JALAN-JALAN

BAGAIMANA KE INDIA BOLEH MEMBERI KESAN KEPADA KEHIDUPAN ANDA

Pinterest LinkedIn Tumblr

Melangkah ke India, selalunya dibayangi oleh indahnya cerita hindustan yang seringkali ditonton dari kaca tv. Senyum-senyum sendiri melihat mereka menari-nari dengan pelbagai langkah tarian yang berlatarbelakangkan landscape memukau mata.

Mahu cari muka seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, hidung mancung terletak, mata cantik berwarna hijau biru, apatah lagi dengan seri baju mereka yang berwarna warni. Kontra sungguh dan cantik dirakam dalam lensa kamera. Ini sudah pasti. Apatah lagi sudah melihat beberapa contoh gambar dari Internet yang mengoncang jiwa dan kamera sudah tidak sabar untuk menjelajah.

Namun, apabila kaki menjejaki India, sebaik sahaja turun daripada Lapangan Terbang Indra Gandhi New Delhi, melepasi ujian imigresen yang kadang kala buat hati kecut perut sekejap, semua bayangan dan impian itu tinggal mimpi semata.

Kini, bukan kekacakkan dan cantiknya rupa paras Bollywood yang jadi tumpuan utama, tapi melihat Bollywood itu sendiri dari sisi berbeza. Udara India dihirup buat pertama kalinya, teriakkan hon sana sini tak kira masa membingitkan telinga yang selalu disajikan dengan suasana sunyi sepi dan kepadatan penduduk yang terhidang depan mata dilihat di mana-mana. Dan oh ya, tak lupa, lembu-lembu yang berkeliaran bebas di tepi jalan tanpa bertuan dan seolah membayar cukai jalan. Untung jumpa lembu, ada waktu, terpandang juga ‘lembu pendek’ yang seolah hidup harmoni bersama kambing, monyet, anjing dan manusia.

“Wei, tengok wei, ada kambing pakai baju”

“Korang, tengok tu, besar gila lembu tu”

“Eh, tu bukan ke ‘lembu pendek’. Selamba ja wei kat sampah tu. Hidung dia merah la wei”

Dialog-dialog keterujaan yang sudah jadi biasa diucapkan setiap kali terlihat sang haiwan di ruang jalan. Kita sibuk nak lalu, ia pun sama nak cari ruang. Hon sana sini ada waktu bukan sebab sesaknya kenderaan, tapi untuk memberi laluan kepada sang lembu melintas yang tiba-tiba. Memang seperti raja, dihormati sungguh.

Ini baru tentang haiwan yang nampak, ada banyak lagi sisi pengajaran yang dipelajari. Kastanya, senibinanya yang hebat, budaya mereka, dan macam-macam lagi.

Cukup sehari berada di Chandni Chowk. Terbuka mata melihat cara hidup mereka. Insaf sekejap.

Yang kaya memang kaya, yang kurang berkemampuan ada dimana-mana. Hidup ditepi jalan dengan hanya berkhemahkan kain kanvas dan lantai tanah. Dengan habuk yang menyesakkan pernafasan. Kalau kita bagaimana? Buat mereka asalkan ada tempat berteduh dimalam hari, okay saja.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kepadatan penduduknya yang hampir 1.3 billion memungkinkan sukarnya untuk mereka semua mencari pekerjaan tetap. Buat apa saja asalkan dapat makan untuk hari ini. Esok lusa, itu cerita lain. Kerja harian. Ada kerja ada gaji, tak ada kerja, tak ada gaji. Konsepnya mudah. Siapa berusaha, dapat ganjaran, begitu percaturan hidup mereka.

Mengemis dan duduk berteleku ditepi kedai makan mengharapkan simpati orang lalu lalang menghulurkan sedikit makanan menyentuh hati. Sayu saja melihat mereka. Entah makan atau tidak malam semalamnya. Lenakah tidurnya malam hari dengan perut kosong?

