Apa yang membuat kau bahagia?
Apabila berada dalam zon yang selesa, damai, dikelilingi oleh orang yang kita sayang?
Atau apabila ada banyak duit, boleh beli apa sahaja?
Atau, apabila bebas untuk ke mana sahaja tanpa batasan?
Tafsiran orang yang pelbagai. Jalannya berbeza, namun yang pasti atas landasan mahu mencari kebahagiaan dalam diri.
Setiap hari, selepas bangun pagi, melangkah keluar rumah dan mula melihat warna oren merah kekuningan memenuhi ruangan angkasa, saya memerhatikan sesuatu.
Di satu sudut, di sebalik rimbunan pokok-pokok yang meninggi, matahari yang mula keluar perlahan-lahan. Di celah-celah, saya melihat bulatnya matahari, kami panggil “Telur Masin” kerana bentuk dan warnanya.
Timbul rasa gembira. Susah mahu digambarkan bagaimana.
Melihat momen depan mata yang berbeza hampir setiap hari. Ada kala, mendung, ada kala berkabus.
Setiap satunya memberikan satu rasa yang sukar mahu digambarkan bagaimana perasaannya.
Bagaimana melihat matahari terbit, saya jadi gembira.
Memerhatikan warnanya, susunan awannya, burung-burung yang berterbangan sambil ditemani angin yang menyapa pagi. Sejuk seketika.
Momen yang tak pernah jemu untuk dilihat hari-hari. Tak membosankan langsung, walau subjek utamanya tentang matahari terbit.
Akan ada perkara baru yang menarik pandangan mata setiap hari. Ada perkara yang memperlahankan langkah kita untuk tunduk dan memerhatikan sesuatu. Dan fotografi membuatkan saya mengenal semua ini. Melihat sekecil-kecil perkara dan amati dalam-dalam.
Seringkali kita mencari bagaimana mahu bahagia hingga terlupa pesan Buya HAMKA yang satu ini, “Bahagia itu dekat dengan kita, ada dalam diri kita”.
Celikkan mata, lihat sekecil perkara yang ada depan mata yang melimpah ruah memberi kebahagiaan.
Buka hati, lihat dengan pandangan berbeza. Terlihat begitu banyak nikmat yang Tuhan beri.
“Jika ditanya, bila kau bahagia? Jawabnya hari ini. Tidak ada esok bagi mereka yang mengabaikan hari ini!” (Di Mana Dia di Hatiku).
Comments are closed.