainlah macam itu. Main gulilah baru best.

Biasa guli yang sompek-sompek tu yang paling power. Entah sebab apa pun tak tahu. Agaknya macam ketua gengster yang sudah kena balun, jadi kebal dengan segala serangan.

Paling best main guli ini, bila menang, bawa sejumlah tambahan guli dalam poket. Best betul. Terasa aku kaya kejap.


11 Pagi
Selain main guli, kadang-kala main galah panjang juga.

Nama saja galah, tapi tak guna galah pun.

Cukup geng, gelanggang badminton atau sepak takraw selalunya jadi lokasi. Kadang kala, tak ada gelanggang, guna tanah rata, lorekkan kawasan pada tanah sudah memadai.

Masa main inilah, siapa yang tinggi dan badan kurus selalu bernasib baik. Terlepas daripada halangan selalu. Kadang-kala tak bernasib baik, terlalu laju berlari, terhantuk dengan pihak lawan. Jatuh tergolek, lutut berdarah, balik kena marah.

Dah kena marah pun, esok main lagi. Dah itu saja permainan yang kita ada kan dulu. Nak tengok youtube, internet pun tak tau apa dia lagi masa itu. Mana nak tahu, sebab tak ada lagi kan.


12 Tengah Hari
Batu seremban pula umum dimainkan oleh budak perempuan. Masa ini, kemas je jahitan kain perca buat buah seremban. Guna kacang tanah lah, beraslah sebagai isinya.

Paling tidak pun, ambil saja 5 biji batu kerikil tepi jalan yang tak tajam hujungnya.

Permainan ini memang kena fokus pada mata dan tangan. Masa ini, siapa yang tangannya lebar dan besar untung betul. Lambung tinggi-tinggi supaya tangan boleh kaup batu yang kat lantai.

Kalau tangan yang comel, ligat saja mengaup batu seremban.


1 Petang
Masa rehat kat sekolah rendah, kan ada tiang-tiang besi kan.

Perasan tak, yang selalu tiang ini licin saja kan. Agaknya sebab asyik kena peluk saja. Masakan tidak, setiap hari, waktu rehat, dijadikan lokasi untuk budak perempuan main peluk tiang.

Dah la kena berebut tiang, siap pakej jerit-jerit lagi. Kalau nasib tak baik, ada geng yang baran sikit, habis kena tarik tudung atau tocang rambut. Bila balik rumah, senget benget tudung jadinya. Itu belum lagi bekas kotor tiang melekat kat baju sekolah. Haru betul.


2 Petang
Baling selipar antara permainan paling ngeri nak main. Silap haribulan, badan atau kaki berbirat penangan kena dengan selipar.

Sebab itulah, selipar yang digunakan bukanlah selipar yang tebal warna putih itu. Kalau dapat selipar yang dah nazak, dah hampir haus tapaknya itulah yang terbaik. Yang penting selipar yang ringan.

Fuh, cemas bila balingan mengena sasaran, dan kemudian hendak susun selipar semula. Buat jiwa tak tenteram memerhati sekeliling.


3 Petang
Main “zero point” sangat best bila masa ini kau lebih tinggi daripada orang lain. Nak melompat senang.

Eh, tahu “zero point” itu apa? Lompat getah la.

Tapi bila kau tak cukup tinggi, tak lepas paras bahu atau telinga nak melompat, masa inilah keluar skil lompat yang macam-macam. Siap ada yang buat seperti acrobatic pun ada. Haha, nak tulis tak reti. Tapi bila dikenang semula, rasa gila tak gila idea masa kecil dulu semata-mata nak menang. Sanggup cop dulu mana-mana kawan yang tinggi ajak main. Padahal kawan tu reti main pun tidak, tak tahulah. Haha.


4 Petang
Main tingting menguji kekuatan kaki dan daya imbang. Siap ada rumah dan kawasan jajahan.

Cuba main sekarang kat rumah. Ambil kapur atau sellotape dan buat kotaknya. Agak-agak semput tak nak melompat?


5 Petang
Pukul berapa Datuk Harimau?
Pukul 11

Pukul berapa Datuk Harimau?
Pukul 12

Pukul berapa Datuk Harimau?
Pukul 1, haaa

lari, lari, lari.

Saya pun tak ingat cara permainan ini. Yang pasti, adegan tarik baju dan tarik tangan sentiasa ada. Berdebar bila kena kejar dengan Datuk Harimau.


6 Petang
Konda kondi saya jarang main dulu. Sebab apa pun tak tahu. Mungkin sebab geng tak minat nak main.

Nak main konda kondi, kena korek tanah buat lubang dulu. Lepas itu cari kayu.

Koordinasi tangan dan mata harus fokus supaya kayu yang diungkit berjaya dipukul.
Agaknya sebab rumit juga nak main, itu yang kami dulu tak main sangat. Dah asyik ungkit, tapi tak terpukul, macam mana?


7 Petang
Lat tali lat tali tamplom. Bukanlah dalam kategori permainan, tapi lebih kepada undian. Dua pihak sebut lat tali lat tali tamplom dan kemudian serentak hulurkan tangan masing-masing sama ada telapak atau belakang tangan.

