MENYAHUT #CABARAN100MUKASURAT DI HARI TERAKHIR JANUARI 2021

27

31 Januari 2021. hari terakhir di bulan Januari. Di tahun yang penuh dengan norma baru. Sudah setahun berada dalam dunia pandemik. Macam-macam kita lakukan apabila diarahkan untuk “Stay At Home”.

Bermacam resepi dicipta dan menjadi fenomena viral di media sosial sejak Mac 2020 apabila PKP dilaksanakan. Bercucuk tanam, baca buku, melukis dan pelbagai aktiviti yang dahulunya kita pandang sepi nak buat.  Atau hanya akan dilakukan apabila ada cuti senggang. Kini ia menjadi satu terapi, satu aktiviti yang dilakukan bersama keluarga di rumah.

Duduk bersama, buat sama-sama. Oh, baru perasan, anak yang satu ini, suka melukis. Cantik lukisannya. Ada ceritanya walaupun di mata kasar, masih belum sempurna calitannya. Begitu juga anak yang no 2. Rupanya suka masak. Tonton youtube rancangan masakan A, dicuba, dan ia menjadi seperti dalam resepi. Satu keluarga gembira, kerana secara tak langsung, ada hikmah  terbesar yang Tuhan mahu tunjukkan ketika musibah melanda.

Itu yang berkeluarga, tinggal beramai-ramai. Bagi yang tinggal seorang atau dengan kawan-kawan sahaja, bagaimana?

Boleh melakukan aktiviti membaca.

Saya mengikuti penulisan kawan-kawan di media sosial. Ada yang berkongsi cara itu ini. Antara yang suka hendak saya baca ialah tentang bagaimana mahu memulakan membaca atau pilihan buku yang dibaca.

Awal bulan Januari 2021, saya berjaya baca 2 buah buku daripada sasaran 5 buku.

Buku pertama berjudul 99 Jujur Kata Buya HAMKA. Ulasan saya buat di sini.

Buku kedua tulisan Fahd Pahdepie, Muda, Berdaya, Karya Raya!. Ringkasan buku itu tentang apa di sini.

Sebagai seorang yang suka beli buku (jangan ketawa, sebab saya tahu, awak pun sama, kan kan kan, hahaha), ada masa leka membeli. Pantang nampak judul buku macam sedap saja, blurb mengusik jiwa, ada promosi, menarik hati untuk membeli. Tapi bila nak baca? Ada waktu memang sehabis baik untuk luangkan masa, baca satu buku sehari. Tak kisah, sebelum tidur, selepas tidur, asalkan baca. Ada ketika, momentum menurun. Nak selak baca sehelai pun tak sempat. Aduhai.

Dan di Januari 2021, lebih tepat di akhir bulan pertama di tahun baru, ada kawan-kawan mahu buat #cabaran100mukasurat. Idea asal daripada satu post di twitter, @BookendsMY.

Menarik. Cabaran bermula dari jam 10 pagi – 10 malam. Ambil sahaja mana-mana buku dan baca.

Kadangkala, cita-cita kita besar. Mahu itu ini. Cuma itulah, ada waktu ia jadi seperti angin lalu. Tup-tup jadi angan-angan saja. Sepi.

Dan apabila ada cabaran begini, sekurangnya dapat menaikkan momentum kembali. Baca 100 muka surat pada hari ini selama 12 jam. Lebih lagi apabila jumlah buku di rak semakin banyak dan seolah sedang memerhati minta dibaca. Sayu sahaja pandangan mereka. Hahaha, seram ya ampun.

Menyahut cabaran begini, tak semestinya terus menerus 12 jam baca. Ia boleh disesuaikan mengikut kesesuaian diri masing-masing. Jika penat, rehat. Makan sekejap, lepas tu sambung balik. Rehat lagi, sambung baca kembali hingga cukup 100 muka surat. Dapat lebih baca dalam tempoh 12 jam lagi bagus. Sekurangnya, satu buku sudah kita habis baca dalam masa 12 jam. Menarik kan?

Buku apa yang saya pilih?

Ini dia. Garis Waktu. Tulisan Fiersa Besari. Siapa yang belum tahu, beliau ialah seorang penyanyi juga, berasal daripada Indonesia. Lulusan sastera Inggeris. Jadi tak hairanlah catatan beliau sangat puitis.

Buku ini setebal 211 muka surat. Saya memilih buku ini atas judulnya itu sendiri dan gambar kulit muka buku yang ditunjukkan. Minimalis rekabentuknya. Saya suka design yang sebegini.

Pada permulaan bacaan, saya ulang baca berkali-kali. Cuba memahami cara penulisan beliau. Sebagai seorang yang bukan orang sastera, saya agak tak faham apa yang cuba beliau sampaikan awalnya. Ayat demi ayat, perenggan demi perenggan yang saya baca, saya seolah hanyut dalam bait-bait perkataan yang disusun.  Eh, apa aku baca ini?

Kemudian, saya fokus kembali dengan ulang baca daripada awal.

Akhirnya, sebelum jam 10 malam, buku ini saya habis baca. Ada ketika banyak pause dalam tempoh 12 jam itu. Berhenti membaca seketika untuk selesaikan hal-hal di rumah. Kemudian, sambung baca kembali.

