POHON-POHON YANG HILANG MENDEDAHKAN PEMBACA BETAPA PENTINGNYA MENJAGA ALAM DAN SEKITARNYA

41

Inspirasi datang daripada pelbagai cara.

Bagi saya, menjejak ke mana-mana pesta buku, menderu idea datang menjengah. Lihat cover buku, lihat susunan layout, lihat perletakkan gambar dan ilustrasi, ini semua mengundang rasa keterujaan untuk memiliki sesebuah buku sebagai koleksi mahupun untuk dibaca berulang-kali.

Ketika ke Indonesia International Book Fair 2023 (IIBF) pada 27 Sept 2023 lepas, saya tertarik dengan satu buku bergambar kanak-kanak di booth KELIR.

KELIR?
KEL itu Kelompok, IR itu Ilustrator.
Disingkatkan, jadi KELIR.

Berbalik kepada buku yang saya jumpa.

Judulnya, Pohon-pohon Yang Hilang.

Warna kuning digunakan sebagai warna tema dan mengambil warna pisang, ilustrasinya menggunakan warna air. Ilustrasinya kemas. Mata jadi leka menjelajah ke setiap halaman. Walau penggunaan warna yang minimal digunakan, buku ini benar-benar buat saya pegang lama. Ada sesuatu pada buku ini yang menarik perhatian saya.

Buku yang punya teks yang ringkas tapi memberi kesan. Gaya penulisannya, gaya yang saya selesa nak baca.

Secara ringkasnya, buku ini tentang kembara sebuah lori yang membawa beberapa bakul pisang ke bandar. Sepanjang perjalanan, ada sisi-sisi tentang pembangunan alam yang menjentik hati. Jika pohon-pohon ini hilang, bagaimana dengan hidupan lain?

Serta-merta, teringat pada buku bergambar kanak-kanak saya, Di Mana Kawan Saya?. Mengambil tema yang hampir sama, tentang alam sekitar, tentang pokok-pokok dan hidupannya. Bila mana pokok ditebang, hidupan tidak tahu ke mana, bagaimana pengakhiran mereka? Dapatkah hidupan ini tinggal aman bersama-sama? Atau mereka harus mencari tempat tinggal baharu?

Pohon-pohon Yang Hilang.

Walaupun dalam kategori buku bergambar kanak-kanak, membaca buku ini mendedahkan pembaca tidak kira siapa, orang dewasa mahupun kanak-kanak untuk menghargai alam.

Antara buku yang saya suka nak tengok banyak kali tanpa jemu. Jika ditanya apa buku healing saya, saya boleh katakan, inilah antara bukunya. Setiap kali belek, ada sahaja sisi baru belajar. Bukan sahaja tentang teksnya, tapi tentang ilustrasi terutamanya. Cara perletakan ilustrasi dan juga gaya persembahannya. Tahniah buat penulis dan ilustratornya.

POHON-POHON YANG HILANG

Penulis : Athirah Mustadjab

Ilustrator : Arranszi A Cempaka (IG : https://www.instagram.com/itemsekali/)

Tebal : 33 halaman (24 x 29.5cm)

Hard Cover

Penerbit : Pinisi Samudra Ilmu

Comments are closed.