DISEBALIK KEINDAHAN ALAM KASHMIR TERBENTANG HAKIKAT KEHIDUPAN UNTUK DIFAHAMI

54

Kashmir. Menyebutnya terus rasa rindu bertandang. Kerana filem Bajrangi Bhaijaan saya ke sini. Asyik melihat keindahan yang disajikan buatkan jiwa tak keruan mahu ke sini.

Akhirnya, pada April 2018, hajat dipenuhi. Ingatkan cukup sekali sudahlah, rupanya pada Oktober 2018 datang lagi. Dan eh, pada Sept 2019, lagi sekali bertandang ke Kashmir.

Dalam tempoh 2 tahun, 3 kali sudah ke sini. Nak kata puas hati, memang puas sangat-sangat. Malah, mahu datang lagi dan lagi. Seakan tak pernah cukup dengan koleksi gambar yang ada. Jika kembara lepas terbatas dengan masa lebih kurang 14 hari, saya fikir jika ke sini dalam tempoh sebulan, pasti banyak lagi cerita yang bakal diperolehi. Begitu terfikir.

Kashmir, lokasi bergolak. Hingga ke hari ini, masih terkepung dengan agenda politik India dan Pakistan yang tak sudah. Kerakusan manusia atas dasar perbezaan fahaman, agama dan politik menyebabkan Kashmir seakan tertindas.

Memasuki udara Kashmir, sebelum pesawat mendarat di lapangan terbang Srinagar,  saya melihat kepulan asap. Terfkir sesuatu, apakah ia. Ada kilangkah di sana? Tapi kilang apa?

Pertanyaan dalam benak fikiran dilontarkan kepada pemandu kami ketika saya dan rakan-rakan ke sini pada Okt 2018.

“Itu kilang bata” katanya.

Sesuatu yang menarik.

“Ini kalau aku dapat gambar macam yang kat Bangladesh nih, mesti best gila” hati berkata. Bayangan gambar-gambar yang pernah dilihat sebelum ini mula berlegar dalam kepala.

Kata sepakat diambil. Kita mesti ke sini. Sekejap pun jadilah. Ekspedisi pun bermula mencari keunikan yang jarang orang lain mahu cari jika ke Kashmir. Memang ini tak masuk dalam iteneri langsung sebelum ini. Edisi terjah saya kira.

Kawasan kilang bata ini terletak dalam laluan ke Pahalgam. Jalan nak masuk sempit dan hanya muat-muat satu kenderaan sehala sahaja. Jika bertembung kenderaan lain pun, pandai-pandailah pemandu nak adjust bagaimana. Kami yang duduk dalam kenderaan, hanya mampu berdoa panjang dan tutup mata sambil kadang kala terjerit tanpa sengaja.

Kebanyakkan pekerjanya bukanlah warga Kashmir. Sekilas melihat wajah mereka, sudah tahu. Berbeza. Mereka datang ke sini untuk bekerja. Gaji yang diberi sikit dan ia dikira berdasarkan jumlah bata yang dibuat. Sebulan, seorang boleh buat dalam 2000 bata dan gaji bagi 1000 bata dalam 500 rupee.

Sikit kan? Sudahlah serba serbinya manual untuk buat bata ini. Semua guna kudrat tangan yang ada.

Kashmir yang punya banyak cerita. Jika di luar sana, banyak disajikan tentang lokasi menarik, kesedapan makanannya, keindahan tempatnya, ada sisi lain tentang Kashmir yang saya lihat. Realiti kehidupan. Ya, saya belajar lagi tentang hakikat hidup.

Sampai saja ke kawasan kilang ini, keluar dari kenderaan, saya cekup selendang dan lilit ke muka. Lebih tepat, saya tutup hidung dan mulut. Hanya nampak mata sahaja. Tempatnya berdebu dan saya sendiri tak tahan. Jika kami yang baru datang sudah begini, menutup segala, bagaimana mereka yang hari-hari di sini. Allah.

Saya fikir, hanya ada orang dewasa sahaja di sini, tapi rupanya ada kanak-kanak juga. Saya difahamkan, mereka ini tinggal di sini. Lagi sekali realiti kehidupan terbentang depan mata.

Rakan saya membuka beg dan beri makanan yang ada pada anak kecil ini. Walaupun cuma sebungkus dua makanan ringan dan pisang, ia cukup buat anak-anak ini tersenyum menerima malah berkongsi sesama sendiri. Lihat, dalam tak cukup untuk makan seorang, mereka berkongsi. Satu demi satu kemurnian kelakuan mereka ditunjukkan depan mata.

Di saat kita cukup makan, cukup pakai, mereka ini seadanya. Apa yang terhidang, itulah yang dimakan. Betapa beruntungnya diri ini. Walaupun pernah rasa sukarnya hidup, tapi tak sesusah mereka. Tak pernah kaki berdebu tanpa berselipar sekalipun di luar rumah. Tak pernah baring beralaskan rumput kering sekalipun seperti mereka. Tak pernah langsung. Diri ini masih lagi berumah, berkipas, berdinding dan berbumbung lengkap.

Di saat ada antara kita ada kerja, tapi kadang kala culas dan terbabas dalam tanggungjawab. Waktu kerja leka dengan berfacebook, melayan media sosial meraih jumlah like, komen dan share. Tapi mereka, terus berkerja mengumpul gaji bulanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Panas terik, itulah sumber rezeki yang harus diraih. Bukan mengeluh sekalipun mengelak.

Kashmir. Punya satu karektor perjalanan yang sangat misteri. Melihat kecantikkan alamnya yang sering disebut orang, menjadi pujaan dan impian ramai orang untuk ke sini, ada tersembunyi jalur kehidupan manusia lain yang orang tak perasan. Tempatnya terpencil dan bukan tumpuan pelancong. Mereka dalam dunianya yang tersendiri meneruskan liku perjalanan hidup sama seperti kita, hanya berbeza cara dan bagaimana.

Berjalan mengutip pengalaman dan bersyukur atas segala nikmat, bukan mengeluh.

Sungguh, berada di Kashmir, kita memburu dan menikmati ciptaan Tuhan dengan indah sekali. Namun, dari sisi lain, kita juga belajar tentang kemanusiaan dan erti hidup.

Erti hidup dalam kegembiraan, erti hidup dalam belajar mengenal diri sendiri.

Semoga perjalanan kembara ini tidak sia-sia, dan semoga perjalanan seterusnya akan mendekatkan diri dengan Tuhan, pencipta alam semesta.

Terima kasih Kashmir. Dunia kamu sangat istimewa di hati.

Comments are closed.