BAGAIMANA MERAKAM GAMBAR YANG MENARIK DI PASAR AWAM

Tidak seperti pasar moden yang serba serbi terang, bersih dan selesa, pasar awam di Pontian, punya keunikannya yang tersendiri walaupun ia tidaklah terlalu traditional mahupun moden sangat. Sedang-sedang saja.

Dikatakan juga, di sinilah tempatnya di mana adanya ikan-ikan segar dijual dengan agak murah. Maka, tidak hairanlah apabila ada saja orang dari Johor Bahru dan Singapura datang ke sini untuk membeli ikan.

Saya ke sini asalnya untuk memberi kerang. Teringin sungguh apabila tiba-tiba teringat ada sambal kicap. Ada kerang rebus, cicah dengan sambal kicap, pergh, mesti menambah-nambah nasi ini, fikirnya. Maka, bersemangatlah mahu mencarinya.

Sambil itu, bawa jugalah kamera. Memang sentiasa ada dalam beg. Kita penjejak gambar, memang perlu ada kemera bawa selalu, hehe.

Masuk saja ke sini sekitar jam 7 pagi, sudah dengar riuh rendah antara peraih dan penjual ikan dalam masing-masing menimbang dan merekodkan berat ikan yang dipunggah daripada lori.

Tertarik dengan suasana macam ini, terus teringat akan pasar ikan kat Jepun tu. Tak lah sama, tapi lebih kurang lah. Bayangkan saja.

Siap-siap keluarkan kamera dan terus mencari momen menarik. Orang ramai, jadi tidak sukar untuk saya ambil gambar. Lagipun mereka tak endah pun kehadiran saya. Paling kurang pun ada yang menegur dari surat khabar mana. Senyum sajalah.

Cangkung dan mencelah di sebalik penjual dan peraih, mencari momen yang bagus, nampak mudah, tapi untuk melaksanakannya, ia perlukan perancangan dan gerak kerja yang  tersusun. Bukan apa, sana-sini penuh dengan longgokan ikan dan juga air. Tak mahulah, tengah nak syok ambil gambar, terpijak ikan-ikan itu. Kesian tau. nanti tak pasal-pasal kena marah pula dengan tokey kat situ.

Jatuhan light cantik sangat dibelakang salah seorang penjual ikan ini duduk. Frame pun cantik juga, ngam ngam. Snap satu kali. Hehe.

Sama juga macam ini.  Cuma kalau saya dapat ke belakang sikit, dan boleh dapat bayang lagi panjang sikit mesti menarik gambarnya. Maklumlah, bawa kamera sony A7S dengan lens 55mm, jadi bermain dengan zoom kaki perlu. Agak tergesa-gesa pula saya menekan shutter. Pengajaran!.

Kemudian, ada uncle akan menarik dan menolak troli atau bakul yang dipenuhi dengan ikan ke tempat jualan masing-masing.

Saya cuba untuk bermain dengan slow shutter sikit. Dan hasilnya bolehlah untuk koleksi sebegini.

Sempat ambil gambar seorang uncle ini. Dia perasan saya ambil gambarnya, dan kemudian terus dia posing depan saya. Apalagi, terus snap dan kemudian tunjukkan gambar ini ke dia. Suka betul dia.

Sememangnya, ke sini, banyak betul gambar-gambar yang menarik boleh diambil. Dan ia juga melatih mata untuk fokus terus nak ambil gambar yang macam mana. Dengan longgokan ikan sekeliling, orang ramai, riuh dengan orang tawar menawar, ia adalah pengalaman menarik sebenarnya.

Akhir sekali, lepas puas ambil gambar, saya mula cari kerang yang diidamkan. Tak ada. Sah, bukan musim kerang barangkali. Jadinya, beli sayur sajalah jawabnya. Hehe.

Tips Fotografi

1. Mula-mula sampai, jangan terus gelojoh nak ambil gambar. Perhatikan dahulu sekeliling dan rutin kerja yang dilakukan.

2. Ambil ruang dan sudut yang kita boleh ambil gambar persekitaran dengan jelas. Berhati-hati supaya tidak memijak longgokan ikan atau apa sahaja. Hormati setiap laluan dengan tidak menghalang pekerja ini bekerja menolak dan memunggah ikan.

3. Tetapkan dengan guna 1 lens sahaja. Ia boleh mengerak gaya kreativiti kita untuk menggunakan zoom kaki. Masa inilah kita akan asah mata untuk ambil gambar dengan lebih kreatif dan lain daripada yang lain.

4. Gunakan asas komposisi seperti framing, shadow, pattern dan sebagainya. Longgokan bakul memberi perspektif pattern yang menarik. Nah, cari saja komposisi yang bagus.

5. Perlu naikkan ISO lebih tinggi kerana keadaan persekitaran yang kurang cahaya. Di sinilah penting untuk kita tahu gambar apa yang kita nak buat. Adakah mahu noise yang tinggi, ataupun momen? Fikirkan corak gambar yang macam mana yang kita mahukan sebagai koleksi di sini?

6. Jika perlu, berbual-bual dahulu dengan subjek yang kita rasakan menarik untuk dirakam gambarnya. Sekadar bertanya, “Boleh saya ambil gambar, uncle?” sudah cukup untuk memulakan bicara. Selebihnya, pandai-pandailah untuk berkomunikasi. Paling kurang pun, mereka katakan tak boleh, dan kita pergi sahaja ambil gambar lain. Jangan risau. Banyak lagi peluang gambar yang lain ada.

7. Kawasan ini agak lembab dan berair. Jadi jaga baik-baik kamera korang tu. Jangan leka.

Harap 7 tips ini dapat memberi manfaat kat korang sebagai persediaan untuk ambil gambar kat mana-mana pasar awam. Nanti saya share lagi tips lain ya. Terus follow ya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!