JATUH RINDU PADA ALAM BUMI BROMO

96

Pesawat Air Asia membawa saya ke Surabaya, Indonesia. 2 jam perjalanan di udara dari Kuala Lumpur ke Surabaya dan ditambah 4 ke 5 jam dalam perjalanan darat tidak terasa kerana hati begitu ghairah mahu mengeksplorasi bumi Bromo sebaik mungkin. Sudah beberapa kali ke sana, namun setiap kali datang, semangat itu lain benar rasanya. Faktor keunikan Bromo itu sendiri barangkali.

Saya ke Bromo, Indonesia untuk melihat alamnya. Di sini, antara lokasi tumpuan atau syurga fotografi buat peminatnya. Saya pasti, bukan diri ini sahaja yang jatuh cinta pada Bromo, seribu atau sejuta orang yang pernah ke sini pun akan merasai pengalaman dan perasaan yang sama.

Matahari terbit di celah Gunung Bromo.

Terpegun apabila dijamu dengan pemandangan menarik hati yang ada kala buat hati bertanya, “Betul kah aku di Indonesia ini?”

Di sini, saya bagai berada di alam lain. Alam yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya tunjukkan dengan gambar begini dahulu.

Suasananya berbeza dengan tempat sendiri. Tak cukup dengan berbaju sejuk berlapis-lapis sepanjang hari, tangan pun turut disarung juga. Tak tahan dengan dingin suhunya, walhal, di luar matahari memancar bersinar.

Mengelilingi Bromo di waktu pagi, menyaksikan matahari terbit di pergunungan dengan kabusnya seperti hamparan permaidani buatan Pakistan menyelimuti sekitar Cemoro Lawang, perkampungan Tengger di situ, begitu lembut dan mengasyikkan buat yang memandang. Tak rasa telah berdiri lebih 5 jam untuk menyaksikan fenomena alam begini.

Sambil itu, terdengar teriakan penjual bakso dan kopi panas menggugat iman dan perut yang minta diisi. Sayang mahu tinggalkan tempat berdiri, usap perut dan beri nasihat, “Tunggu lepas habis sunrise, nanti aku isi ko penuh-penuh”

Biasan langit membangkitkan gah pepohon yang ada di kaki gunung.

Memang tak kedip mata apabila di Bromo. Serba serbi cantik pada pandangan mata. Itu belum lagi, di kiri dan kanan pemandangan yang berbeza hari esoknya. Maklumlah, dalam setiap kembara yang memakan masa 4 hari 3 malam, setiap pagi, bagai ada satu kewajipan untuk melihat matahari terbit dari beberapa lokasi di sekitar. Iya, ia nampak seperti memenatkan, tapi melihat sendiri dan dapat hasil jepritan tangan sendiri begini, buatkan rasa lapar dan penat hilang dibawa angin lalu. Puas. Tak kisah tak cukup tidur, asalkan kad memori terisi penuh dengan momen yang entah bila dapat diulang kembali.

Bermacam warna langit menghiasi. Hanya perlu pandang dan perhati dengan rasa syukur selalu.

Empat hari di bumi unik ini tak puas kalau ikutkan hati. Sekurang-kurangnya sebulan baru puas, hati berdetik. Maklumlah, suasana alam yang berbeza dengan tempat sendiri, menyebabkan hati mula terpaut pada alamnya. Nama sahaja lokasi gunung berapi, namun pelbagai keindahan alam dapat disaksikan. Ini baru lokasi sekitar gunung, belum lagi masuk kampung.

Di kaki Gunung Bromo ketika awal pagi. Tumpuan orang saban waktu tanpa henti.

Gunung yang masih aktif melatari pemandangan kampung di sini dan menjadikan tanahnya begitu kaya dengan sumber alam bagi tanaman. Kesuburan tanah dari gunung mencurahkan limpahan rahmat bagi masyarakat Tengger.

Memandang alamnya, menambah kekayaan dalam diri, bersyukur diberi kesempatan melihat sesuatu. Ia bukan tentang jauh atau dekat, tapi perjalanan yang menarik hati untuk terus tunduk atas kurniaan Ilahi.

Terima kasih Bromo. Bumimu memang akan selalu aku rindu.

Perkampungan Cemoro Lawang yang dikeliling tanaman sayuran dan alam yang memukau.

Comments are closed.