Tag

street photography

Browsing

Umum gemar mengunjungi pasar awam untuk mendapatkan buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging, rempah ratus dan pelbagai jenis produk harian pada harga yang lebih murah berbanding dengan pasaraya. Tiada apa yang nampak menarik pun. Aktiviti pun sama sahaja saban waktu. Jual dan beli. Malah kawasan pun basah.

Namun dari satu sudut, saya melihat, terutamanya pasar yang masih lagi mengekalkan ciri tradisionalnya sama ada dari segi bangunannya, mahupun lokasinya, ia memberi saya seribu satu pengalaman bermakna dalam fotografi.

Pasar-pasar awam ini, merupakan antara tempat terbaik bagi saya mendapatkan latihan dalam membuat foto. Segala macam momen boleh diperolehi di sini.

Selain itu, keadaan pasar yang kadangkala masih lagi berlantaikan tanah, tanpa tangga bergerak, penyaman udara, troli mahupun lif, ia sedikit sebanyak menjadikan foto yang dirakamkan lebih nostalgia dan kenangan paling bermakna pada masa hadapan.

Riuhnya urus niaga antara peniaga dan pembeli memenuhi ruangan pasar menghangatkan lagi kerancakkan suasananya. Pelbagai gelagat boleh dilihat. Hanya perlu peka dan berada diposisi yang betul bagi mendapatkan foto menarik dalam lensa kamera.

Antara tips yang boleh diguna pakai

1. Gunakan kamera kecil seperti telefon pintar, mirrorless ataupun point & shot berbanding kamera dslr.
Namun tiada menjadi kesalahan untuk menggunakan kamera dslr, tetapi ia biasanya akan mengundang rasa tidak selesa subjek. Seboleh mungkin, kita berkehendakkan foto-foto yang spontan dan bersahaja, tidak dibuat-buat dan subjek berada dalam keadaan seperti biasa, tidak terasa seperti diperhatikan.

2. Rancang dahulu foto bagaimana yang ingin dirakamkan.
Buat kajian melalui internet akan contoh-contoh foto yang diinginkan. Ini bagi mengarahkan minda kita untuk terus fokus membuat foto berbanding keliru dan tidak tahu mahu ambil foto yang bagaimana. Adakah kita mahu bermain dengan shadow, black and white, tekstur, warna, framing dan sebagainya.

3. Tunggu momen.
Jika sudah pasti, subjek dan lokasi, tunggu momen yang paling sesuai untuk mula menekan butang shutter. Jika kamera ada fungsi burst, on kan ia.

4. Cipta kelainan dalam foto.
Berekperimen dengan slow shutter, panning boleh menjadikan foto yang diambil lebih menarik.

5. Jangan takut untuk menggunakan ISO yang tinggi.
Ada kalanya, pasar terletak dalam bangunan atau tempat tertutup dan sukar untuk mendapatkan cahaya yang cukup. Kenal pasti keupayaan kamera yang ada. Kadangkala tidak salah bermain dengan ISO yang tinggi dan dapat foto yang agak noise berbanding dengan foto yang terlalu kabur. Noise dalam foto pun salah satu seni dalam fotografi, bukan?

6. Ambil dari pelbagai sudut. Jangan statik pada satu kedudukan sahaja.
Cuba dari pelbagai arah, eye-level, atas atau bawah. Fikir jika kita sebagai semut, bagaimanakah pandangannya. Sebagai helang, bagaimana pula?

7. Minta izin jika perlu.
Ada kalanya, peniaga ini boleh memberi izin untuk fotonya dirakamkan. Jika mereka benarkan, peluang untuk mengambil foto lebih mudah. Jika mereka tidak benarkan, jangan marah, senyum dan terus berlalu pergi ke lokasi lain.

8. Datang awal pagi.
Banyak momen berharga berlaku di awal pagi. Dari awal kedai dibuka, susunan barang, dan seterusnya urusan jual beli. Susun story yang ingin ditampilkan. Buat foto siri untuk lebih memberi impak pada penceritaan anda. Cahaya di awal pagi juga lebih lembut dan dramatik dalam memberi mood yang berbeza dalam foto anda.

9. Suntingan dalam hitam putih atau warna?
Tiada mana yang betul atau salah. Dua-dua suntingan dalam hitam putih atau warna bergantung kepada mood foto yang ingin ditampilkan. Berekperimen setiap satu dan tengok hasilnya.

Sudah ketahui tipsnya, lihat contoh gambar yang saya ambil. Selamat mencuba.

