BAGAIMANA DARIPADA SEEKOR IKAN MEMBAWA KEPADA RANTAIAN REZEKI YANG TAK KITA DUGA

92

Nak makan ikan, kita pergi ke pasar dan beli.

Banyak pilihan ada. Ikan kecil, besar, yang banyak duri, yang banyak isi, semua ada. Tengok dan tunjuk saja. Lepas itu beli.

Balik rumah, bersihkan dan goreng. Bau lumuran kunyit dan garam semerbak. Perut yang kenyang  bertukar jadi lapar terus. Lebih lagi apabila percikan minyak mengentak dinding seolah tanda protes.

Itu kisah ikan. Dibeli di pasar kemudian digoreng.

Dari satu sisi, cuba kita bayangkan. Untuk seekor ikan goreng sebagai contoh, hadir dalam pinggan kita, berapa banyak peluh keringat yang telah mengalir.

Nelayan, berpanas berhujan di lautan menangkap ikan. Bertarung nyawa dan mengharungi ombak yang membadai bot. Meninggalkan anak isteri sementara mencari rezeki.

Tukang buat bot, mengetam dan membina bot untuk keperluan nelayan. Menampal apa yang bocor supaya bot selamat untuk digunakan. Bau gam fibreglass mengkhayalkan jika tak biasa.

Pakcik ini sedang baiki bot.

Peraih, memilih ikan terbaik untuk diagihkan kepada pelanggan sedia ada. Ikan disusun mengikut gred. Ada yang besar, ada yang kecil, tak lupa yang sederhana.

Pembawa lori, berjaga mata membawa lori untuk agihan ikan kepada peruncit dan kedai-kedai.

Penjual ikan, menyusun cantik ikan atas ais demi menjaga kesegaran, sambil mulut manis berjualan menarik perhatian pelanggan.

“Kak Long, ikan siakap Kak Long. Baru sampai ini, isi merah lagi”

“Bang, udang besar-besar ni, Bang. Masak tomyam kenyang satu rumah ini, Bang. Makan sampai termimpi-mimpi”

Lokasi di tepi Sungai Pontian Besar. Ikan segar

Dan kita tertarik dengan kata-kata sang penjual lalu membeli. Hajat hati mahu dua tiga jenis lauk sahaja, tup-tup tergoda dengan ayat manis penjual, terbeli lebih daripada tiga plastik. Boleh buat untuk seminggu punya hidangan terus.

Tanpa kita sedar, dari seekor ikan, ada cantuman rezeki yang disampaikan melalui manusia, setiap satunya.

Dan akhirnya, ikan seekor yang digoreng garing ada di pinggan kita.

Kita pun makan dengan penuh selera. Maklumlah, nasi panas-panas. Ditambah pula dengan kesedapan rasa isi ikan segar. Licin pinggan, menjilat jari tanda keenakkan dan nikmat makan. Tak sedar,  dua pinggan nasi kita menambah. Lupa sekejap apa itu IF, diet keto, eat clean. Yang ada adalah eat to clean atau makan hingga licin.

Kemudian, kita cuci pinggan pula. Fikir, berapa banyak tenaga pula yang telah dicurahkan untuk penghasilan sekeping pinggan.

Semua itu saling berkait. Dari manusia ke manusia.

Banyak betul rantaian rezeki yang hadir untuk kita.

Nikmat yang harus disyukuri selalu. Rezeki yang hadir bukan setakat wang sahaja. Dapat makan ikan goreng sedap pun rezeki sangat sangat. Malah begitu banyak rantaiannya.

Bila ambil gambar dan pergi ke pasar seperti ini, tengok orang berjual beli, seronok, dan dalam masa yang sama, banyak sisi kehidupan yang boleh kita belajar.

Belajar yang tak pernah habis dan tak semestinya dalam kelas. Ke lapangan begini, banyak yang boleh diambil peduli.

Banyak lagi perkara menarik hadir disekeliling kita. Selalulah rasa gembira walau apa jua yang berlaku. Nescaya kegembiraan akan sering mengelilingi kita.

Comments are closed.