KHUATIR ATAU MENYIBUK?

44

Pagi itu, selepas puas meronda Masjid Jama, (lihat hasil gambar yang saya ambil di sini), kami menyambung langkah ke Chandni Chowk. Berhadapan dengan masjid sahaja. Antara lorong yang sibuk dengan pelbagai urusan jual beli.

Jalannya sempit, apatah lagi apabila berselisih dengan trishaw atau basikal roda tiga yang sibuk mencari dan menurunkan penumpang.

Di lorong ini, orang tak putus-putus keluar masuk. Suasana jadi riuh dengan urusan tawar menawar. Ada juga pengemis di kaki lima menagih simpati. Saya teringat kisah di Feb 2015. Pertama kali ke India dan ke sini. Bagaimana ia membuka mata tentang erti hidup. Catatannya saya nukilkan di sini.

Melihat mereka dan persekitaran, ada kala buat saya kagum seketika. Dalam serba tak lengkap, seadanya, mereka tetap bertahan untuk hidup. Walau menjual makanan atau minuman yang sama, gerai-gerai tetap ada menerima pesanan pelanggan.

Ini soal rezeki, tak perlu kita untuk persoalkan. 

Rezeki adalah rahsia alam. Kita berusaha dan bertawakal, Insha Allah, Tuhan pasti bantu.

Meneruskan langkah sambil kamera tak lekang merakam momen terbentang depan mata. Tiba-tiba, terdengar cicipan burung meriah dari atas. Mendongak perlahan dan,

Ya Allah, serabutnya. Saling berselirat. Tak tentu hala sekali pandang. Tak berlaku litar pintas ke begini?

Getus hati saya berkata tiba-tiba. Melihat wayar dan kabel gantungan yang sudah jadi tempat burung bertenggek.

Anehnya, penduduk setempat seolah seperti tidak kisah dengannya. Jual beli dan aktiviti harian masih berlangsung di tepi-tepi jalan. Sedikit pun tidak ada yang menjauhkan diri. Malah rapat-rapat mereka berjualan dan membeli di situ.

Sebagai pelancong, yang sudah biasa di tempat sendiri dengan aturan yang teratur, melihat fenomena wayar umpama benang kusut begini, benar-benar mengganggu mata. Perasaan seram dan khuatir muncul.

“Bagaimana jika tiba-tiba berlaku litar pintas. Kedebom… dan semua tercampak dek letupan yang berlaku tiba-tiba” begitu saya berprasangka.

“Tidak terfikirkah mereka jika perkara begitu boleh berlaku?”

“Tidak takutkah mereka?”

“Berani betul!”

Semua pertanyaan ini dalam hati sebelum saya lontarkan pula kepada teman. Senyap. Tidak membalas satu apa pun. Hanya menggelengkan kepala. Tiada jawapan dapat diberi. Tidak tahu atau tak pernah nak ambil tahu. Hal negara orang, buat apa nak ambil peduli, bukan?

Tapi, tapi, kemushkilan terus melanda. Pelik bin ajaib. Mereka boleh harmoni tinggal bersama dengan bebenang wayar yang bersimpang siur begini. Aneh kan?

Kemudian, baru saya perasan satu perkara. Ada perlunya untuk kita tak usah peningkan kepala. Buat apa? Kita ini pelancong sementara ke sini. Datang pun entah lima tahun sekali sudah berprasangka yang bukan-bukan. Lihat mereka, seharian di sini, tidak ambil pusing satu pun.

Kerana apa?

Kerana mereka menjalani hari-hari dengan seadanya. Jika berlaku litar pintas atau apa sahaja, anggap sahaja ia sebagai sebahagian daripada rahsia dan misteri alam. Jalan penyelesaian pasti akan ada ketika itu. Bagaimana mereka beriktiar untuk hidup, pasti sama juga bagaimana mereka mahu menyelesaikannya.

Kita ke sini untuk memerhati. Janganlah membuat persepsi seolah kita duduk lama di situ. Baru singgah 2 jam, sudah mengaku tahu semua perkara.  Ishk..

Sabar dan bertenang sebentar. Setiap satunya ada jalan penyelesaian. Berada di negara orang, kita belajar dan ambil pelajaran, bukan menghakimi atas kehidupan mereka.

Comments are closed.