Pagi itu 8 Feb 2020, seawal jam 7 pagi, kami sudah bergerak dengan menggunakan KTM Komuter daripada KL Sentral ke Batu Caves. Dengan tambang RM2 bagi perjalanan sehala, kami teruja tak sabar mahu memotret. Sejenis kegigihan mahu merakam momen yang setahun sekali diadakan.

Suasana di ruangan menunggu penuh dengan penganut Hindu mahu menyambut Thaipusam. Mereka rata-rata memakai baju berwarna kuning yang melambangkan kesucian.

Waktu ini, pandemik belum menggila lagi. Walau sudah ada beberapa kes dalam Malaysia, jumlahnya masih kecil dan kerajaan tidak lagi membuat sekatan perjalanan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, kami bertiga (saya, Mila dan Maizawani) tetap berhati-hati dan sentiasa pakai mask dan tangan disapu hand sanitizer selalu.

Kami wefie dalam KTM Komuter. Terima kasih Mila atas fotonya ini.

Menghampiri stesen Batu Caves, kami lihat matahari bulat munculkan diri di celah-celah bangunan. Geramnya rasa. Di saat momen begitu indah depan mata, terbatas mahu merakamnya pula. Berdiri dalam KTM Komuter, hanya mata mampu menatap puas-puas untuk simpan dalam ingatan.

Sampai di lokasi, kamera sudah siap sedia untuk beraksi. Saya gunakan Sony RX100vi sahaja. Mudah dan kecil untuk menyelit di mana-mana. Nak ambil wide, saya gunakan 24mm focal length. Kalau mahu zoom, sehabis mungkin hingga 200mm focal length saya gunakan.

KTM Komuter tiba sahaja di stesen Batu Caves, kami terus menuju ke Sungai Gombak. Jalan laju tak berlengah. Maklumlah, mahu jadi antara yang terawal sebelum tempat dipenuhi dengan fotografer lain. Konon-konon mahu cari gambar yang sudah dibayangkan dalam kepala sebelum pergi.

Di sinilah acara bermula, yang mana, yang membawa kavadi atau belanga berisi susu akan berarak. Di kaki lima pula, ada khidmat mencukur rambut dengan bayaran tertentu. Kepala yang sudah botak, dilumurkan warna kuning daripada kunyit. Ini antara amalan mereka dalam menyempurnakan nazar dan menebus dosa.

Di sini, ribuan malah mungkin jutaan penganut agama Hindu berkumpul tak kira dari dalam dan luar negara untuk bersembahyang dan menunaikan nazar. Bukan itu sahaja, pelancong asing turut sama berada di sini untuk menyaksikan acara keramaian yang meriah begini.

Thaipusam yang dirayakan oleh kaum Hindu sekitar Januari atau Februari, dalam bulan “Thai”, bulan kesepuluh dalam kalendar masyarakat India, selalunya menjadi medan untuk fotografer jalanan atau street photographer mencari gambar. Masa inilah mahu asah seni melihat sehabis baik. Pelbagai sumber daripada acara terdahulu dijadikan asas rujukan. Biasanya, tiga empat hari sebelum acara kemuncak, fotografer sudah berada di sini menjejak momen. Salah satu syurga ambil gambar di tengah kesibukan kota adalah ketika musim perayaan seperti inilah. Meriah wall facebook mereka kemas kini hasil gambar yang diambil. Ada yang rakam suasana ketika siang, tak kurang ada juga yang suka ambil ketika waktu malam mengikut citarasa masing-masing dalam menyimpan koleksi.

Di saat, pembayar nazar (penganut Hindu) menusuk tombak kecil menembusi pipi dan tombak yang lainnya menembusi lidah, saya palingkan muka ke tempat lain. Tak sanggup mahu melihat apatah lagi mahu ambil gambar. Jadinya, saya lebihkan rakaman dengan cara lain. Ngeri sebenarnya, takut termimpi-mimpi pula.

Ketika perarakan kavadi, sanak saudara dan kawan-kawan mereka turut sama mengiringi sebagai tanda memberi sokongan. Alat muzik dibunyikan, kawasan jadi riuh dengan nyanyian dan bau asap kemenyan.

Di sini, kita akan melihat bagaimana upacara keagamaan menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai tempat di kuil-kuil besar di Malaysia. Kesatuan unggul.

Tak banyak gambar yang sempat saya rakam ketika ini.  Seadanya kerana kami mula rasa tak selesa dengan pertambahan manusia membanjiri sekitar kuil yang punyai 272 anak tangga dan Tugu Dewa Muruggan setinggi 42.7m ini.

