Tag

melaka

Browsing

Buku kelima saya dalam #misi14hari.

Kunang Persisir Morten oleh Raiha Bahaudin.

Saya tertarik membeli kerana perkataan Morten. Terus teringat Kampung Morten di Melaka yang sering menjadi lokasi untuk saya mengambil gambar matahari terbenam.

Antara lokasi tempat yang saya suka ambil ketika di kawasan Kampung Morten.

Buku ini tentang kisah Dhiya, Adi dan Lim. Dhiya, seorang kanak-kanak 9 tahun yang punyai pemikiran visual yang genius dan hebat. Setiap bab dan kisah ada saja siri pengembaraan mereka yang seronok nak baca hingga akhir. Hanya dengan memerhati, jawapan sentiasa ada depan mata buat Dhiya.

Bagaimana dengan melihat susun atur bilik, dia mampu menyelesaikan kes kematian seorang budak cina, lalu terus menjadi bintang Kampung Morten seketika. Malah, bakatnya cukup hebat dalam melukis. Saya seolah cemburu melihat bagaimana dengan mudahnya Dhiya menghasilkan karya agong dengan batasan peralatan yang ada. Kemudian, berusaha menjadi peniaga cilik dengan berniaga demi merealisasikan impian membeli peralatan melukis yang lebih baik hasil titik peluh sendiri. Kagum.

Seketika, apabila penulis mengaitkan lokasi Kampung Hulu, Kampung Jawa, Jalan Tokong, Jonker Street, Jalan Heeren, terus saya pejamkan mata. Terbayang seketika penempatan tersebut kerana Melaka antara lokasi yang banyak kali saya singgah untuk ambil gambar. Cuba mengingati setiap lokasi. Ah, kenapa saya tak baca buku ini lebih awal sebelum ke Melaka tempoh hari? Kenapa? Seakan mahu terus ke Melaka dan ulang baca buku ini setiap bab, dan mencari lokasi yang diceritakan sambil membayangkan seperti yang ditulis. Ada sejarah dan asal usul perkampungan yang menarik minat saya.

Betul apa yang disampaikan dalam buku Projek Bibliofil. Buku ke-empat yang saya baca dalam #misi14hari tempoh hari. Bagaimana dengan membaca kita boleh jadi pengembara. Jasad duduk leka memegang buku, tapi minda terbang entah ke mana mengembara dalam setiap bait ayat yang ditulis penulis.

Buku ini saya kira antara buku wajib yang kalian kena baca. Dalam kelincahan Dhiya dan rakannya mengembara setiap lorong bandar Melaka, ada terselit cerita bara perkauman, sikap dengki masyarakat disamping isu pencemaran sungai yang kronik dan penempatan setinggan. Namun akhirnya, selesai satu kisah, perhubungan dan persahabatan dua kaum menjadi satu. Saya suka cara penulis menggarap setiap bab yang sangat menarik pengakhirannya.

Alhamdulillah, selesai bacaan buku kelima saya. Yeay.

Okay, buku seterusnya.

Zanariah Salam
Baca buku dengan gaya seperti baca buku penyiasatan. Asyik sangat.

error: Content is protected !!