Buat mereka yang suka pada fotografi, minat sangat-sangat namun ada kekangan mahu belajar berdepan secara face to face, maklumlah sekarang ini musim pandemik, ada satu cara mudah boleh kita belajar.
Cara yang praktikal dan mudah nak faham.
Semudah dengan menonton filem.
Filem? Seriuslah.
Betul, dengan menonton filem.
Saya ambil contoh satu filem yang saya pernah tonton di TV2, jam 9.30 malam. Kaaka Muttai judulnya. Durasi 2 jam, leka tengok setiap plot.
Kisah tentang 2 beradik miskin yang tinggal di setinggan bersama ibu dan neneknya. Ayah pula di penjara.
Di awal cerita, disajikan dengan 2 beradik ini memakan telur burung gagak. Okay, fine. Sebab desakan hidup, Mungkin telur gagak sebagai pengganti telur ayam.
Dalam cerita ini ada banyak sisi pengajaran yang diperlihatkan,
1. Ada slot seorang budak kaya yang sering menjadi teman 2 beradik ini berbual. Digambarkan budak kaya yang mewah, boleh dapat apa saja, tapi terkongkong di tempatnya. Tak bebas. Mereka berbual pun di pagar sahaja.
2. Taraf hidup dibeza-bezakan hanya bersandarkan pakaian semata-mata. Budak berpakaian kotor, walau punya cukup wang, masih dianggap miskin dan tak layak untuk menerima layanan sepertimana pelanggan lain. Pernah kena perkara sama?
3. Usaha pasti jaya. Demi sekeping pizza yang nampak sedap di iklan TV dan dimakan oleh artis popular, keinginan untuk merasainya sendiri membuak-buak hingga sanggup buat apa saja kerja untuk kumpul duit. Mereka tak meminta sedekah, tapi berusaha, walau caranya salah (bab mencuri arang batu). Ada adegan yang mereka mendapat idea untuk membuat servis penghantaran orang mabuk ke rumah. Tapi hanya bertahan untuk sekali perkhidmatan sahaja.
4. Buli membuli dan samseng yang ambil kesempatan dan akhirnya kerugian. Apabila terlihat satu rakaman video salah seorang kanak-kanak ini ditampar, samseng ini terus buat ugutan pada pemilik restoren pizza. Akibat tamak, habuan tak dapat, malah dipukul lagi. Orang tamak memang selalu rugi.
5. Sudah buat salah, panggil kanak-kanak ini dan jamu mereka dengan layanan vvip siap ada media buat liputan. Selalu berlaku juga kan.
6. Media yang mensensasikan isu penindasan atau diskriminasi si kaya ke atas si miskin. Akibatnya, dua beradik ini ketakutan dan melarikan diri. Mujur mereka dijumpai semula oleh ibu mereka.
7. Keinginan untuk merasai makanan tepi jalan oleh budak kaya walau dihalang oleh bapanya atas alasan kebersihan. Setiap orang punya keinginan masing-masing. Yang kaya nampak makanan tepi jalan sedap, yang miskin nampak makanan di hotel enak sangat. Keinginan untuk mendapatkan apa yang kita tak mampu miliki.
8. Selalu bahagia. Walau miskin, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kanak-kanak ini nampak gembira dengan hidupnya walaupun seringkali meminta barang yang tak mampu ibu mereka sediakan.
9. Kasih nenek pada cucunya. Sungguhpun nenek sendiri tak pernah makan pizza, sedaya usaha membuatnya sendiri. Walau akhirnya diketawakan oleh cucunya sendiri. Mana-mana nenek pasti berusaha untuk buat cucunya gembira kan.
10. Tidak semua apa yang kita inginkan itu indah belaka. Kadangkala ia akan jadi beban. Beban yang sepatutnya tak kita tanggung pun.
11. Kisah mahu makan pizza, tapi akhirnya 2 beradik ini kata, pizza yang nenek mereka buat lagi sedap, walau dari tepung buat tosei. Air tangan nenek selalu terbaik bukan?.
Filem seronok nak tonton. Di sebalik pengajaran yang ditonjolkan, cara setiap gerakan dalam filem ini menarik untuk diperhatikan dalam aspek fotografi. Saya kongsikan apa yang saya nampak di sini.
Ada banyak lagi filem-filem atau drama menarik yang boleh kita tonton dan renung sejenak setiap plot yang diambil. Boleh belajar banyak di situ tentang fotografi, tentang cahaya, susunan subjek dan komposisi.
Comments are closed.