BAGAIMANA MENCARI KEKUATAN DENGAN PROJEK FOTOGRAFI 365 ATAU 52

50

Projek 52 atau 365 sinonim dengan mereka yang suka pada fotografi. Semangat mahu buat memang berkobar-kobar nak laksanakan di awal tahun. Namun, ada kalanya cita-cita dan impian jadi hangat-hangat tahi ayam. Sebab apa? Sebab kita sendiri, bukan orang lain. Jadinya, ini antara perkara yang boleh dilakukan dalam mencari kekuatan untuk menjayakan projek fotografi 365 hari atau 52 minggu.

1. Pemilihan topik atau subjek bertema. Boleh ambil dari mana-mana tema sedia ada di mana-mana laman web. Guna pakai dan sesuaikan ikut masing-masing punya citarasa dan fokus mahu yang bagaimana. Tak perlu nak bermula dengan yang susah-susah dahulu. Mulakan dengan yang mudah dan senang nak lakukan. Atau juga boleh ambil satu tema dan kembangkan ia menjadi rantaian tema yang pelbagai. Berfikir kreatif sebaiknya ya kawan-kawan.

2. Sebaiknya apabila sudah ada tema, buatlah dengan mengambil gambar baru, bukannya ambil gambar lama atau gambar sedia ada. Idea masih segar dan kita lebih semangat nak laksanakan. Kena ingat kembali tujuan apa kita buat projek 52 atau 365 ini. Kita mahu melatih mata. Jadi latih mata betul-betul. Sungguh, ia akan membawa banyaknya perubahan yang berimpak tinggi. Walaupun nampak kecil, tapi akhirnya kita sendiri akan nampak perkembangan dari segi komposisi, tahu nak ambil bagaimana dan lebih penting, jadi pengkritik pada gambar sendiri.

3. Tak tahu nak ambil apa? Bingung? Kembali fokus dan ingat kenapa kita suka ambil gambar. Antara sebab kenapa kita tak pasti, sebab kita mudah terikut style orang lain. Jadilah diri sendiri dalam mencipta karya. Sumber yang ada adalah panduan sebagai rujukan dan inspirasi. Selebihnya tanya dalam diri, apa yang kita mahukan.

4. Selalu berdoa untuk kita dipermudahkan ilham dan idea. Tahun baru begini sesuai untuk kita sama-sama tetapkan visi dan misi sukses yang bagaimana kita mahu.

Ada banyak perkara menarik boleh kita lakukan di 2021. Kita tulis, kita mahu yang bagaimana akhirnya. InsyaAllah Tuhan tolong.

5. Konsisten buat dan capai setiap 52 minggu atau 365 hari tanpa gagal. Hati kena kental dan semangat, boi.

Jika 365 nampak berat, 52 pun seperti sukar, buatlah 1 bulan 1 gambar, pun boleh. Kita tentukan kita mahu yang bagaimana hujungnya, bukan orang lain. Ingat itu saja.

2020 lepas, ada beberapa siri projek personal saya berjaya laksanakan. Walaupun kekangan untuk ke luar, ke lokasi yang lebih menarik kerana pandemik, dengan melihat sekeliling, ada banyak benda kita boleh belajar. Serius. Ia mungkin nampak remeh, tapi hanya berbeza sudut pandang, wah, menarik pemandangan yang jarang-jarang kita nak selongkar keindahannya.

Dari 2020 kita belajar sesuatu. 2021 kita sama-sama buat yang lebih baik lagi. Jom.

Gambar-gambar di 1 Jan 2021. Naik basikal pusing kampung dalam keadaan hujan renyai-renyai dan lihat sekitar kampung di awal pagi. Errrm, sesuatu yang menarik nampaknya.

Saya suka pada tekstur dan detailing pada pokok dan lampu jalan ini.
Seperti biasa, burung antara subjek yang menarik untuk dirakamkan walaupun mendung.
Rumah usang dan dikelilingi tanaman nenas.
Anjing penjaga kebun. Mujur tak kena kejar.
Nampak auntie ini naik basikal seperti saya. Sempat ambil sambil mengayuh. Sengaja rendahkan shutter untuk dapatkan kesan ICM (Intentional Camera Movement)

Comments are closed.