Perjalanan ke mana-mana, bukan setakat singgah. Tetapi juga tentang makna sebuah kembara.
Apa yang kita jumpai, dirasai dan ditemukan dalam setiap sesi perjalanan, adakah ia memberi sedikit pengajaran tentang hidup? Atau sekurangnya maklumat baru tentang apa yang kita perhatikan.
Sawah padi. Ke sini untuk melihat pemandangan begini. Nampak pelik, tapi inilah keindahan alam tanpa batas.
Melihat bagaimana padi ditanam, dituai depan mata. Dan keringat pesawah mengusahakannya.
Hijau menguning saujana mata memandang. Lewat petang, melihat pula matahari terbenam. Nikmat mana lagi yang mahu didustakan menyaksikan keindahan lukisan langit.
Berdiri memandang alam, melihat kanvas langit berubah warna, ia sentiasa memberi rasa kagum atas ciptaanNya.
Suatu keindahan alam yang tidak ada habisnya. Kita bersyukur dapat mengenal dan merasakan keindahan itu. Terasa bahawa diri kita sendiri adalah sebahagian daripada alam. Bertambah terang pelita hati kita, bertambah terang pula mata kita melihat alam. Tidak ada ucapan lain yang sekaligus dapat mencetuskan apa yang terasa dalam hati kita. selain satu kalimat sahaja, Ya Allah. (Falsafah Ketuhanan, halaman 29, Hamka).
Matahari terbit dan matahari terbenam, mana paling indah buat kamu?
Keduanya indah tak terkata. Ketika terbitnya matahari, burung berkicauan memecah keheningan pagi. Terbang ke sana ke mari. Ayam berkokok. Dan selepas terbenamnya matahari, kita akan menyaksikan bintang bertebaran di dada langit malamnya.
Seronok berada di sini walaupun sebentar. Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sekinchan, lokasi tumpuan di Selangor. Menikmati alam dan melihat kehidupan.
Zanariah Salam
Kongsi cerita
Comments are closed.