Jam enam pagi. Hiruk pikuk kota Kuala Lumpur mula kedengaran. Kenderaan mula bertali arus dijalanan.

© Zanariah Salam | Mr. Wong berjalan kemas untuk mula menyusun perkakasan dalam kedai sebelum kerja membuat mee dilakukan.

Namun di satu sisi, di Chow Kit, terlihat satu susuk tubuh berusia 76 tahun mula membuka pintu kedainya perlahan-lahan. Langkahnya bersahaja namun kemas. Kedut yang hadir ditangannya tidak menghalangnya untuk lincah menyusun perkakasan. Satu persatu disusun rapi. Gerak kerja yang nampak perlahan namun tersusun caranya.

© Zanariah Salam | Mr. Wong mencatit sesuatu dipapan putih. Pesanan daripada pelanggannya barangkali.

Disatu ketika, beliau mencatit sesuatu pada papan putih. Menulis tempahan yang harus beliau siapkan hari ini barangkali. Beliau sentiasa senyum sahaja ketika kami mula menghalakan lensa kamera ke arahnya. Terlebih dahulu keizinan kami usulkan pada beliau, agar kami boleh merakamkan rutin harian beliau. Nyata, beliau memberi keizinan.

© Zanariah Salam | Satu persatu gantungan disusun

Hampir 60 tahun kedai mee ini berlokasi di Chow Kit. Lokasinya bersebelahan dengan Pasar Awam Chow Kit. Kini, ada sebahagian kedai di sini mula ditutup bagi proses pengubahsuaian. Tidak tahu bagaimana dengan nasib kedai ini nanti. Adalah diharapkan, ia dikekalkan.

© Zanariah Salam | Menghirup air kopi sebelum memulakan tugasan

Perusahaan tradisional ini sudah menjangkau generasi kedua. Mr Wong, melakukan rutin harian ini setiap hari. Daripada proses menyediakan adunan bancuhan air, mengangkat tepung, memproses mee, semuanya beliau lakukannya sendirian. Hanya pada urusan pembungkusan sahaja, ada seorang pembantu yang akan menolong beliau.

Saya kagum ketika pertama kali melihat beliau bekerja. Diusia beliau, kudratnya masih kuat. Boleh mengangkat satu beg guni tepung seberat 25kg begitu saja dan semua itu dilakukan sendiri.

© Zanariah Salam | Mengangkat tepung yang seberat 25kg ini untuk memulakan bancuhan

Dengan peralatan ringkas yang ada, beliau mula bekerja jam enam pagi hingga tujuh setengah pagi setiap hari. Tiada istilah berehat dalam diari hidupnya. Setiap hari adalah hari bekerja beliau. Rehat padanya hanyalah pada perayaan Chinese New Year sahaja. Ketika itulah beliau akan sepuas-puasnya menikmati cuti.

© Zanariah Salam | Tepung seberat 25kg tadi dimasukkan ke dalam mesin pembancuh

Mee kuning yang dibuat dipasarkan untuk jualan setempat bagi pelanggan tetapnya. Beliau kelihatan puas apabila dapat gembirakan hati pelanggannya. Mungkin kerana inilah, beliau tetap rajin bekerja supaya pelanggannya terus dapat menikmati rasa mee buatannya setiap hari.

© Zanariah Salam | Menjawab panggilan daripada pelanggan sementara pembantunya menguraikan mee dan membungkusnya.

Semua foto diambil dengan menggunakan Sony A7S dan Lensa Samyang AF 35mm f/1.4 ketika mengikuti outing bersama Sony Malaysia dan Nick Ng pada 1 Julai 2018 lepas. Liputan penuh galeri boleh dilihat di sini.

Tips fotografi
  • Ruangan dalam kedai ini agak sempit. Berhati-hati ketika mengambil foto supaya kehadiran kita tidak mengganggu perjalanan kerja Mr. Wong. Hormati mereka.
  • Lihat sekeliling terlebih dahulu dan perhatikan sudut untuk mengambil foto. Sekali imbas kita boleh bayangkan, penggunaan wide angle lens amat digalakkan untuk mendapatkan feel environment sekitar kedai.
  • Perlu bijak dalam bermain dengan ruangan yang terhad dan sempit. Gunakan kreativiti dalam membuat foto lebih-lebih lagi dalam sesi outing yang agak ramai dan bila masing-masing menghalakan lensa ke subjek.
  • Sumber cahaya agak terhad dalam ruangan kedai. Sama ada anda bermain dengan ISO yang tinggi ataupun bermain dengan cahaya LED (jika ada) dan letakkan ditempat yang bersesuaian. Maksimakan kelebihan yang ada pada kamera dan aperture lensa masing-masing.