Ini adalah antara pemandangan yang saya ambil ketika ke Bali 2015 lepas.
Bali, Indonesia. Nama yang tidak asing buat mana-mana pelancong. Untuk berhibur, jalan-jalan menikmati pemandangan, pelajari budaya dan cara hidup masyarakat, itu semua indah sekali untuk dikenang kembali.
Ke pantainya, menikmati matahari terbit dan terbenam.
Datang seawal pagi, dikeheningan dingin subuh, dengan berbekalkan lampu suluh kecil, berhati-hati meniti batuan dan pasir pantai mahupun menuruni tebing semata-mata untuk melihat matahari terbit. Begitu juga sewaktu menunggu matahari terbenam. Berhati-hati dalam semua perkara. Sabar adalah kata kunci utama supaya tidak terburu-buru dalam mengejar momen. Keselamatan diri harus jadi keutamaan.
Setelah lokasi dipilih, tripod dipacak sebaiknya dan kamera disetting aperture, shutterspeed dan iso nya. Komposisi sebagus mungkin mengikut pandangan mata. Kadang kala bersilang tripod dengan teman perjalanan. Ada juga nun jauh berjarak supaya kononnya boleh dapat momen berbeza. Mata melihat masing-masing tidak sama. Saya mungkin nampak begini, teman yang lain begitu. Ikut kesukaan dan citarasa sendiri dalam mencorak karya.
Bersilih ganti bunyi shutter. Yang buat rakaman timelapse, inilah masanya menghabiskan ruang memori yang ada supaya berbaloi datang ke sini.
Sudah puas satu lokasi, angkat tripod dan pindah lagi ke tempat lain. Begitulah keadaan setiap kali. Sehabis baik, sebanyak mungkin ambil seberapa banyak sudut terbaik untuk bekalan pulang ke tanah air. Tempat bukan selalu boleh datang, memang kasi pulun habis-habis.
2020. Setelah 5 tahun ke sini, hajat mahu mengulang kembali terbantut seketika. Jadinya, bukalah folder lama dan pilih yang berkenan untuk diolah dalam photoshop. Horizon dibetulkan dan minimal editing saja sesedap mata memandang.
Begitu banyak rupanya gambar diambil dahulu. Ini baru sebahagian. Dari Tanah Lot, Pantai Mengening, Pantai Sanur, Nusa Penida hingga Tasik Tamblingan.
Setiap satu lokasi yang menjanjikan keindahan alam tanpa batas. Melihat dan memerhati. Ciptaan yang serba indah terbentang depan mata dan terasa kerdilnya diri.
Mungkin ini waktu terbaik untuk menggali makna kembara terdahulu. Apa yang sebenarnya dicari dan dirakam.
Seperti kata Agustinus Wibowo,
Perjalanan adalah belajar melihat dunia luar, juga belajar untuk melihat ke dalam diri. Pulang memang adalah jalan yang harus dijalani semua pejalan. Dari Titik Nol kita berangkat, kepada Titik Nol kita kembali.
Bali, Indonesia | 2015.
Sony A6000 & lens E 10-18mm f4 OSS, E 16-70mm f4 ZA OSS.
Zanariah Salam
Merakam dan memerhati.
Comments are closed.