India. Serba serbi menarik untuk dirakamkan. Memotret tempat-tempat cantik, mengenal budaya dan cara hidup mereka yang tak pernah habis setiap kali kunjungan ke sini.
Kerana gambar-gambar Steve McCurry, fotografer yang terkenal dengan gambar The Afghan Girl, menggerakkan hati saya dengan sukanya untuk cop passport India sebanyak 6 kali tanpa sedar.
Bermula daripada tahun 2015 hingga 2019. Satu kali perjalanan atas urusan kerja ke Mumbai (pada Jan 2016), tiga kali ke Kashmir (April 2018, Okt 2018 dan Sept 2019) dan baki yang dua ke New Delhi, Agra, Puskhar, Shimla, Jaipur dan Jodhpur (Feb 2015 dan Nov 2016).
Pada Nov 2016, kunjungan ke India yang ketiga kalinya, saya beritahu kawan untuk masukkan Stesen Kereta Api New Delhi dalam iteneri pada hari terakhir di sana. Tidak lengkap kembara sebagai seorang pemburu gambar, jika tidak ke sini. Dinobatkan sebagai stesen kereta api utama di New Delhi, di sinilah antara lokasi terbaik melihat India. Terbayang sudah gambaran rakaman yang bakal saya ambil.
Kereta api datang dan pergi, lalu berhenti di stesen. Menurunkan penumpang dan kemudian penumpang lain pula masuk. Ada yang datang berkeluarga, ada yang sendiri. Ada yang berkumpul selonggok di penjuru dengan sejumlah beg seperti mahu pindah. Ada yang bawa beg sandang sahaja.
Ringkas gayanya.
Setiap pandangan mata mereka berbeza. Ada yang kelihatan gembira, duka, sedih dan serba serbi dengan seribu satu cerita yang hanya mereka sahaja yang tahu.
Terus berpaling ke tempat lain dan selera nak makan kekacang yang dibeli terus mati seketika. Nak teguk air pun tak jadi. Penangan “emas” seakan bom jangka yang tidak menyenangkan.
Tapi itulah India. “Kejutan” yang sudah dijangka sepertimana yang telah diberitahu kawan sebelum ke sini. Berhati-hati dengan pandangan tanpa sedar sebegini katanya. Boleh murung sekejap dibuatnya.
Comments are closed.