INSPIRASI

BAGAIMANA MENIKMATI ALAM SEBAGAI TERAPI DALAM FOTOGRAFI

Pinterest LinkedIn Tumblr

Alam, ia memberi kita seribu satu rahsia dalam kehidupan untuk kita merasai pengalaman yang berbeza-beza.

Sepanjang kembara, melihat alam, mengambil gambar, ada banyak perkara yang saya temui ketika di jalanan. Sesungguhnya, ia adalah satu bentuk terapi. Seperti mana orang lain yang suka menulis, melukis, ambil gambar juga satu bentuk terapi yang berkesan buat mereka yang serasi.

Kita akan merasai,

1. Bagaimana melihat terbit dan turunnya matahari dengan warna alam yang cantik sekali.
Pesona warna yang terbias apabila matahari mula munculkan diri atau ketika ia mula tenggelam di horizon bumi, menyaksikan jutaan rasa yang tak terucap.

Jingga, merah, kuning dan kadangkala magenta memenuhi ruang angkasa langit. Bermacam warna ada ketikanya. Dari gelap menjadi cerah keseluruhan alam. Dan begitu juga sebaliknya.

Kemudian, awan berarak mengikut haluan angin. Kepulan kapas putih perlahan-lahan berselerakan merata. Seperti kehidupan, ada suka dan duka. Sebagaimana awan bergerak, begitu jugalah perjalanan hidup. Terus maju bergerak bukan mundur ke belakang.

 

2. Bagaimana kita merasai setiap tekstur kulit kayu, urat daun dan lekukan batu.
Setiap bentuk punya keunikan susunan teksturnya. Lihat saja pada urat daun sebagai contoh. Direnung dan dilihat dengan teliti. Kemudian, tenung hijau daun. Teringat hal berkaitan klorofil dan fotosintesis? Oh, tidak lupa, oksigen yang kita hirup setiap saat tanpa henti. Percuma saja nilainya. Bersyukurkah kita?

 

3. Bagaimana kita mendengar deruan air yang menghempas pantai dan suara bisikan angin menyapa.
Berdiri di gigi pantai, dan biarkan kaki dihempas ombak kecil. Berkaki ayam, merasai tekstur pasir halus lembut. Berada di sini, seolah hilang segala beban yang ada. Setiap kali ombak menghempas pantai, percikannya seperti memecahkan kebuntuan yang ada.

Melihat laut, bagai memandang impian yang mahal. Laut yang memberitahu tentang hakikat kehidupan dan impian seluas lautan. Percayalah, ketika dibebani dengan masalah, pandanglah laut dan satu kedamaian akan ditemui di situ.

Menunggu sunset di Mengening Beach.

3 aspek yang boleh dibuat bila-bila masa. Tengok alam, rasai keindahan yang hadir depan mata dan dengar ia berbicara.

Pelbagai fenomena alam yang jarang terlihat dengan mata kasar jika tidak dilihat teliti.

Hanya perlu perhati dan renungkan sejenak keindahan alam yang punya banyaknya pertolongan sebagai terapi diri.

Lebih menarik, semua ini dapat dinikmati apabila membuat rakaman secara timelapse. Gabungan beberapa foto dan digabungkan menjadi satu video pendek.

Lebih terperinci, boleh lihat tips ini.

Timelapse, satu gabungan sejumlah keping gambar dalam satu video. Pergerakkan yang tidak terlihat berlaku depan mata, jelas kelihatan. Saya kumpulkan beberapa koleksi timelapse yang saya pernah buat dalam video pendek di bawah ini.

Selamat menikmati.

Zanariah Salam
Belajar tengok alam.

Suka ambil gambar, suka travel, suka beli buku, suka membaca. Hai, awak suka apa pula?

Comments are closed.

error: Content is protected !!