Membaca tidak asing buat semua. Seawal usia setahun, ada kanak-kanak yang sudah diberikan buku bergambar untuk mula mengenal haiwan, tumbuhan, pokok dan pelbagai lagi.
Membaca jadi hobi. Tapi sebenarnya ia lebih daripada sekadar hobi. Jika kita mengatakan hobi, kita akan buat bila suka, dan tidak buat bila tak mahu. Disebalik membaca, ada makna yang besar dan ilmu yang berpanjangan yang boleh kita mabil pelajaran dalam hidup.
Saya senaraikan 9 perkara yang boleh dipelajari apabila membaca buku Projek Bibliofil, Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca, tulisan Zahrah Yunos ini. Buku nipis ini memang membuka mata tentang membaca. Sangat sesuat dibaca buat mereka yang mahu teruskan momentum membaca kerana ada banyak tips dan panduan diberikan dalam buku ini.
1. Membaca itu dapat mengenyangkan minda. Lihatlah kepada beberapa tokoh dunia. Masing-masing memperuntukkan masa dengan membaca. Mulakan tabiat membaca dengan pilihan buku-buku yang nipis, buku-buku pilihan genre kesukaan, ataupun menyertai mana-mana kumpulan buku bagi menghalang reader’s block.
“Bacalah Dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.” Surah Al-Alaq, ayat 1.
2. Buku diibaratkan seperti makanan. Sedap pada kita, mungkin tidak pada orang lain. Memilih buku yang kena dengan jiwa dapat mengekalkan momentum membaca. Suka pada buku-buku travelog yang bersifat refleksi dan tadabbur? Bacalah buku 4 Bulan di Amerika (Hamka), Kenangan-kenanganku di Malaya (Hamka), Travelog Tarbiyah Ustaz Hasrizal (Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Di Hamparan Shamrock Kuseru NamaMu), Menjejaki Firmanmu di Langit Amerika (Uztaz Hariri) sebagai contoh.
3. Membeli buku memberi pelaburan daripada aspek ilmu yang dibaca. Malah ada buku yang bernilai tinggi pada masa akan datang bergantung pada jenis dan penulisnya. Mahu menulis buku? Jadikan membaca sebagai sumber ilmu yang tiada tolok bandingannya.
4. Pilihlah waktu yang sesuai untuk membaca. Waktu pagi, otak kita lebih aktif, jadi bacalah buku-buku bergenre berat seperti sejarah, falsafah dan akademik sebagai contoh. Menyenaraikan senarai buku yang mahu dibaca juga boleh menjadikan aktiviti membaca lebih menarik dan menaikkan semangat.
5. Mulakan membaca di ruangan yang kita selesa. Di rumah, perpustakaan, kedai buku, kafe, tepi pantai malah dalam kenderaan juga. Pilih mengikut keselesaan sendiri. Pastikan buku senantiasa ada dalam beg, rumah, kenderaan supaya momentum membaca kita tak hilang dan dapat memanfaatkan sedikit masa yang terluang.
6. Berkongsi buku yang dibaca dengan kawan-kawan di media sosial. Malah, saya mula kembali membaca setelah sekian lama meninggalkannya dek kesibukan kerja apabila membaca ulasan buku yang ditulis oleh rakan-rakan di facebook. Menarik dan tertarik, saya mencari buku tersebut. Dari satu buku ke satu buku, nah, memang puas hati apabila dapat kembalikan semangat membaca ketika di sekolah dahulu.
7. Membaca seolah mengembara tanpa perlu berjalan kaki. Lihatlah saja komen-komen di goodreads setelah membaca buku-buku travelog Ustaz Hasrizal, Secangkir Teh Pengubat Letih sebagai contoh. Buat yang pernah ke Turki, mungkin ini masanya untuk baca buku ini dan imbau kembali kenangan di sana.
8. Membaca buku dapat mengurangkan tekanan dan bebanan emosi. Pilihlah buku sesuai dengan keperluan.
9. Membaca dapat meluaskan kosa kata. Buku adalah senjata yang mempu mempengaruhi pemikiran dan peribadi seseorang untuk menjadi lebih baik.
Buku Projek Bibliofil, Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca ini bukan sekadar buku, tapi adalah terapi dan panduan yang mengispirasikan buat mereka yang mahu membaca. Ada banyak tips yang dikongsi. Sesuai buat mereka yang mahu bermula.
Mahu dapatkan senaskah? Ada di sini.
Zanariah Salam
Teruja setiap kami pegang buku.
Comments are closed.