Dan kemudian, entri ini pun ada sebagai ulasan dan hasil daripada #cabaran100mukasurat.

Garis Waktu. Ia tentang tempoh masa, bagaimana “Aku” bercerita mengenai hubungannya dengan “Dia”. Lima tahun “Aku” memendam rasa dengan “Dia”. Bagaimana “Aku” mula berkenalan, patah hati, mengejar “Dia” dan akhirnya belajar untuk melepaskan dengan rela hati dan ikhlas. Ini adalah curhat (curahan hati) “Aku” tentang cinta dan orang ketiga. Pasrah yang diterjemahkan dengan kata-kata tanpa sekalipun bernada marah. Awal cerita seakan “Aku” bertepuk sebelah tangan, tapi “Dia” pernah menyambut cintanya seketika sebelum ianya seperti kabur dalam perhubungan. Dan akhirnya “Dia” mengikat kasih dengan orang lain.

Setiap bab, ada satu gambar diselitkan. Ini mungkin untuk menggambarkan curhat yang ditulis tentang apa. Tanpa dialog, ia buku yang enak dibaca walaupun pada awalnya saya agak keliru buku ini tentang apa. Mujur cepat sedar dan kembali fokuskan pada pembacaan. Buat yang suka puisi, buku ini cocok buat awak untuk dibaca. Setiap perenggan, setiap ayat, seakan kata-kata puisi yang indah dengan ritma yang sedap dibaca.

Buat yang dilamun cinta, patah hati, sukar nak move on, buku ini pun boleh awak baca sebagai pengubat cara.

Ada kalimat yang saya suka, mahu kongsikan di sini, antaranya ialah,

  1. Jika kita berjodohan, walaupun hari ini dan di tempat ini tidak bertemu, kita pasti akan tetap dipertemukan dengan cara yang lain. (Halaman 13).
  2. Sebenar-benarnya, cemburu yang menyakitkan adalah cemburu pada seseorang yang tidak peduli akan perasaan kita. (Halaman 32).
  3. Seseorang yang tepat tak selalu datang tepat waktu. Kadang ia datang setelah kau lelah disakiti oleh seseorang yang tidak tahu cara menghargaimu. (Halaman 53).
  4. Bukankah hidup ini sebetulnya mudah? Jika rindu, datangi. Jika tidak senang, ungkapkan. Jika cemburu, tekankan. Jika lapar, makan. Jika mulas, buang air. Jika salah, betulkan. Jika suka, nyatakan. Jika sayang, tunjukkan. (Halaman 80).
  5. Sebuah kebahagiaan tidak perlu dipamerkan kepada dunia. (Halaman 81).
  6. Biarlah sebuah perjalanan mengajarkan tentang apa yang namanya kerinduan. Biarlah pertualangan memperkenalkan dengan persahabatan baru. (Halaman 106).
  7. Kita lupa bahwa manusia yang terkaya bukanlah mereka yang mempunyai banyak harta, tapi yang mampu berbuat kebaikan dengan hartanya. (Halaman 114).
  8. Aku percaya, Tuhan yang menciptakan akal adalah Tuhan yang sama menciptakan hati. Sayangnya, kita terlalu sering mengabaikan hati kita sendiri. (Halaman 114).
  9. Betapa kita senang membiarkan dendam tetap membara, panas. Tanpa kita sadari, bara itu membumihanguskan segala kebaikan yang ada di dalam diri kita. (Halaman 140).
  10. Takkan mulia kau menunggu permintaan maaf. Takkan hina kau meminta maaf terlebih dahulu. (Halaman 141).
  11. Ketika kesetiaan menjadi barang mahal, ketika kata “maaf” terlalu sulit untuk diucap, ego siapa yang sedang kita beri makan? (Halaman 144).
  12. Kenangan bagaikan api. Ia bisa menghangatkan, atau membakar, semua tergantung dari cara kita memandangnya. (Halaman 161).
  13. Darimu aku belajar untuk menjadi lebih baik. Denganmu aku belajar untuk melakukan yang terbaik. Tanpamu aku belajar untuk memperbaiki. (Halaman 167).
  14. Jatuh hati itu hak, sebuah anugerah untuk kita nikmati. Kalau tidak bisa dinikmati kisahnya, nikmati rasanya. Kalau terlalu menyakitkan, petik hikmahnya. (Halaman 175).
  15. Sahabat mencarimu ketika yang lain mencacimu. Mereka merangkulmu ketika yang lain memukulmu. (Halaman 191).
  16. Tuhan tidak pernah mengutusmu untuk menyempurnakanku. Tuhan hanya mengutusmu sebagai guru sebelum aku bertemu dengan pendamping hidupku yang sebenarnya, (Halaman 206).

Dan, akhir sekali, saya cari di youtube, dan jumpa video ini. Fiersa Besari membacakan dari halaman 43 – 56.

Selamat menikmati sebuah buku tentang perjalanan menghapus luka.

Akhirnya, di Januari 2021, saya berjaya habis baca 3 buah buku. Best!. Okay, kita sambung dengan buku lain pula. Ayuh sama-sama.

 

Comments are closed.