Saya berpeluang melihat sendiri Festival Kasada ini di kaki Gunung Bromo pada tahun 2014.

Festival ini adalah salah satu adat kebudayaan kaum Tengger yang beragama Hindu di sini. Ia diadakan setiap tahun pada malam bulan penuh hari ke-14 dalam bulan Kasada (bulan ke Sembilan) dalam pengiraan kalender Jawa Tengger.

© Zanariah Salam | Kaum Tengger mendaki ke kawah Gunung Bromo sambil membawa kambing sebagai sajian sesaji.

Simbolik Festival Kasada

Upacara ini dijalankan sebagai simbolik bagi memperingati pengorbanan anak bongsu nenek moyang mereka iaitu pasangan penguasa wilayah, Roro Anteng dan Joko Seger bagi menunaikan janji mereka kepada sang dewa setelah dikurniakan 25 orang anak selepas bertahun berusaha.

© Zanariah Salam | Kaum Tengger mendaki ke kawah Gunung Bromo sambil membawa sesaji.

Kerelaan anak bongsu pasangan ini untuk dikorbankan ke dalam kawah Gunung Berapi Bromo diabadikan dengan upacara penyembahan sesaji yang dijalankan hingga ke hari ini. Sesaji yang dimaksudkan merupakan hasil pertanian mereka seperti sayuran, buah-buahan, malahan ada juga haiwan ternakan seperti ayam atau kambing. Ada juga yang melemparkan wang ke kawah gunung tersebut. Ini sebagai tanda penghargaan atas hasil tani dan kehidupan mereka.

© Zanariah Salam | Kaum Tengger siap mendirikan khemah di kawah Gunung Bromo untuk menangkap sesaji yang dilemparkan.

Uniknya, ketika upacara melemparkan sesaji ini dijalankan, kelihatan puluhan penduduk kampung yang lain yang bukan beragama Hindu telah siap menanti ditepi sekeliling kawah untuk menangkap sesaji yang dilemparkan.

Dengan menggunakan jaring yang dibuat khas dan bau sulfur yang menyengat hidung, ia tidak menjadi halangan pada mereka menangkap sesaji. Inilah rezeki yang harus diambil. Berpegang kepada tidak ada apa yang perlu dibazirkan, mereka gigih menangkap sesaji setiap kali lemparan dibuat.

© Zanariah Salam | Cubaan menangkap wang yang dilemparkan menggunakan jaring yang dibuat sendiri.

Tips Fotografi
  • Sentiasa memastikan lap pengelap lensa dibawa bersama bagi mengelap kaca lensa yang kerap berkabus tatakala mengambil gambar berikutan cuaca sejuk.
  • Tidak digalakan untuk menukar lensa sepanjang perjalanan kerana kawasan disini diselaputi debu-debu halus kerana dikhuatiri debu-debu ini akan melekat pada sensor kamera. Sekiranya ingin menukar lensa, digalakkan untuk dilakukan ditempat yang tertutup atau sebaiknya membawa dua kamera.
  • Sentiasa memakai topeng muka (‘mask”) yang boleh dibeli difarmasi di Malaysia berikutan kawasan Bromo adalah kawasan gunung berapi dan ianya masih aktif mengeluarkan gas sulfur dan debu-debu kecil yang berterbangan yang boleh menganggu pernafasan bagi sesetengah pelancong.
  • Sepanjang aktiviti festival ini, banyak momen menarik boleh dirakamkan. Tengok dan perhatikan.
  • Sebelum ke Bromo, buat kajian terlebih dahulu foto-foto Bromo. Ini dapat memberikan sedikit idea akan rangka kerja foto yang bagaimana yang boleh dirakamkan.