BELAJAR ERTI KEHIDUPAN DI KUALA SEPETANG

Genre fotografi saya lebih tertumpu kepada travel. Ia memberi erti kepuasan kerana saya dapat melihat sekeliling, hatta luar dari kawasan rumah sahaja.

Banyak benda boleh dilihat dan diambil peduli.

Dan jika ke Taiping, Perak, pastinya saya tak akan lupa untuk singgah di Kuala Sepetang.

Terletak lebih kurang 2 jam lebih daripada Kuala Lumpur, industri kayu arang di sini merupakan industri yang tertua di Malaysia.

Melawat kilang arang ini seolah-olah menjadi pusat pembelajaran depan mata pada saya. Melihat bagaimana kayu bakau diproses sehingga menjadi kayu arang yang bermutu tinggi di dunia, sedikit sebanyak menjentik rasa kagum saya pada pekerja-pekerja di sini. Proses kerja yang masih lagi menggunakan tenaga manusia nampak mudah, namun melihat sendiri, bagaimana pekerja ini memikul, menyusun dan mengeluarkannya daripada relau dengan debu arang dan suhu yang panas menyedarkan saya bahawa kerja ini penuh dengan kesukaran lebih-lebih lagi ia menggunakan sepenuhnya tenaga kerja manusia.

Pembakaran kayu arang perlu dikawal 24 jam sehari supaya tiada kebocoran pada dinding relau yang boleh mengakibatkan kerugian sehingga lebih RM10,000.

Proses pembakaran mengambil masa selama lebih kurang sebulan dengan 20 hari pembakaran besar, 20 hari pembakaran kecil dan 10 hari proses penyejukan.

Dalam waktu proses penyejukan, relau akan ditutup sepenuhnya dan waktu inilah yang paling kritikal untuk dikawal rapi supaya arang yang didalam relau tidak terbakar habis menjadi debu.

Syurga Fotografi

Bagi mereka yang minat akan fotografi, di sini bagaikan syurga untuk kalian bermain dengan emosi, persekitaran dalam mencipta gambar yang menarik dan lain daripada yang lain. Tapi awas dengan debu yang berada dipersekitaran. Berhati-hati jika ingin menukar lensa kerana debu-debu halus mudah melekat ke dalam sensor kamera.

Berbual-bual dahulu dengan pekerja di sini dan minta izin daripada mereka terlebih dahulu sebelum mula memetik butang shutter. Pekerja-pekerja di sini ramah-ramah belaka dan mereka selalunya memberi keizinan untuk gambar mereka dirakamkan. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehadiran pelancong yang datang saban hari ke sini.

Sesungguhnya, anak-anak harus dibawa ke sini untuk lebih memahami proses kerja bagaimana kayu arang dihasilkan. Unsur kemanusiaan, mencari rezeki dengan tulang empat kerat saban hari demi untuk “bongkah hitam” yang begitu banyak manfaatnya, tidak terhad kepada industri makanan, malah ia sesuatu yang amat bernilai bagi industri kecantikan.

Lihat bagaimana hasil titik peluh mereka bekerja. Kesungguhan dan cabaran yang mereka hadapi setiap hari, pastinya akan buat kita bersyukur sangat sangat dengan apa yang kita miliki.

Bagi yang tidak biasa dengan suasana asap arang, ia pastinya memberikan satu pengalaman yang benar benar bermakna dalam hidup. Seribu satu pengetahuan dan cerita kehidupan yang dapat kita selami dengan melihat “bongkah hitam” yang bernama arang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!