BAGAIMANA MERAKAM GAMBAR MENARIK DI PASAR

36

Umum gemar mengunjungi pasar awam untuk mendapatkan buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging, rempah ratus dan pelbagai jenis produk harian pada harga yang lebih murah berbanding dengan pasaraya. Tiada apa yang nampak menarik pun. Aktiviti pun sama sahaja saban waktu. Jual dan beli. Malah kawasan pun basah.

Namun dari satu sudut, saya melihat, terutamanya pasar yang masih lagi mengekalkan ciri tradisionalnya sama ada dari segi bangunannya, mahupun lokasinya, ia memberi saya seribu satu pengalaman bermakna dalam fotografi.

Pasar-pasar awam ini, merupakan antara tempat terbaik bagi saya mendapatkan latihan dalam membuat foto. Segala macam momen boleh diperolehi di sini.

Selain itu, keadaan pasar yang kadangkala masih lagi berlantaikan tanah, tanpa tangga bergerak, penyaman udara, troli mahupun lif, ia sedikit sebanyak menjadikan foto yang dirakamkan lebih nostalgia dan kenangan paling bermakna pada masa hadapan.

Riuhnya urus niaga antara peniaga dan pembeli memenuhi ruangan pasar menghangatkan lagi kerancakkan suasananya. Pelbagai gelagat boleh dilihat. Hanya perlu peka dan berada diposisi yang betul bagi mendapatkan foto menarik dalam lensa kamera.

Antara tips yang boleh diguna pakai

1. Gunakan kamera kecil seperti telefon pintar, mirrorless ataupun point & shot berbanding kamera dslr.
Namun tiada menjadi kesalahan untuk menggunakan kamera dslr, tetapi ia biasanya akan mengundang rasa tidak selesa subjek. Seboleh mungkin, kita berkehendakkan foto-foto yang spontan dan bersahaja, tidak dibuat-buat dan subjek berada dalam keadaan seperti biasa, tidak terasa seperti diperhatikan.

2. Rancang dahulu foto bagaimana yang ingin dirakamkan.
Buat kajian melalui internet akan contoh-contoh foto yang diinginkan. Ini bagi mengarahkan minda kita untuk terus fokus membuat foto berbanding keliru dan tidak tahu mahu ambil foto yang bagaimana. Adakah kita mahu bermain dengan shadow, black and white, tekstur, warna, framing dan sebagainya.

3. Tunggu momen.
Jika sudah pasti, subjek dan lokasi, tunggu momen yang paling sesuai untuk mula menekan butang shutter. Jika kamera ada fungsi burst, on kan ia.

4. Cipta kelainan dalam foto.
Berekperimen dengan slow shutter, panning boleh menjadikan foto yang diambil lebih menarik.

5. Jangan takut untuk menggunakan ISO yang tinggi.
Ada kalanya, pasar terletak dalam bangunan atau tempat tertutup dan sukar untuk mendapatkan cahaya yang cukup. Kenal pasti keupayaan kamera yang ada. Kadangkala tidak salah bermain dengan ISO yang tinggi dan dapat foto yang agak noise berbanding dengan foto yang terlalu kabur. Noise dalam foto pun salah satu seni dalam fotografi, bukan?

6. Ambil dari pelbagai sudut. Jangan statik pada satu kedudukan sahaja.
Cuba dari pelbagai arah, eye-level, atas atau bawah. Fikir jika kita sebagai semut, bagaimanakah pandangannya. Sebagai helang, bagaimana pula?

7. Minta izin jika perlu.
Ada kalanya, peniaga ini boleh memberi izin untuk fotonya dirakamkan. Jika mereka benarkan, peluang untuk mengambil foto lebih mudah. Jika mereka tidak benarkan, jangan marah, senyum dan terus berlalu pergi ke lokasi lain.

8. Datang awal pagi.
Banyak momen berharga berlaku di awal pagi. Dari awal kedai dibuka, susunan barang, dan seterusnya urusan jual beli. Susun story yang ingin ditampilkan. Buat foto siri untuk lebih memberi impak pada penceritaan anda. Cahaya di awal pagi juga lebih lembut dan dramatik dalam memberi mood yang berbeza dalam foto anda.

9. Suntingan dalam hitam putih atau warna?
Tiada mana yang betul atau salah. Dua-dua suntingan dalam hitam putih atau warna bergantung kepada mood foto yang ingin ditampilkan. Berekperimen setiap satu dan tengok hasilnya.

Sudah ketahui tipsnya, lihat contoh gambar yang saya ambil. Selamat mencuba.

Comments are closed.