Saya tak ingat, yang mana satu dikira pemenang. Yang hulurkan telapak atau belakang tangan ya?


8 Malam
Main sorok-sorok atau sembunyi ibu.

Masa ini siapa paling lama dapat sembunyi sampai kawan tak jumpa memang power betul.

Ada la tudung saji jadi kubu persembunyian. Dah rupa macam kucing meringkuk masuk dalam pun ada.

Paling mudah nak cari yang berdiri belakang pintu atau langsir.

Kadang tu, kat longgokan kain pun jadi. Kena marah akhirnya sebab guna longgokan kain yang baru dicuci buat tempat penyamaran. Aduh, ada saja akal masa kecil kan.

Tapi kami dulu main kat luar rumah. Duduk kampung. Ada kawan punya la hebat. Sembunyi kat kebun, celah pokok getah. Dah la semak kebun tu, tak ke naya nak mencari. Ishh. Ishh.


9 Malam
Selalu kalau pergi kedai runcit, beli air botol bergas itu, tutup botol yang bersepah di lantai mesti dikutip dahulu. Dapat 5 ke 7 keping ok sangat-sangat dah.

Sampai rumah, dicuci dan kemudian buat main ceper.

Skil menjentik, menimbang ceper memang perlukan kemahiran berlatih yang berterusan untuk dapat markah tertinggi dan menang. Selalu kalah bila bab nak menjentik. Sudah fokus betul-betul, tapi tersentuh pula ceper yang lain. Haiya. Kawan pula pandai, saja betul dia suruh kita jentik kat ceper yang susah nak kena pada kedudukannya. Siku, lengan, pembaris semua guna. Tak berjaya juga.

Lagi satu, bila main ceper ini suka tengok tangan kawan-kawan melentik bagai nak rak masa menimbang. Haha.


10 Malam
Banyak rupanya aktiviti yang kita buat masa kecil.

Dari post saya jam 9 pagi hingga ke 9 malam, ada 13 jenis permainan dulu-dulu yang saya main dan saya ingat nak tulis. Antaranya

Congkak
Guli
Galah panjang
Batu seremban
Peluk tiang
Baling selipar
Zero point
Ting ting
Pukul berapa Datuk Harimau?
Konda kondi
Lat tali lat tali tamplom
Main sorok-sorok atau sembunyi ibu
Ceper

Wow. Banyak juga. Ini belum lagi lain-lain permainan macam tarik upih, rounders, main bayang-bayang, lawan pemadam, bola sepak kertas, senapang ball pen dan macam-macam lagilah.

Saya post dan kawan-kawan beri komen. Rata-rata teringat kembali zaman kecil. Ahh rindu kan. Terima kasih semua.

Bila tak ada gajet, kita gunakan sekeliling yang ada mencipta permainan yang menyeronokkan.

Bila sudah ke era tahun 20an, ia semakin pupus. Malah tiada langsung kita nampak di mana-mana. Kecuali dipelusuk kampung yang masih belum tercemar dengan budaya kota dan teknologi.

Kalau ada pun bila ada kumpulan keluarga buat family day. Masa itulah keluar semua skil lama bermain.

Bila PKP, nak main permainan ini semula pun tak boleh. Sebab kita kena patuh untuk duduk di rumah. Yang boleh main mungkinlah batu seremban, congkak, ceper, main sorok-sorok.

Kalau tiada papan congkak? Tutup botol? Jadi tinggal batu seremban dengan main sorok-sorok sajalah.

Atau ambillah monopoly, saidina, dam haji, catur, kita main anak beranak.

Asalkan duduk dirumah, dan patuhi arahan, esok lusa keadaan sudah kembali pulih, jumpa kawan-kawan lama, buat reunion, mungkin permainan lama ini boleh kita main bersama-sama semula.


Gigih tak gigih kan buat hantaran begini. Ternyata boleh buat sebenarnya. Saya amalkan dengan menulis di Google Keep terlebih dahulu, dan kemudian post kembali di facebook. Lebih mudah dan terancang susunan ayat. Jadi tak kelam kabut dan tulisan bebas daripada kesan emosi melampau.

Jika ada kawan-kawan yang mahu bermula menulis, memang disarankan untuk merancang tulisan di microsoft word, google keep, atau notes di smartphone terlebih dahulu. Selain dapat membetulkan cara penulisan daripada segi susunan ayat, ejaan penuh, typo, kaedah begini juga membantu kita menyimpan apa yang telah kita tulis berbanding jika kita terus post di facebook. Kerana, kita tak tahu, mungkin ada cebisan hantaran yang kita buat dahulu di facebook, boleh dipanjangkan lagi isinya untuk menjadi satu hantaran lain, dan mungkin sebuah buku?

Dan kini, PKP 2.0, kita harus lebih bersedia kerana sudah ada pengalaman lepas. Banyak benda kita boleh buat dan laksanakan ketika di rumah. Peruntukkanlah masa sebaiknya.

Comments are closed.