Tag

dal lake

Browsing

Tiba-tiba, perasaan rindu pada Kashmir muncul. Perasaan itu datang ketika leka melihat kembali gambar-gambar yang diambil ketika di sana.

Teringat akan Shikara, pengangkutan umum jika menginap di houseboat, Dal Lake. Inilah yang dinaiki saban pagi dan lewat petang.

Masih lagi terasa ayunannya ke kiri dan ke kanan. Dengar kocakan air, kicauan burung berterbangan dan warna alam yang mempesona hati. Terbayang reflection deretan houseboat di atas permukaan tasik.

Shikara, sampan berbumbung yang boleh memuatkan hingga 6 orang bergantung pada saiz badan.

Yang sukakan pada suasana rilek menikmati alam, boleh duduk dibahagian tengah dan berangan seperti maharaja dan maharani.

Manakala yang berkehendakkan tangkapan gambar dan video menarik mata, boleh duduk di bahagian hadapan ataupun belakang berhampiran dengan pendayung Shikara. Tiada paksaan kerana itulah tujuan ke Kashmir. Menikmati alam dan pemandangannya yang cantik-cantik belaka.

Seperti tempat lain, Dal Lake punya keistimewaannya yang tersendiri. Sepadan dengan gelaran yang diberi “Jewel in the crown of Kashmir” atau “Srinagar’s Jewel.” Tasik yang paling cantik dengan berlatarbelakangkan lembah pergunungan Himalaya yang masih boleh kelihatan salji dipuncaknya walau pada apa musim pun. Indah sekali.

Teringat kisah cinta pandang pertama hanya menerusi buku catatan dalam filem Notebook apabila melihat pulau kecil yang dinamakan Char Chinar disaat mengelilingi Dal Lake. Kisah yang bukan hanya pada memperjuangkan soal cinta dalam diam, tapi juga tentang berdamai dengan diri. Dari seorang yang tegas dan keras, berubah berhati lembut disaat bersama anak kecil.

Sungguh. Seperti Notebook, cinta pandang pertama tak pernah lupus dalam ingatan apabila menyebut Kashmir. Banyak pengalaman hidup yang dapat dikutip. Bagaimana setiap musim berubah, begitulah juga pola kehidupan mereka mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Zanariah Salam
Memandang alam dengan fotografi.

error: Content is protected !!