THAIPUSAM 2020

47

Pagi itu 8 Feb 2020, seawal jam 7 pagi, kami sudah bergerak dengan menggunakan KTM Komuter daripada KL Sentral ke Batu Caves. Dengan tambang RM2 bagi perjalanan sehala, kami teruja tak sabar mahu memotret. Sejenis kegigihan mahu merakam momen yang setahun sekali diadakan.

Suasana di ruangan menunggu penuh dengan penganut Hindu mahu menyambut Thaipusam. Mereka rata-rata memakai baju berwarna kuning yang melambangkan kesucian.

Waktu ini, pandemik belum menggila lagi. Walau sudah ada beberapa kes dalam Malaysia, jumlahnya masih kecil dan kerajaan tidak lagi membuat sekatan perjalanan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, kami bertiga (saya, Mila dan Maizawani) tetap berhati-hati dan sentiasa pakai mask dan tangan disapu hand sanitizer selalu.

Kami wefie dalam KTM Komuter. Terima kasih Mila atas fotonya ini.

Menghampiri stesen Batu Caves, kami lihat matahari bulat munculkan diri di celah-celah bangunan. Geramnya rasa. Di saat momen begitu indah depan mata, terbatas mahu merakamnya pula. Berdiri dalam KTM Komuter, hanya mata mampu menatap puas-puas untuk simpan dalam ingatan.

Sampai di lokasi, kamera sudah siap sedia untuk beraksi. Saya gunakan Sony RX100vi sahaja. Mudah dan kecil untuk menyelit di mana-mana. Nak ambil wide, saya gunakan 24mm focal length. Kalau mahu zoom, sehabis mungkin hingga 200mm focal length saya gunakan.

KTM Komuter tiba sahaja di stesen Batu Caves, kami terus menuju ke Sungai Gombak. Jalan laju tak berlengah. Maklumlah, mahu jadi antara yang terawal sebelum tempat dipenuhi dengan fotografer lain. Konon-konon mahu cari gambar yang sudah dibayangkan dalam kepala sebelum pergi.

Di sinilah acara bermula, yang mana, yang membawa kavadi atau belanga berisi susu akan berarak. Di kaki lima pula, ada khidmat mencukur rambut dengan bayaran tertentu. Kepala yang sudah botak, dilumurkan warna kuning daripada kunyit. Ini antara amalan mereka dalam menyempurnakan nazar dan menebus dosa.

Di sini, ribuan malah mungkin jutaan penganut agama Hindu berkumpul tak kira dari dalam dan luar negara untuk bersembahyang dan menunaikan nazar. Bukan itu sahaja, pelancong asing turut sama berada di sini untuk menyaksikan acara keramaian yang meriah begini.

Thaipusam yang dirayakan oleh kaum Hindu sekitar Januari atau Februari, dalam bulan “Thai”, bulan kesepuluh dalam kalendar masyarakat India, selalunya menjadi medan untuk fotografer jalanan atau street photographer mencari gambar. Masa inilah mahu asah seni melihat sehabis baik. Pelbagai sumber daripada acara terdahulu dijadikan asas rujukan. Biasanya, tiga empat hari sebelum acara kemuncak, fotografer sudah berada di sini menjejak momen. Salah satu syurga ambil gambar di tengah kesibukan kota adalah ketika musim perayaan seperti inilah. Meriah wall facebook mereka kemas kini hasil gambar yang diambil. Ada yang rakam suasana ketika siang, tak kurang ada juga yang suka ambil ketika waktu malam mengikut citarasa masing-masing dalam menyimpan koleksi.

Di saat, pembayar nazar (penganut Hindu) menusuk tombak kecil menembusi pipi dan tombak yang lainnya menembusi lidah, saya palingkan muka ke tempat lain. Tak sanggup mahu melihat apatah lagi mahu ambil gambar. Jadinya, saya lebihkan rakaman dengan cara lain. Ngeri sebenarnya, takut termimpi-mimpi pula.

Ketika perarakan kavadi, sanak saudara dan kawan-kawan mereka turut sama mengiringi sebagai tanda memberi sokongan. Alat muzik dibunyikan, kawasan jadi riuh dengan nyanyian dan bau asap kemenyan.

Di sini, kita akan melihat bagaimana upacara keagamaan menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai tempat di kuil-kuil besar di Malaysia. Kesatuan unggul.

Tak banyak gambar yang sempat saya rakam ketika ini.  Seadanya kerana kami mula rasa tak selesa dengan pertambahan manusia membanjiri sekitar kuil yang punyai 272 anak tangga dan Tugu Dewa Muruggan setinggi 42.7m ini.

Keputusan diambil, dan mengambil kira terik yang semakin menyengat, sebelum jam 11 pagi kami sudah kembali ke stesen KTM Batu Caves untuk pulang.

Selepas setahun, untuk 2021, kali ini berbeza. Tiada sambutan, perarakan ataupun acara keramaian besar-besaran seperti tahun terdahulu. Sama-sama kita doakan pandemik ini segera berakhir dan kita semua dalam lindungan-Nya. Amin.

Suasana di sekitar Batu Caves
Menunaikan nazar dengan mencukur rambut
Antara penganut Hindu yang berada di sekitar Sungai Gombak
Gelagat mereka yang menyaksikan perarakan daripada atas
Mereka mandi sebagai tanda menyucikan diri
Air pancuran di sediakan dengan binaan sebegini untuk memudahkan mereka menyucikan diri
Antara penganut Hindu yang berada di sini
Perarakan kavadi sudah bermula
Salah seorang pembawa kavadi bersedia
Ada yang menyaksikan persiapan perarakan dari atas
Seorang penganut agama Hindu membantu mengemaskini besi yang dicucuk ke pipi pembayar nazar
Reflection pada belon berbentuk bola berlutsinar menampakkan mereka yang membanjiri sekitar Batu Caves
Ada yang membawa belanga berisi susu

Comments are closed.