Keputusan diambil, dan mengambil kira terik yang semakin menyengat, sebelum jam 11 pagi kami sudah kembali ke stesen KTM Batu Caves untuk pulang.

Selepas setahun, untuk 2021, kali ini berbeza. Tiada sambutan, perarakan ataupun acara keramaian besar-besaran seperti tahun terdahulu. Sama-sama kita doakan pandemik ini segera berakhir dan kita semua dalam lindungan-Nya. Amin.

Suasana di sekitar Batu Caves
Menunaikan nazar dengan mencukur rambut
Antara penganut Hindu yang berada di sekitar Sungai Gombak
Gelagat mereka yang menyaksikan perarakan daripada atas
Mereka mandi sebagai tanda menyucikan diri
Air pancuran di sediakan dengan binaan sebegini untuk memudahkan mereka menyucikan diri
Antara penganut Hindu yang berada di sini
Perarakan kavadi sudah bermula
Salah seorang pembawa kavadi bersedia
Ada yang menyaksikan persiapan perarakan dari atas
Seorang penganut agama Hindu membantu mengemaskini besi yang dicucuk ke pipi pembayar nazar
Reflection pada belon berbentuk bola berlutsinar menampakkan mereka yang membanjiri sekitar Batu Caves
Ada yang membawa belanga berisi susu

Street fotografi, antara cabang yang nampak mudah tapi tak mudah sebenarnya.

Perlu peka, hendak ambil foto yang bagaimana. Momen yang bagaimana. Aksi yang bagaimana.

Ada sesetengah fotografer, suka bermain dengan shadow, warna, layer, framing, pattern dalam mencorak foto mereka dalam street fotografi. Masing-masing punya kelebihan.

Ia, semuanya memerlukan latihan dan kecekapan mata melihat. Jari perlu pantas menekan butang shutter apabila momen berlaku didepan mata.

Kali ini saya kongsikan sedikit apa yang selalu saya praktiskan.

Dalam street, biasanya saya suka bermain dengan layers dan atau dengan multiple subjek.

Yang dimaksudkan dengan layers itu ialah, adanya subjek di depan, di tengah dan di belakang. Lagi best kalau setiap subjek mempunyai aksi dan momen tersendiri. Ia seolah membentuk penceritaan daripada hadapan, tengah dan belakang.

Kemudian, multiple subjek pula diterjemahkan sebagai adanya pelbagai subjek yang wujud dalam foto yang dapat menguatkan cerita seperti orang, bayang, framing atau objek.

Nak lagi faham, kita cuba tengok pada foto ini.

Masa mula-mula sampai tempat ni, saya dah nampak banyak layers dan subjek disini. Cuma bagaimana nak terjemahkan dalam satu foto.

Saya berdiri depan diaorang ini semua. Kamera sudah saya setkan kepada setting yang saya mahukan. Lihat pada keliling dan perhatikan pergerakan subjek.

Jika dilihat, kedudukan setiap subjek saya iaitu peniaga dan pembeli disini membentuk layers yang agak menarik.

Mereka berada dikedudukan yang tak bertindan antara satu sama lain secara ketara dan seolah-olah bercerita antara satu layer ke layer lagi satu.

Brother yang pakai baju putih dan kotak-kotak yang berada didepan berada di layer 1.

Begitu juga dengan pakcik yang pakai baju biru jalur yang sedang hulurkan duit, makcik disebelahnya dan jua para peniaga yang sedang duduk tu dalam layer 2.

Mereka yang berada di bangunan membentuk layer ke 3.

Semua subjek ini mempunyai aksi atau momen masing-masing yang menarik dalam foto. Perhatikan pakcik yang tengah hulur duit, tengah berjalan, duduk, cangkung, berdiri. Setiap satu ada kaitan antara satu sama lain.

Bangunan dibelakang itu mempunyai seakan pintu besar yang membentuk framing.

Framing ni pun salah satu subjek. Dan dalam setiap framing tu ada momen aksi masing-masing.

Sudah faham apa yang saya cuba sampaikan. Nampak tak peranan layers dan multiple subjek dalam mengambil dan membuat foto.

Foto ini dirakamkan di salah satu open street market di India ketika kunjungan saya ke sana April lepas. Pasar awam antara lokasi wajib ada dalam checklist saya kalau pergi mana-mana. Korang punya checklist tempat apa pula?

 

Zanariah Salam
Praktis dan melihat setiap hari.

error: Content is protected !!