MEMBACA KEMBARA SENI DI VIENNA MEMBUAK RASA MAHU MELUKIS

165

Kembara Seni di Vienna oleh kak Emila Yusof.

Sebuah catatan tentang kembaranya di Vienna pada 2019. Beliau ke sana kerana jaraknya hanya 45 minit perjalanan menaiki kereta dari Bratislava, lokasi di mana beliau dijemput menjadi juri antarabangsa dalam pertandingan Biennial of Illustration Bratislava 2019.

Buku ini tidak sekadar catatan semata. Tentunya ada lukisan yang kak Emila lukis. Ini yang istimewa. Secara peribadi, mencetus inspirasi. Bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia lukisan mahupun ilustrasi, buku ini boleh dijadikan pemangkin semangat untuk meneruskan minat dan cita-cita.

Membaca tajuk sudah pasti akan apa yang kak Emila jejaki di Vienna. Beliau berkongsi pengalamannya menjejak Gustav Klimt, seorang seniman yang beliau minati sejak lebih 14 tahun dahulu. Saya pula kali pertama dengar nama ini. Ilmu baharu bagi saya.

Teruskan pembacaan, kita ada didedahkan dengan nama-nama seniman lain seperti Bernini, Caravaggio, Pieter Bruegel dan ramai lagi. Oh ya, tidak lupa, muzium seni dan taman-taman.

Seperti tarikan magnet, terus rasa nak tiket kapal terbang dan ke Vienna.

Melihat contoh jurnal yang kak Emila sisipkan dalam buku ini tentunya memberi beribu kali inspirasi tanpa henti. Menurut kak Emila, jurnal kembara yang dibuatnya membantunya ketika dalam proses menyiapkan buku ini. Perasaan dan pengalamannya di Vienna ada dalam catatan jurnalnya.

Perkara ini membuat saya terfikir sejenak. Ada banyak perkara yang saya terlepas pandang apabila kembara. Saya lebih banyak mengambil gambar berbanding menulis ketika kembara. Beberapa external hard disk ada dalam simpanan, menyimpan semua koleksi gambar yang diambil. Tujuan kembara saya mahu mengambil sebanyak-banyaknya gambar dan mana yang sesuai saya hantar masuk pertandingan fotografi dan Alhamdulillah, ada antaranya membuahkan hasil dan memberi pulangan kembali harga kembara saya yang lepas. Namun, sebalik itu, saya kurang mencatat. Sesuatu yang perlu saya baiki untuk kembara akan datang.

Kembara Seni di Vienna ini punya 160 halaman dengan 21 bab. Ada album foto, ada album jurnal dan ada bonus. Bacalah cerpen yang kak Emila tulis di beberapa halaman terakhir. Jarang buku travelog ada sisipan cerpen begini. Bijak kak Emila menyusun plot. Catatan lanjut tentang buku yang kak Emila tulis ini boleh juga dibaca di blognya di sini, https://emilayusof.com/2023/07/2023-new-books/. Di halaman goodreads juga ada yang sudah membuat review tentang buku ini, boleh lihat di sini.

Ya, membaca buku kembara 160 halaman ini, kita bukan sahaja dapat mengenal seniman Vienna, masuk muzium, menjejak taman-taman, tetapi dapat juga mengisi ruang melihat keindahan lukisan yang dibuat. Jelas dan memberi sesuatu dalam melihat seni itu bagaimana. Apatah lagi paparan lukisan dan foto yang ada dalam buku ini sangat jelas. Bagus kualiti kertas yang kak Emila pilih.

Sebagai pencinta dan pengamal seni, setiap kali berpeluang ke luar negara, saya pasti akan melawat muzium kesenian. Saya mungkin boleh dikategorikan sebagai Culture Vulture – suka meneroka seni, suka berkeliaran di muzium dan bandar lama. Bandar lama itu suatu kemestian kerana di situlah saya akan dapat melihat bangunan-bangunan lama dengan hiasan dekoratif dari pelbagai era. Rumah lama yang dipenuhi lumut dan tumbuhan merayap juga saya anggap cantik. Bagi saya old is good. – halaman 35.

Saya keluar dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan – puas hati melihat hasil seni yang pelbagai. Saya berjalan perlahan menikmati cuaca petang yang sejuk dan nyaman sambil makan angin. Dedaun kuning dan jingga musim luruh menari-nari menyembah bumi. langit biru azura melengkapkan landskap sedia ada. – halaman 40.

Buku yang saya cadangkan buat mereka yang masih mencari-cari inspirasi ketika kembara. Menelusuri kembara melalui seni. Kembara dengan bijak dalam mencari perenungan baru.

Buku ini boleh didapati terus melalui

  1. Kak Emila di galerinya, Emilatopia di level 1, GMBB, Jalan Robertson, KL atau online di https://shopee.com.my/emilayusof
  2. Museum of Picture Book Art, level 1, GMBB, Jalan Robertson, KL
  3. Secara online di shopee https://shope.ee/A9kQHAv13A

Comments are closed.