Tidaklah banyak dapat dibantu, namun dapat mengenyangkan mereka seketika sudah cukup menginsafkan. Kami hulurkan sedikit wang dan beri pada tokey restoren untuk mereka agihkan sekeping roti buat isi perut setiap seorang. Cara yang bagus daripada memberi mereka wang secara terus. Begini, mereka dapat makan dan agihan sama rata boleh dibuat.

Syukurlah, kita berada di Malaysia. Masih cukup makan. Cukup segalanya.

Sesuatu untuk dipelajari.

Dalam kemashyuran negaranya dengan cerita Bollywood dan tempat yang cantik-cantik memukau mata dalam setiap babak filem, okay ini harus dipuji bagi lokasi yang sememangnya berada di India ya, kita harus sedar keadaan kemiskinan sebegini memang wujud. Bukan saja di sana, malah merata tempat dalam dunia ini. Memang ada, itu tak dinafikan.

Mata yang menyaksikan membawa seribu satu pengalaman. Melihat anak kecil tersenyum menerima agihan makanan hasil daripada sumbangan kami, cukup mengembirakan.

Ya, memang tak susah untuk buat orang lain gembira. Dapat hidangan begini pun sudah memadai.

Yang indah, yang cantik dimata, kita kongsikan dengan gembira. Yang sebaliknya, ambil perhatian dan belajar darinya. Itu takdir mereka. Mungkin usaha sudah dilakukan, namun siapalah kita untuk menilai hanya berpaksikan satu kali melihat mereka di situ. Bukankah lebih baik menjadi seperti mata lebah, melihat setiap perkara itu dari sisi baik dan memberi manfaat buat orang lain. Itu cerita mereka, cerita kita mungkin berbeza. Mungkin sama tapi tak serupa. Entahlah.

Ambil ia sebagai iktibar untuk tidak terus leka.

India. Memang penuh dengan warna warni cerita. Menjejak ke sini, ambil gambar memang syurga dari kaca mata seorang fotografer. Belajar dari apa yang kita lihat. Dari subjek yang penuh keliling yang menarik lensa kamera membidik. Malah mereka tidak lokek untuk membenarkan gambar dirakam oleh kami. Sporting habis. Mungkin gaya wartawan tak berbayar ini menyakinkan mereka, ditambah dengan sedikit adab ketika mahu mengetik. Jika izin diberi, klikkan kamera dimulakan. Jika tidak, mereka geleng kepala sambil saya pun sama terikut geleng kepala tanda, “Baiklah, saya faham” dan berlalu pergi mencari momen lain.

Mahukan landscape memukau mata, ia ada di sini. Berkehendakkan momen subjek human interest, ia pun ada di sini. Ingin mengasah skill dengan street photography memukau, pun ada di sini. Dipilih saja bandarnya. Delhi, Jodhpur, Pushkar, Agra, Kashmir, Mumbai, Kolkata? Macam-macam ada. Sebab itu tak heran bila saban waktu, ada saja pengunjung dengan berselirat tali kamera tergantung dileher dan disandang dibahu berada merata di India.

Melihat mereka dan merenung diri sendiri. Apa erti malang pada mata kita? Kita sudah bertuahkah atau mereka lebih bertuah daripada kita?

Pengalaman yang tak menyerikkan untuk datang ke sini lagi. Walaupun bau hancing kadang kala meloyakan tekak, ia bukan penghalang dalam mengumpul cerita hidup. Yang suka akan suka, yang tak tahan, ia mungkin sekali sahaja. Bagi saya, walau apa pun ia, jika mahu keluar dari zon selesa, mahu melihat kepelbagaian budaya yang berbeza, pergilah sekali ke India. Cukup sekali dan lihat selepas itu, mahu lagikah ke sini?

Zanariah Salam
Rindu India

zanariah salam

Suka ambil gambar, suka travel, suka beli buku, suka membaca. Hai, awak suka apa pula?

Comments are closed.

error: Content is protected !!